Naqiu tampil dengan single kelapan berjudul "Khayalan".

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Naqiu/Koleksi Syed Wafa

BERMULA sebagai penyanyi untuk kumpulan Boboy yang ditubuhkan pada 2000. Ketika itu Naqiu menjadi vokalis utama untuk kumpulan muzik yang bergenre slow rock. Pada era tersebut terdapat beberapa kumpulan lain juga yang mempertaruhkan lagu jiwang seperti Boboy, antaranya The New Boyz, Q- Face, Spin dan Antz.

Meskipun kumpulan yang rata-rata dianggotai oleh remaja lelaki ketika itu, masing-masing ada daya tarikan tersendiri. Tambahan pula kebanyakan lagu yang dirakam amat dekat di hati peminat. Justeru itulah, lagu-lagu kumpulan tersebut masih lagi didengari sehingga hari ini.

Sudah tertera bahawa rezeki Naqiu atau nama penuhnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 40, masih lagi relevan dalam industri muzik tanah air. Sebelum ini selama 12 tahun Naqiu menyepikan diri daripada industri muzik semasa kerana menumpukan perhatian sebagai penyanyi kelab untuk mencari rezeki.

Naqiu (tengah) bermula dalam bidang seni suara sebagai vokalis kumpulan Boboy.

Meskipun Naqiu tidak muncul secara terbuka seperti penyanyi lain dalam tempoh tersebut, namun lagu-lagu dendangannya bersama Boboy seperti “Episod Cinta”, “Demi Masa” dan “Dalam Benci Ada Rindu” terus mendapat perhatian di corong radio dan pusat karaoke yang menjadi pilihan pengunjung untuk meluahkan rasa masing-masing.

Ketika aktif bersama Boboy, penyanyi kelahiran Skudai, Johor Bahru itu berpeluang merakam tiga buah album studio bersama iaitu “Episod Cinta” (2001), “Antara Remaja Dan Dewasa” (2003) dan “Masih Mencari” (2005) yang diterbitkan oleh New Southern Records (NSR).

Nama Naqiu kembali menyerlah di persada seni tanah air selepas beliau menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keenam pada 2019 yang mengangkatnya sebagai juara bersama dengan Hardy Mirza.

Album “Antara Remaja Dan Dewasa” dendangan Boboy dikeluarkan pada 2003.

Selain GV6, Naqiu juga turut menyertai program All Star Vaganza 2023 serta Famili Duo musim keempat pada tahun lalu, bergandingan dengan Joey Daud dan perjuangan mereka sampai ke peringkat separuh akhir sahaja.

Pada tahun ini pula, bagi meneruskan perjalanan kerjaya seninya, Naqiu yang merupakan suami kepada Hanisah Zuhari yang dinikahinya sejak 18 Januari 2020 dan bapa kepada enam orang anak itu tampil dengan single baharu berjudul “Khayalan”.

Ujar Naqiu, beliau berasa begitu bertuah apabila ditawarkan menyanyi lagu “Khayalan” yang merupakan ciptaan Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas kerana komposer itu adalah idolanya. Naqiu melihat Ajai sebagai inspirasinya dari sudut seorang pemuzik.

Naqiu menjadi juara bersama Hardy Mirza untuk Gegar Vaganza musim keenam pada 2019.

“Khayalan” yang mengangkat genre balada juga mendapat sentuhan penulis lirik Wit Mohsen selain Sharon Paul mengendalikan susunan muziknya.

Tatkala ditanya perasaannya apabila dapat bekerjasama dengan Ajai, Naqui akui sangat teruja kerana secara peribadi beliau adalah peminat Exists sejak 1992 dan sekali gus merupakan peminat Ajai yang merupakan pemain keyboard kumpulan tersebut.

“Bila abang Ajai yang tawar saya untuk menyanyikan lagu ciptaannya, saya amat berbesar hati. Projek menghasilkan single ini muncul apabila abang Ajai telefon pengurus saya kata dia ada buat satu lagu untuk saya. Lagu ini satu saja dan memang dibuat khas untuk saya, tak boleh nak pilih-pilih.

Rasa teruja dapat bekerjasama dengan komposer Ajai yang mencipta lagu khas untuknya.

“Abang Ajai cakap dia dah tunggu saya untuk lagu ini lama dah, kalau tak silap sejak 2021 atau 2022 untuk saya nyanyi lagu ini. Mula dengar lagu itu, saya terus tertarik dengan korusnya dan setuju untuk rakam lagu tersebut.

