Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Nazirulzaman Nazli
MESKIPUN terpaksa menunggu hampir 28 tahun untuk mengeluarkan single mahupun album, penyanyi baharu Soma tetap bersyukur kerana impiannya itu terlaksana juga.
Soma atau nama penuhnya Rosmah S.Sengari @ Basar, 49, dari Telok Panglima Garang, Kelang, Selangor itu baru saja tampil dengan album sulung berjudul “Perjalanan”.
Ternyata penantian Soma berbaloi kerana selain muncul dengan karya sulung, beliau juga merupakan penyanyi terakhir yang berkesempatan bekerjasama dengan Allahyarham Datuk S.Atan, komposer terkenal tanah air itu.
“Album ini adalah hadiah buat diri saya dan buah tangan untuk seluruh rakyat Malaysia kerana mengetengahkan lagu hasil ciptaan komposer tekenal, Allahyarham S.Atan.
“Sebetulnya saya tak sangka yang saya merupakan artis terakhir yang bekerja dengan arwah S. Atan. Bila dia pergi dulu sebelum album ini dilancarkan, saya rasa sedih pun ada, bertuah pun ada. Sedih sebab dia tak ada, bertuah sebab saya adalah orang terakhir yang nyanyikan lagu ciptaannya.
“Kali terakhir jumpa arwah waktu konsert legends di Sabah pada 2 November lalu. Dia datang dengan wheelchair dan saya pun nyanyi lagu ciptaannya iaitu “Bebaskan Aku”. Di airport saya sempat beritahu dia yang saya nak fokus pada lagu raya ciptaannya yang tak sempat rakam lagi tu. Dua minggu selepas itu dia dah meninggal,” imbas Soma tentang pertemuan akhirnya dengan komposer tersohor itu.
Soma yang mula menyanyi sejak usia 13 tahun, pernah dinobat sebagai naib juara dalam Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009 dan arwah S.Atan merupakan salah seorng juri. Seterusnya pada tahun 2010, beliau diangkat sebagai juara dalam Bintang Klasik RTM 2010 mewakili negeri Selangor.
Berkongsi pengalamannya bekerja dengan arwah S.Atan, kata Soma beliau tidak ada masalah berkolaborasi dengan komposer itu walaupun tegas.
“Pengalaman bekerja dengan arwah menyeronokkan. Orang kata dia garang tapi tak pun. Dia tegas dan menekankan soal disipilin dalam apa yang kita buat dari segi masa dan komitmen, kena serius. Saya tak ada masalah kerana saya pun amat menitik berat soal itu.
“Perjalanan saya nak keluarkan album ini hampir 30 tahun. Lagu ini kira perjalanan kerjaya saya. Lirik lagu ini saya yang buat sebab arwah suruh saya. Saya pun buat lirik, laju saja secara spontan. Sebelum itu, dua lagu lama itu “Curahan” dan “Dugaan” lirik saya buat.
“Saya sempat berguru juga dengan Siso untuk menulis lirik. Dia kata nak tulis lirik, pertama bayangkan diri sendiri dulu. Baru kupas kehidupan sekeliling. Saya bayangkan diri saya dan maksud ayat itu terbuka kepada sesiapa saja,” katanya terus terang.
Soma mengeluarkan kos untuk pembikinan album dan video muzik hampir RM150,000 dan untuk video muzik sahaja kosnya bernilai hampir RM40,000. Sementara itu, penggambaran video muzik dibuat di Sentul.
“Biasalah seperti orang lain juga, saya sasarkan lagu saya dapat melangkah ke pentas AJL (Anugerah Juara Lagu). Kalau tidak sampai ke pertandingan pun, biar saya persembahkan lagu itu di pentas tersebut. Itu cita-cita saya sebab saya nak membawa hasil karya yang terakhir ini sangat Istimewa.
“Ini album digital, ada lima lagu termasuk lagu pop dan catchy. Lagu “Perjalanan” ini saya sasarkan untuk OST (runut bunyi) drama. Lagu kedua untuk orang berumur dan lagu last tu untuk show di istana.
“Untuk album ini saya ambil dua lagu dari album lama masukkan dalam album ini, total lima lagu. Untuk lagu ini ada tiga lagu ciptaan Datuk S.Atan tapi belum sempat dirakam. Akan diteruskan oleh anak dan adiknya, Belle.
“Salah satu adalah lagu raya iaitu “Kerlipan Langit Lebaran” dan lagu biasa. “Bisikkanlah Kekasih”. Dia memang buat untuk saya, demo semua dah siap tapi belum sempat rakam. Namun akan diteruskan bagi menyambung legasi karya seni beliau dan menjadikannya antara lagu-lagu terakhir yang terkandung di dalam album “Perjalanan”,” katanya.
Menyedari penampilannya pada era sekarang, Soma tidak keberatan untuk mengikut trend masa kini bagi mempromosi albumnya itu. Kata Soma, beliau mahu namanya tular cara sihat dan bukan dikenali kerana kontorversi.
“Saya akan ikut arus sekaran untuk mempromosi lagu-lagu dendangan saya dengan cara viral tapi sihat. Sekarang in ikan zaman media sosial, jadi kita terpaksalah ikut tapi janganlah cipta sesuatu yang tak betul.
“Saya lebih suka perkara yang realiti. Pada saya tarikan pertama adalah penampilan dan cara. Umur memang kita tak boleh tukar tapi kita oleh tukar dengan penampilan dan pergaulan. Semoga album “Perjalanan” ini mendapat sokongan ramai,” katanya penuh harapan.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.