Image by jcomp on Freepik

Oleh : Asmat Fikri

Demi untuk cantik dan kurus seseorang sanggup melakukan apa sahaja asalkan impiannya kesampaian. Antara diet yang merbahaya adalah seperti berikut:

1. Diet Rendah Kalori
Mengambil kurang daripada 800 kalori makanan sehari. Ia menyebabkan kekurangan nutrisi penting seperti vitamin, mineral dan protein. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kehilangan otot bukannya lemak. Paling teruk, ia boleh menyebabkan gangguan metabolisme, keletihan dan masalah hormon.

2. Diet tanpa karbohidrat
Mengelakkan sepenuhnya sumber karbohidrat seperti nasi, roti atau buah juga boleh membahayakan kesihatan. Keadaan itu boleh menyebabkan kekurangan tenaga kerana karbohidrat adalah sumber tenaga utama. Maka akan timbul masalah seperti sakit kepala, keletihan dan sembelit.

3. Diet Detoks
Keputusan untuk diet dengan ekstrem detoks seperti hanya minum jus atau air lemon selama beberapa hari juga amat bahaya. Ia akan menyebabkan kekurangan protein, lemak, dan serat dalam tubuh badan.

4. Diet Mono (Mono Diet)
Diet kategori ini adalah hanya makan satu jenis makanan, seperti pisang, telur atau sup. Ia boleh membahayakan kesihatan seseorang kerana kekurangan nutrisi disebabkan diet ini sangat tidak seimbang.

5. Diet Tinggi Protein
Mengambil protein secara berlebihan sambil mengelakkan karbohidrat dan lemak akan menyebabkan beban pada buah pinggang dan hati. Risiko dehidrasi dan kehilangan kalsium dari tulang turut akan berlaku.

6. Diet berlapar
Memilih untuk tidak makan selama berhari-hari atau hanya minum air boleh menyebabkan kekurangan tenaga yang serius. Seseorang itu berisiko mengalami kegagalan organ, anemia atau kekurangan imuniti.

7. Penggunaan Produk atau pil diet yang tidak selamat
Sebagai contoh mengamalkan pil diet yang menjanjikan penurunan berat badan segera. Sesetengah produk itu mengandungi bahan larangan yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Risiko sampingan seperti tekanan darah tinggi, gangguan hati, masalah jantung dan kegagalan buah pinggang untuk berfungsi.

Photo by Cats Coming: https://www.pexels.com/photo/bowl-of-vegetable-salad-406152/

Jadi, antara cadangan untuk peringkat permulaan ketika hendak berdiet mungkin boleh cuba amalkan beberapa jenis diet ringkas terlebih dahulu. Antaranya adalah:

1. OMAD OMAD atau One Meal a Day, boleh dibuat dua kali seminggu. Orang muda dan tidak mempunyai banyak aktiviti sangat sesuai amalkan OMAD. Sewaktu makan, pilihlah makanan yang bernutrisi tinggi agar dapat menahan perut daripada lapar seharian.

2. IF – Intermittent fasting (IF) ialah satu pola pemakanan yang mengamalkan kitaran berpuasa dan makan. Ia bukan sekadar diet yang menyekat kalori atau jenis makanan, tetapi lebih kepada menetapkan masa makan. Semasa tempoh berpuasa, anda tidak mengambil sebarang kalori, tetapi dibenarkan minum air, teh atau kopi tanpa gula.Selalunya tempoh diambil antara 12 hingga 30 jam. Tujuan utama IF adalah untuk memberikan badan anda rehat daripada proses penghadaman berterusan dan membolehkan ia beralih kepada mod pembakaran lemak untuk tenaga.

3. Puasa Isnin dan Khamis – Boleh amalkan puasa sunat dua kali seminggu untuk mengawal kadar pemakanan kita. Selain berdiet, seseorang itu juga dapat pahala berpuasa sunat. Ketika berbuka dan bersahur sahaja mengambil makanan berat, pada waktu lain kita berpuasa. Secara tidak langsung dapat membantu mengawal kita dari makan dan minum keterlaluan. Lambat laun nanti kita akan terus terbiasa walaupun bukan niat untuk berpuasa.

4. Cut sugar – Walaupun nampak biasa, tapi ramai sebenarnya tak mampu buat. Kesannya sangat besar bila kita menyekat atau meninggalkan gula putih sepenuhnya. Bukan sahaja boleh kurus, badan juga akan jadi lebih sihat, bertenaga dan semangat.

Penutup

Justeru, dalam mengejar keinginan untuk kurus, pastikan sentiasa meletakkan keselamatan serta kesihatan di hadapan. Jangan terlalu ghairah mengejar ‘langsing’ sehingga penyakit lain pula yang datang.

Kurus memang kurus tapi rupanya sebab ada penyakit. Itu yang seharusnya kita elakkan. Maka, haruslah sentiasa merujuk pakar pemakanan atau doktor bertauliah sebelum memulakan sebarang diet.

Pilihlah pendekatan yang seimbang dan tidak terlalu drastik. Ini kerana kesihatan lebih penting daripada mengejar berat badan ideal dalam tempoh singkat. Diet yang ekstrem boleh memberi kesan jangka panjang pada tubuh badan dan mental seseorang.

 

Previous articleKhasiat buah pisang untuk kesihatan
Next articleKonsert Boney M mengimbau kenangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here