SALOMA bukan sahaja memiliki suara emas malah kehebatannya bergaya membuatkan dia dianggap sebagai Ikon Fesyen.

Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA

ADA segelintir artis suka apabila dirinya disamakan dengan aktres Hollywood kerana itu adalah satu penghargaan yang amat bermakna dalam meniti perjalanan seni mereka.

Betapa tidak dengan gelaran atau kesamaan yang diibaratkan samada gaya, rupa atau suara ia memberi laluan mudah untuk mencipta nama dan populariti.

SALOMA (tiga dari kiri) dan Marlon Brando ketika bertemu bintang Hollywood itu yang datang ke Singapura pada 1958. Pada pertemuan itulah Marlon Brando memberi jolokan Saloma sebagai “Marilyn Monroe of The East.”

Tetapi tidak bagi penyanyi bersuara lunak yang dilabelkan sebagsi ‘Perintis Fesyen’ pada zaman kegemilangannya dan menjadi pujaan ramai sejak tahun 1950-an sehingga awal tahun 1980-an iaitu Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma.

“Sebenarnya Arwah Mama (panggilan untuk Saloma) memang minat menyanyi walaupun masa kecil Mama tomboy! Mama suka naik basikal pakai seluar pendek dan kemeja macam lelaki.

MARLON Brando begitu kagum dengan Saloma dan samakan beliau dengan Marilyn Monroe.

“Tetapi bila minat menyanyi, Mama mengubah penampilan diri. Mama sangat teliti tentang pakaian dan Mama boleh ubah suai baju mengikut citarasanya. Sebab…Mama memang punya citarasa paling hebat…klasik, anggun dan berani mendahului zaman namun tidak melampaui adab dan budaya tempatan,” kata model terkenal tanah air, Sharifah Haslinda atau lebih dikenali Shasha ketika Wafa bertemunya baru-baru inu.

Menurut Shasha, Saloma mula menyanyi sejak berusia tujuh tahun dan mula dikenali sebagai penyanyi profesional pada usia 13 tahun. Semuanya bermula dengan bantuan bapa tirinya Allahyarham Mum Yusoff, seorang pemuzik kumpulan keroncong “The Singapore Boys” yang mendapat kontrak membuat persembahan di The New World Cabaret telah memperkenalkan Saloma kepada penonton.

SALOMA…dianggap Ikon Fesyen dan terlalu obses dengan fesyen sehingga Marlon Brandon memberi jolokan Saloma sebagai “Marilyn Monroe of The East.”
SALOMA kelihatan amat menyerlah dengan apa juga fesyen yang digayakan dan rahsianya…korset sentiasa menjadi pilihannya!

Teknik menyanyi dan suara Saloma ketika menyanyikan lagu “Seven Lonely Days” nyanyian asal Georgia Gibbs telah memikat hati penonton menyebabkan beliau diminta menyanyikan beberapa lagu lagi. Sejak itu bermulalah kerjaya Saloma sebagai penyanyi.

“Sejak menjadi penyanyi kelab malam, Mama banyak membaca majalah artis luar negara yang mana semua majalah itu kiriman kakak angkat Mama yang menetap di Amerika Syarikat.

SUARANYA yang merdu dan kehebatannya bergaya dengan pelbagai fesyen rekaan membuatkan para peminatnya meniru gaya beliau.

“Dengan bahan bacaan majalah dari luar negara membolehkan Mama mereka fesyen yang sesuai untuk pakaian Mama.

“Saya kagum dengan gaya kewanitaan Mama yang menyerlahkan bentuk tubuhnya dan pinggangnya yang ramping,” kata Shasha.

SALOMA bersama pemilik Shaw Brothers, Sir Run Run Shaw.

Adalah difahamkan kerjaya impiannya untuk menjadi seorang penyanyi tidak ‘berjalan’ dengan baik membuatkan Saloma memulakan kariernya sebagai pelakon pada awal 1950-an.

“Pelangi” filem pertama lakonan Saloma terbitan Nusantara Filem mendapat sambutan baik membuka peluang baginya muncul dengan filem kedua, “Perkahwinan Rahsia” diikuti “Norma” (1952).

BIDUANITA Negara yang tiada tandingannya…Saloma.
DENGAN tubuhnya yang langsing apa jua fesyen yang lekat ditubuhnya menyerlahkan keanggunan Saloma!

Walaupun sepanjang kariernya sebagai berlakon bermula tahun 1951 sehingga 1981, Saloma terlibat dalam 30 filem tetapi kebanyakannya beliau membawa watak sebagai dirinya Saloma dan menyanyi dalam babak tertentu filem berkenaan.

Mengenai jolokan yang diberikan kepada Saloma pada tahun 1958 sebagai “Marilyn Monroe of The East” yang diberikan oleh pengarah, pelakon dan aktivis filem berpengaruh Hollywood, Marlon Brandon yang berkunjung ke Singapura ketika itu kerana obsesinya terhadap fesyen, Shasha berkata;

DALAM kenangan…Pasangan sejoli…Allahyarham Saloma bersama suami tercinta, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Mama tidak selesa dengan gelaran itu kerana menganggap ia terlalu tinggi buat Mama berbanding Marilyn Monroe seniwati hebat dan punya penimat seantero dunia. Sedangkan Mama hanya seorang penyanyi dan pelakon yang diminati di Malaysia dan di Singapura sahaja.

“Mama berpendapat begitu kerana daripada 30 filem lakonannya hanya tiga filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menampilkan Mama dengan watak yang membuatkan para peminat mengingatinya sehingga hari ini iaitu “Seniman Bujang Lapok” (1961) sebagai Salmah, “Sabaruddin Tukang Kasut” (1966) Puteri Sabarina dan sebagai Mastura dalam “Ahmad Albab” (1968).”

DALAM kenangan…Allahyarham Saloma bersama Dian P. Ramlee (duduk di kirinya) dan Shasha (blaus putih).

Bersandarkan obsesinya terhadap fesyen, Saloma yang dianggap oleh Shasha sebagai Ikon Fesyen kerana citarasa biduanita itu klasik, anggun dan berani mendahului zaman.

“Mama suka pakai kebaya ketat yang jarang dengan dihiasi renda dipadankan dengan baju potongan peplum. Sementara itu, untuk menonjolkan tubuhnya yang ramping, Mama suka memakai korset agar kelihatan lebih cantik dan menarik,” kata Shasha lagi.

SYED Wafa bersama baju milik Saloma yang dihadiahkan oleh Allahyarham Seniwati Mariani dan Shasha di Wafa Gallery, di Pandan Jaya, Kuala Lumpur.

Sehingga kini Salamo sentiasa dikenang sebagai Biduanita Negara yang menjadi khazanah seni tanah air yang tiada nilainya dan tiada gantinya.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Biduanita Negara Puan Sri Saloma sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

KENANGAN indah…Syed Wafa bersama Allahyarham Seniwati Mariani dan Shasha yang menghadiahkan pakaian milik Saloma untuk dipamerkan di Wafa Gallery di Pandan Jaya, Kuala Lumpur.
Previous articleKeyakinan Diri!
Next articleLuar Biasa,”8 In 1 Birthday Celebration” Cipta Sejarah Satukan Anak Seni!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here