Oleh: Khadijah Ibrahim
PERKARA yang paling berharga dalam kehidupan seseorang adalah pengalaman kerana ia tidak dapat dijual beli di mana-mana pasaran. Dek pengalaman meluasnya dalam bidang seni suara yang sudah diterokainya sejak 1980, penyanyi tersohor Udit Narayan sesuka hati saja boleh menukar senarai lagu yang bakal didendangkan.
Sifat profesional penyanyi berusia 69 tahun itu dapat dilihat sewaktu beliau menjayakan Konsert Udit Narayan Live In Kuala Lumpur di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 Disember lalu, anjuran VVST Digital Creation.
Udit yang telah mendendangkan lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sejak bergelar penyanyi tiga dekad lalu menggubah susun atur lagu yang bakal dinyanyi di pentas berdasarkan kepada reaksi penonton.
Penyanyi latar untuk filem Bollywood itu memulakan persembahan dengan lagu “Papa Kehte Hain” dari filem ‘Qayamat Se Qayamat Tak’, lakonan Aamir Khan dan Juhi Chawla yang melayakkan beliau menerma anugerah pertamanya di Anugerah Filemfare pada 1980-an.
Beliau tidak banyak bercakap, sekadar menyapa penonton seramai 3,000 itu dengan pertanyaan apa khabar Malaysia dan meneruskan dendangan keduanya dengan lagu “Ruk Ja”, diikuti dengan lagu “Jaadu Teri Nazar”, “Aye Mere Humsafar”, “Tere Naam”, “Raja Ko Rani Se”, “Pehla Nasha” dan “Ud Ja Kaale”.
Kalau ikutkan senarai, lagu kesembilan yang bakal didendangkan oleh Udit adalah “Sahaana Saral Thoo” tapi beliau memilih untuk mempercepatkan dendangan lagu “Nasha Yeh Pyaar Ka Nasha” dan “Tinak Tin Tana” dari filem ‘Mann’, lakonan Aamir Khan bersama Manisha Koirala.
Nampak ketara reaksi penonton apabila kedua-dua lagu tersebut didendangkan, suasana yang tadinya sepi kembali heboh apabila penonton turut menyanyi bersama-sama Udit.
Mungkin penyanyi itu kurang arif tentang selera penonton Malaysia terhadap lagu-lagu nyanyiannya. Disebabkan beliau sudah peka dengan kehendak penonton, Udit sempat berbincang dengan pemain keyboard (mungkin pengarah muzik) untuk menggubah susunan lagu.
Untuk penonton di Malaysia, apa saja lagu yang suaranya digunakan oleh aktor Shah Rukh Khan, Aamir Khan dan Salman Khan dalam filem lakonan mereka pasti akan dinyanyikan bersama kerana ketiga-tiga nama itu cukup sinonim dengan penggemar filem Hindi di negara ini.
Sudah pastilah penonton yang hadir ke konsert tersebut mahu dengar lagu “Kuch Kuh Hota Hai”, “Dil To Paagal Hai”, “Kaho Na Pyaar Hai”, “Bole Chudiyaan”, “Mehendi Lagake Rakhna” dan “Deewangi Deewangi”.
Setiap lagu yang memerlukan beliau berduet, Udit bergandingan dengan Deepa dan bakat baharu Sana Arora. Kira-kira 22 buah lagu didendangkan oleh Udit sebelum mengakhiri persembahan pada jam 10.45 malam.
Pada malam itu sebelum Udit muncul, penonton terlebih dahulu dihiburkan oleh Farez Adnan dan Putri Bollycover. Turut menjadi penyanyi pembuka tirai ialah Kilafairy dan Syamel.
Wah! Tak sangka Syamel yang popular dengan lagu “Hidup Dalam Mati” itu boleh menyanyikan lagu Hindi dengan baik sekali. Beliau mendendangkan lagu “Ab Ab Laut Chalen” dan “Bole Chudiyan”, duet bersama Kilafairy.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.