“Sebulan selepas itu muziknya siap untuk dirakam. Rakaman ada dua sesi dan ini adalah kali pertama saya bekerja dengan abang Ajai. Selama ini hanya kenal dan dengar cerita daripada orang lain yang dakwa Ajai ini garang, tapi sebenarnya tidak,” kata Naqui tentang kolaborasinya dengan Ajai.

Malah menerusi kerjasama itulah beliau dapat menimba pelbagai pengalaman yang tidak pernah dilalui sebelum ini sewaktu berada di dalam studio rakaman.

“Pembikinan single ini banyak mengajar saya erti kesabaran dan terus terang pada hari pertama masuk studio, saya rasa takut. Pada hal sudah 24 tahun saya dalam industri dan berpeluang merakam banyak lagu tapi kail ini prosesnya untuk verse saja saya mengambil masa dua jam. Abang Ajai sangat sabar kerana dia nak tone dan perasaan lagu itu sampai.

Naqiu dapat pengalaman baharu sewaktu rakaman lagu “Khayalan” bersama Ajai.

“Daripada situ saya dapat satu pelajaran baharu untuk projek ini iaitu kesabaran dan perkara itu saya tidak perolehi di projek lain sebelum ini. Saya bangga sebab abang Ajai sangat bersabar. Masa zaman dengan Boboy tak pernah pun ambil masa yang lama untuk rakaman sebuah lagu,” ceritanya.

“Khayalan” menceritakan kisah lelaki yang mengelamun melayan perasaan serta mencari cinta yang tidak pasti menjadi miliknya. Selari dengan perkembangan zaman serba moden yang meletak fokus kepada aplikasi media sosial seperti Tik Tok sebagai tumpuan promosi, karya Ajai ini menyuntik elemen melodi bersahaja bagi mudah diterima halwa pendengar masa kini.

Menurut Naqiu juga, single terbaharunya itu bakal menjadi kayu pengukur untuknya kekal relevan dan mampu bersaing secara sihat dengan penggiat seni muda hari ini.

“Jujurnya penyanyi ‘lama’ atau vokalis kumpulan remaja popular dulu seperti saya yang pernah mencipta nama lebih 20 tahun lalu, ia satu perjalanan yang tidak mudah untuk mencari sebuah lagu yang mana memberi impak sama seperti sebelum ini. Fenomena lagu “Episod Cinta” yang memperkenalkan saya ketika berusia 15 tahun itu bagai mustahil untuk diulang kembali.

Penggambaran video muzik “Khayalan” dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.

“Bukan kerana tiada naskhah hebat atau kurangnya idea menghasilkan karya seumpama itu, namun persepsi peminat dan mereka yang sudah mengikuti saya sukar untuk menerima lagu atau genre baharu yang cuba saya tampilkan kerana mereka sudah ‘terikat’ dengan jenama Boboy.

“Naqiu sudah ‘sebati’ dengan melodi leleh, imej budak sekolah dan lagu cinta monyet. Saya sudah mengeluarkan tujuh single sejak ‘comeback’, namun ia belum dapat mengembalikan jenama Naqiu di tahap selesa,” katanya.

Selepas ‘comeback’ antara single yang pernah dikeluarkan olehnya adalah “Sinar Kedua” pada 2020, “Masih Ada” (2021), “Rindu Separuh Nyawa” berduet bersama Vanessa pada 2021, “Kisah Hati Lara” (2022), “Tetap Bersama” (2022), “Panah” (2023) dan “Maki” pada Julai 2024.

Naqiu yang tidak mudah berputus asa itu berkata, beliau tidak akan berhenti mengeluarkan lagu baharu kerana mahu orang tahu bahawa dirinya masih ada dan aktif dalam industri muzik tanah air.

“Setiap hari ada sahaja bakat baharu yang muncul, jadi untuk memastikan saya masih lagi relevan dalam industri ini, kenalah keluarkan single baharu dari masa ke semasa. Dalam masa yang sama, saya tak nak harapkan pada benda-benda yang lama saja kerana saya suka bergerak sebagai seorang seniman.

Naqiu akan pastikan ada karya baharu daripadanya dari semasa ke semasa.

