Ryan Bakery gembira diberi peluang menimba pengalaman di konti bersama Radin dan Nabil Ahmad.

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA sebelum ini bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi, pendengar Radio Era akan mendengar celoteh Radin, Nabil dan Azad Jasmin atau Pak Azad di segmen 3 Pagi Era.

Kini Radin dan Nabil Ahmad mendapat ‘pasangan baharu’ iaitu personaliti media sosial dan selebriti TikTok, Ryan Bakery atau nama lengkapnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 30, kerana Pak Azad menunaikan umrah.

Bagi Ryan peluang yang diberikan kepadanya adalah satu pengalaman baharu untuk dirinya dan mengakui tanggungjawab yang digalas bukanlah mudah.

Katanya, banyak perkara yang perlu dipelajari selain perlu realistik untuk berkomunikasi agar tidak dianggap ‘syok sendiri’ ketika bersiaran.

Ryan Bakery popular dengan parodi mengimbas kembali zaman kanak-kanak.

“Ramai pendengar berpendapat menjadi penyampai radio memang satu kerja yang mudah. Tapi hakikatnya ia bukanlah semudah yang disangka memandangkan banyak perkara yang perlu diambil kira ketika bersiaran.

“Kita selalu menganggap penyampai radio hanya bercakap tetapi apa yang lebih penting adalah keserasian dan bagaimana sesuatu topik perbincangan akan dibahaskan bukan sahaja sesama penyampai tetapi juga dengan pendengar,” kata Ryan yang mula mengendali program tersebut sejak awal minggu lalu.

Meskipun masih terlalu awal untuk menelah ‘dunia’ baharunya itu, Ryan gembira dapat berinteraksi bersama pendengar yang sentiasa proaktif dalam memberikan idea dan pendapat saat mereka mengulas tentang topik perbincangan harian.

Katanya, tatkala bersiaran, penyampai perlu bijak berinteraksi dan melayan emosi pendengar yang ada kalanya mencari tempat untuk meluahkan perasaan.

Ryan Bakery berasal dari Perak.

“Di situlah saya melihat peranan penyampai dalam membawa emosi pendengar untuk bercerita. Nabil dan Radin sudah berpengalaman luas dan tahu bagaimana untuk mengawal keadaan.

“Saya dapat banyak pengalaman dan pelajaran baharu bersama mereka. Mereka pula tidak lokek membantu orang baharu seperti saya,” kata finalis kategori Digital Creator (Hiburan) Tergempak, Gempak Most Wanted Award ini lagi.

Namun apa yang lebih menggembirakan tatkala melihatkan maklum balas positif yang ditinggalkan oleh pendengar di media sosial.

Ramai suka dengan kehadiran Ryan dan tak kurang juga yang terhibur dengan telatahnya ketika mengendalikan segmen 3 Pagi Era.

Sebagai orang baharu, pastinya maklum balas berkenaan amat penting Ryan yang merupakan bapa kepada seorang cahaya mata itu untuk terus memberikan yang terbaik sepanjang berada di stesen Era.

Bersama boss Oney sewaktu di konti Era.

“Pada peringkat awal memang saya takut memandangkan terpaksa menggantikan tempat Pak Azad yang sedang menunaikan umrah. Takut juga kalau ada perbandingan memandangkan dia sudah berpengaruh dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Tapi bila melihatkan respons daripada pendengar, saya lega. Mereka tidak membandingkan dan menerima Ryan Bakery. Itu sudah cukup memberikan kelegaan.

“Mungkin ini adalah rezeki baharu buat saya untuk mengembangkan lagi cabang lain dalam bidang seni,” katanya yang baru sahaja menghantar kedua orang tuanya menunaikan umrah minggu lalu.

Previous articleNaqiu bangga menjadi penyanyi lagu ‘leleh’
Next articleUmar Uzair lancar single “Balada Tengkujuh” sempena Hari Puisi Sedunia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here