Oleh: Khadijah Ibrahim
MESKIPUN hanya seorang saja anggota asal kumpulan Boney M, namun Maize Ursula Williams pada usia 74 tahun masih bertenaga menghibur kira-kira 3,000 penonton yang hadir menyaksikan kumpulan legenda itu di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.
Persembahan Maize pada Boney M 50th Anniversary Tour itu turut dibantu oleh Samantha Eletha Scott, Doreen Patel dan Kelly Rahman, satu-satunya anggota lelaki dalam kumpulan Boney M versi terkini.

Mengikut pada senarai lagu yang bakal dipersembahkan adalah sebanyak 15 buah lagu, namun Boney M yang diiringi oleh lima pemuzik itu hanya mendendangkan 13 buah lagu sahaja. Meskipun kurang, penonton tetap rasa terhibur kerana lagu-lagu Boney M tidak luput dek zaman.
Lagu-lagu seperti “Sunny”, “Daddy Cool”, “Hooray Hooray (Happy Holiday”, “Belfast”, “Ma Baker”, “Bahama Mama”, “No Woman, No Cry”, “Brown Girl In The Ring”, “Rasputin”, “Rivers Of Babylon” dan “Gotta Go Home” sudah sebati dengan penggemar muzik Boney M.


Dek ramai yang mempunyai nostalgia indah dengan lagu-lagu berirama disko dendangan Boney M itu, setiap lagu yang didendangkan pada konsert tersebut turut dinyanyikan sama oleh kira-kira 3,000 penonton yang hadir dan rata-rata mereka adalah yang membesar dengan karya Boney M sejak zaman sekolah lagi.
Konsert anjuran Lo-Fi Entertainment dan Front Row Entertainment itu bukan saja dinantikan oleh peminat-peminat Boney M di Malaysia, malah anggota kumpulan tersebut juga teruja dapat datang lagi ke sini menghibur peminat setia mereka.


“Hello! Kuala Lumpur. Kami gembira dapat kembali lagi ke sini. Malam ini kami akan membawa anda kembali ke setiap perjalanan yang anda ingin tuju. Kami pasti lagu-lagu yang bakal kami dendangkan ini mempunyai sejarah tersendiri dalam kehidupan anda,” kata Kelly Rahman mewakili anggota yang lain.
Sebelum mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, Boney M terlebih dahulu terbang ke Kuching, Sarawak untuk menghibur peminat mereka di sana pada 4 Januari lalu. Kemudian kumpulan tersebut pergi ke Jakarta (10 Januari) dan terbang semula ke Malaysia sebelum menuju ke Singapura pada 15 Januari.

Biarpun anggota berganti, melainkan Maize Williams yang merupakan ahli asal Boney M, kumpulan tersebut terus diminati kerana lagu-lagu dendangan mereka terus malar segar. Itu bezanya antara penyanyi lama dan baharu.
Kebanyakan lagu dendangan penyanyi baharu, popular mengikut musim dan kemudian dilupakan. Beza dengan lagu-lagu dendangan penyanyi lama yang terus diminati walaupun tahun sudah berubah.


Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.