“Jadi saya kena sentiasa mengeluarkan benda baharu dan mencuba sesuatu yang baharu. Saya sentiasa berterima kasih dan berbangga menjadi seorang penyanyi leleh sebab perkara melankolik dan romantik sentiasa ada di dalam jiwa kita. Macam mana moden pun, kita pasti akan tertarik dengan melodi yang mendayu atau menyayat hati kerana itu sudah ada dalam genetik orang Melayu.

“Bila menjadi seorang penyanyi leleh, saya banyak berborak dengan pemuzik. Mereka akan kata kalau bawa lagu leleh tak perlu fikir banyak sebab ia sudah ada dalam badan saya. Saya sentiasa berbangga dan okey kalau bawa lagu leleh sampai tua.

“Cuma saya ada satu benda perkara selain leleh, saya akan serapkan elemen baharu di dalam lagu leleh itu. Saya tak nak lagu leleh saya kedengaran sama, sentiasa ada penambahbaikan. Kalau saya bawa lagu moden orang tak nak sangat,” hurainya tentang genre lagu yang diterima peminat.

Beliau juga berharap “Khayalan”, single kelapan ini mampu memberikan satu perspektif berbeza buat peminat muzik tempatan dan mampu membawakan namanya ke depan. “Khayalan” diterbitkan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) Muzik dan diedarkan oleh Indigital Music.

Keluarga bahagia Naqui.

Enggan diri diperguna, Naqiu ambil tindakan undang-undang

Sementara itu, Naqiu yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan seorang individu sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000 berkata, beliau tidak teragak untuk mengambil tindakan terhadap si pelaku.

“Pada awalnya saya tak nak kes ini diperbesarkan tapi disebabkan bila saya diam, banyak disalah ertikan. Ramai yang ingat saya ini takut dan tak pandai, saya rasa saya kena bertindak kerana ini bukan kali pertama orang berkenaan cuba menggunakan saya.

“Kali ini saya rasa macam dah melampau, dahlah dia cuba menggunakan saya dan lepas tu cuba memburuk-burukkan saya pula. Dia menggunakan saya untuk kepentingan peribadinya untuk mendapat tajaan barang-barang tertentu untuk menggunakan khidmat saya sebagai song writer.

“Saya baru sedar rupanya sudah banyak perkara yang dia lakukan terhadap saya dan sudah tiba masanya untuk saya bertindak kerana ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku, tetapi tindakan individu ini sudah melampaui batas. Dia bukan sahaja cuba memburukkan nama saya, malah turut mencabar saya.

“Pada awalnya, dia menggunakan nama saya tanpa pengetahuan untuk membuat video promosi sebuah jenama. Selain itu, dia juga meminta saya menghasilkan lagu tanpa sebarang bayaran, sekali gus membuang masa saya sepanjang tahun lalu,” katanya yang menghantar surat tuntutan (LOD) kepada individu terbabit menerusi peguamnya, Aizat Azam dari tetuan Legalais.

Naqiu tak kisah digelar penyanyi leleh.

Tegas Naqiu, beliau tidak begitu mengenali individu tersebut kerana mereka diperkenalkan oleh salah seorang ahli pasukan pengurusannya. Tambahnya, dalam satu pertemuan sebelum ini, individu tersebut menyatakan hasrat untuk menghasilkan lagu walaupun menyedari yang dirinya tidak berbakat.

“Ketika projek masih di peringkat demo, individu tersebut mendakwa kepada orang industri seni bahawa saya memaksanya untuk merakamkan single itu. Lebih mengejutkan, dia juga mengatakan sudah membayar kos projek ini, sedangkan saya tidak menerima walau satu sen pun. Malah, masa saya yang terbuang begitu saja.

“Logikkah saya memaksa seseorang yang tidak berbakat untuk menyanyikan lagu saya, sedangkan saya langsung tidak mendapat sebarang bayaran?,” katanya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab individu tersebut.

Dalam masa sama, Naqiu memaklumkan pengurusannya iaitu Mindorder turut menerima nasib sama dan turut menghantar LOD kepada individu terbabit.

Sementara itu, Aizat berkata, pihaknya memberi tempoh 14 hari untuk individu itu menjawab LOD yang dihantar.

“Sekiranya tiada tindakan pihak kami bersedia untuk membawa kes ini ke peringkat mahkamah. Walaupun begitu, kami masih memberi peluang kepada individu ini untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah,” katanya.

Previous articleFattah Amin ‘pelaris’ produk, komited dengan tanggungjawab
Next articleRyan Bakery seronok ‘bekerja’ di konti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here