Bermula Mei, Suria FM melakukan perubahan bagi mengukuhkan kedudukan.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAGI memperkukuhkan lagi kedudukannya di tahun ini, stesen radio Suria FM telah mengambil inisiatif untuk melakukan beberapa perubahan besar.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin yang popular sebagai pengendali segmen ‘Suria Cinta’ memberitahu yang sekarang ini, beliau akan lebih memberikan fokus kepada bahagian pengurusan. Slot ‘Suria Cinta’ akan digantikan dengan segmen dan penyampai baharu.

DJ Lin cukup sinonim dengan segmen ‘Suria Cinta’ yang menemani pendengar setia Suria FM setiap malam.

Meskipun DJ Lin akan memberikan lebih fokus terhadap bidang pengurusan, namun beliau tetap akan mengendalikan segmen ‘Suria Cinta’ pada setiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad bermula 8 malam hingga 1 pagi) untuk mengubati rindu peminatnya.

Bermula Mei ini, Nur Imanina Mohd Hisham atau lebih mesra dipanggil Iman, akan mengendalikan segmen baharu yang ke udara bermula 8 malam hingga 12 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Iman akan mengendalikan segmen berkonsepkan interaktif dengan pengisian lebih santai serta mengikut trend terkini dalam usaha menarik minat pendengar generasi muda.

Tiada lagi Chikara apabila Kai Hassan akan bertugas untuk ‘Morning Morning Suria’ nanti.

Demi memperkukuhkan segmen hujung minggu di Suria FM, Suraya Borhan akan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan segmen ‘Suria Hujung Minggu’ (6 pagi hingga 10 pagi) dan juga ‘Hello Suria’ (2 petang hingga 7 malam).

“Bersandarkan pengalaman luas beliau sebagai penyampai dan penerbit, kami yakin bahawa beliau mampu membawa nafas baharu kepada segmen hujung minggu.

“Perubahan ini adalah sealiran dengan perancangan Suria FM untuk tidak mengabaikan segmen hujung minggu dan dapat menarik minat penaja. ‘Morning Morning Suria’ juga akan ada perubahan kerana tempat Suraya akan digantikan oleh Kai Hassan.

Suraya Borhan bakal mengendalikan segmen ‘Suria Hujung Minggu’ dan ‘Hello Suria’.

“Perubahan itu dilakukan bagi tujuan menarik lebih ramai pendengar muda dan baharu yang menggandingkan Kai dengan Ajak dan Dato’ Fizz Fairuz. Keserasian mereka mampu membawa aura yang lebih segar dan dinamik. Gabungan personaliti unik dan penuh semangat akan disajikan dengan kandungan yang lebih menarik untuk memulakan hari pendengar,” kata DJ Lin.

Sementara itu, Cik Piah kekal mengendalikan segmen ‘Gaya Suria’ dan ‘Muzik Top Suria’ dari 10 pagi hingga 3 petang, setiap Isnin hingga Jumaat manakala Sharifah Shahirah (Rara) dan Chiwan juga masih mengendalikan ‘Suria Petang’ dari 3 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Tegas DJ Lin, perubahan strategik ini bertujuan memastikan Suria FM terus kekal sebagai pilihan utama pendengar dengan menyajikan kandungan yang segar dan dinamik, sambil mengekalkan daya tarikannya yang tersendiri.

Previous articleRIM komited demi pertumbuhan pasaran muzik tempatan
Next articleKonsert Muzik Harmony Charly Van Houten penuhi selera penonton

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here