Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA
PERIBAHASA Melayu ada berkata ‘gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama’ begitulah dengan pemergian komposer prolifik dan terkenal, Datuk S. Atan yang menghembuskan nafas terakhir di hadapan isteri tercinta, Datin Norizan Yeob pada 16 November di kediaman mereka di Kajang, Selangor.
Pemergian beliau pada usia 75 tahun pada pukul 3.23 petang kerana sesak nafas bukan sahaja meninggalkan keluarga tercinta namun sesuatu yang tidak boleh dinafikan beliau meninggalkan khazanah berharga untuk dunia seni tanahair.
Siapa yang tidak kenal dengan karya dan lagu-lagu ‘berhantu’ serta lagu-lagu raya yang malar segar hingga hari ini ciptaan S. Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said.
Beliau yang menceburi bidang ini sejak lima dekad lalu bukan sekadar melahirkan melodi yang indah dan meresap di jiwa malah lirik-lirik puitis lahir dari jiwa penulis lirik yang sering bekerjasama dengannya iaitu Haron AbdulMajid, Kamali Hudi dan Siso menjadikan lagu-lagu ciptaan beliau ‘hidup segar’ di jiwa para pendengar dan para peminatnya.
Berbekalkan lagu-lagu ciptaannya daripada seorang penyanyi baru yang tidak dikenali, ia berjaya meletakkan artis berkenaan di hati para peminat senisuara tanahair malah sebaris dengan mereka yang sudah cukup popular.
Sebagai komposer beliau telah menghasilkan lebih 1,000 lagu untuk para penyanyi terkenal tanahair antaranya Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza (Joget Kasih Tak Sudah, Berpantun Kasih), Allahyarham Tan Sri S.M Salim (Pandang Pandang Jeling Jeling), Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad (Biarku Sengsara Sendiri dan Tiada Dendam Di Hati), Allahyarham Datuk Sharifah Aini (Hadiahku Di Hari Bahagiamu), Black Dog Bone (Tiada Dendam Di Hati, Dulu dan Sekarang), Datuk DJ Dave (Kawan Setia), Anita Sarawak (Berakhir Cintaku), Uji Rashid dan Datuk Hail Amir (Bertemu Untuk Berpisah), Datuk Jamal Abdillah (Madah Seloka), Puan Sri Rina Rahman (Hidup Dan Kesedaran), Noorkumalasari (Bahgialah Sayang) dan banyak lagi.
Jika anda menghayati melodi yang mengiringi setiap bait lagu antaranya “Tiada Dendam Di Hatimu, Dulu Dan Sekarang, Bertemu Untuk Berpisah, Hidup dan Kesengsaraan” ia membuktikan betapa ‘berjiwanya’ lagu berkenaan dan ia bukan sahaja melonjakkan nama penyanyi berkenaan malah menjadi antara ‘lagu berhantu’ yang bertahta di hati para peminatnya.
Mendasari hati S. Atan yang telah mencipta lebih daripada 50 lagu raya malar segar dan beliau digelar sebagai ‘Bapa Lagu Raya,’ mempunyai formula tersendiri untuk mengekalkan lagu itu lekat di hati para pendengar.
“Lagu raya sebenarnya mengambil masa untuk popular. Jika ia dilancarkan sekarang ia akan popular dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Apabila menghasilkan lagu raya matlamat saya ia mesti hits. Demi memastikan itu, saya akan pastikan penyanyi berkenaan menyanyi harus ada ‘feel’ dengan sepenuh jiwa.
“Jika ‘feel’ itu tidak sampai saya akan membuat rakaman berkali-kali sehingga berjaya. Sebab itu dulu ramai penyanyi wanita yang menangis apabila bekerja dengan saya. Saya tidak marah mereka tetapi saya seorang yang amat teliti.
“Apabila bulu roma saya meremang bermakna lagu berkenaan sudah cukup ‘feel’ dan orang lain yang mendengar akan merasainya.” kata beliau bersungguh-sungguh.
Menyentuh mengenai lagu raya ciptaannya dengan yang pertama “Cahaya Aidilfitri” nyanyian Black Dog Bone pada tahun 1978, S. Atan yang komited dan teliti dalam menghasilkan karyanya agar ‘hits’.
“Setiap kali saya mencipta lagu, saya terapkan unsur ‘Kemelayuan’ bukan budaya barat. Melayu itu ada pada diri kita dan kita yang menentukan. Berpegang pada itu untuk lagu-lagu raya, budaya dan unsur kemelayuan itu mesti ada yang dekat dengan kita misalnya kenangan sewaktu kecil di kampung dan suasana beraya di kampung tidak boleh dipisahkan daripada orang Melayu.
“Disebabkan itu lagu-lagu raya saya menjadi malar segar dan diminati bukan sahaja hingga hari ini kerana lagu raya sampai bila-bila pun orang akan mendengarnya mungkin sampai 100 tahun lagi.
“Bukan itu sahaja, malah saya mencipta lagu mengikut apa yang dimahukan penyanyi itu dan bukan syok sendiri.
“Misalnya lagu ‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf’ nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, sebagai komposer saya mencipta lagu mengikut kemahuan penyanyi itu sendiri.
“Lagu tersebut dirakamkan di Singapura pada tahun 1986. Saya cipta lagu itu mengikut citarasa beliau yang mahukan irama asli.” kata S. Atan lagi.
Kalau sudah berjiwa seni dan bergelar komposer, biarpun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dalam diam, S. Atan sempat menghasilkan tiga lagu terakhir ciptaannya untuk seorang penyanyi wanita baharu sebagai sebahagian daripada projek album yang diusahakan bersama adiknya yang juga penulis lagu terkenal, Belle Fatah.
Menurut Belle atau Fatah Hassan Said, 66, projek tersebut merupakan kolabarasi terakhir mereka setelah hampir lima dekad mencipta pelbagai lagu.
“Kami telah bekerjasama menghasilkan banyak karya sejak tahun 1979 dan projek terbaru ini Arwah sempat menyiapkan tiga lagu dan saya dua lagu. Lagu-lagu gubahan Arwah adalah untuk seorang penyanyi wanita baru,” kata Belle Fatah.
Mengenali S. Atan, meskipun beliau adalah seorang komposer popular dan banyak lagu ciptaannya telah membantu mengekalkan populariti seseorang penyanyi tetapi realitinya walaupun telah mencipta 1,000 lagu dengan 56 lagu raya, beliau bukanlah seorang yang suka meminta-minta agar hasil karyanya menerima pengiktirafan daripada sesiapa.
Bagaimanapun sesuai dengan pepatah Melayu ‘Hanya Jauhari Yang Mengenal Maknikam,’ dan realitinya hasil karya S. Atan selama ini tidak sia-sia apabila pada Ogos 2023 beliau dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi yang ke-74 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Bukan itu sahaja, malah beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang ke-36 (ABPBH) pada 11 Oktober 2024.
S. Atan menerima anugerah istimewa itu kerana sumbangannya dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu dan menganggap anugerah tersebut sebagai pembakar semangat untuk orang seni agar terus berkarya apabila ada yang menghargai.
Beliau turut dedikasikan anugerah tersebut khas buat mereka yang menghargai setiap hasil karya termasuk keluarga yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.
Jenazah S. Atan ayah kepada enam orang anak iaitu Rozdi, Rozainie, Rozairie, Rozaimie, Norhafieza dan Norhanina disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, di Kajang pada jam 11.07 pagi pada 17 November.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.