Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Isa Gravity/Koleksi Syed Wafa
BAGI generasi baharu mungkin tidak mengenali siapa itu penyanyi Isa Hamzah atau lebih dikenali sebagai Isa Gravity. Namun kalau sebut lagu malar segar seperti “Sinambungan Cinta” dan “Kau Salju Cintaku” mereka boleh menyanyi dengan lancar.
Biarpun ada yang tidak mengenalinya, Isa, 60, tidak terasa hati kerana matlamat utamanya pada masa kini adalah mencari rezeki bersandarkan bakat yang ada untuk menyara keluarga.
Demi mencari rezeki halal, Isa sanggup mengenepikan perasaan malu dan kelibat beliau dapat dilihat di beberapa pusat membeli-belah menyanyi seorang diri sambil memetik gitar.
Jelas bapa kepada Mohd Izzudin, 23, dan Hidayah, 20, selama ini tidak pernah terfikir di fikirannya untuk menjadi busker mengadakan persembahan solo (busking) di pusat membeli-belah.
“Sekarang ini kerja saya adalah busking di mall sepenuh masa, secara solo dengan bermain gitar. Saya busking di Mall Aeon Big, Cheras, di Mydin Subang, dekat kedai makan dan restoran. Sejak pertengahan 2020.
“Tidak dinafikan, masa awal-awal busking terasa juga down tapi bila saya fikirkan nak cari rezeki untuk bagi makan anak bini, saya hilangkan perasaan itu. Jangan rasa diri kita ini artis sebab kita bermula daripada bawah juga.
“Tak boleh nak ego sangat kerana sekarang ini agak sukar nak mencari rezeki. Dulu saya bawa teksi selama 17 tahun dari anak sulung usianya dua tahun sampailah ke 2020.
“Sebenarnya saya sudah tidak bawa teksi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada 2020 kerana pelanggan berkurangan. Lagipun persaingan dengan Grab jadi saya memikirkan bila pendapatan berkurang, saya pun berhenti membawa teksi
“Bila tak bawa teksi, saya pun mula busking walaupun orang anggap busking ini macam rendah. Tapi tak apa, kalau itu cara yang boleh saya cari rezeki dengan halal, saya teruskan. Sedar tak sedar sudah empat tahun saya buat busking,” katanya tanpa berselindung.
Tambah Isa, beliau memilih untuk busking selepas melihat Roy melakukan perkara tersebut walaupun namanya pernah berada di puncak sebagai artis serba boleh.
“Saya buat busking selepas tengok Roy dan saya pun ambil panduan daripada dia. Kalau dia boleh menyanyi dengan cara itu, kenapa saya yang ada bakat menyanyi tak boleh buat begitu. Tolak ketepi perasaan malu tu kerana kalau beras di rumah habis tak ada yang nak membelinya.
“Masa busking, ada juga yang kenal saya sebagai penyanyi dan yang muda tak berapa kenal. Budak muda hanya kenal lagu tapi tak kenal penyanyi. Bila dengar saya nyanyi mereka terhibur dan kata sedap lagu abang atau pak cik nyanyi.
“Kalau busking di mall tu saya buat tiga syif iaitu bermula jam 11 pagi sampa 8 malam, kiranya lepas Isyak saya balik rumah. Saya tak ada masalah busking di pusat membeli-belah kerana saya bayar sewa tapak.
“Saya adalah busker yang bernaung di bawah pengurusan Maahad Tahfiz Riyadhul Jannah yang dikendalikan oleh Haslam Shariff, di namakan Seniman Muslim bersama tujuh lagi penyanyi lain. Di bawah pengurusan ini, saya ada KWSP. Sebab itu saya boleh bertahan lama.
“Saya tak ada gaji bulanan tapi pendapatan setiap hari akan dibahagi dua dengan sekolah tahfiz, dengan cara itu saya dapat juga pahala. Masa busking, lagu-lagu yang saya nyanyi adalah dari era 60-an, 70-an dan semasa tapi lagu Gravity wajib kena nyanyi,” katanya yang ada ketika turut membuat live sewaktu busking.
Meskipun jadual kerjanya tidak terikat tapi Isa konsisten melakukan tanggungjawabnya seolah-olah bekerja di pejabat. Jelas Isa, jika kerajinan mendatang, beliau akan menyanyi setiap hari tanpa ada cuti.
“Kalau tak cuti, hari-hari saya akan busking di enam tempat tapi tukar-tukar lokasi la. Selalunya saya akan berada di sekitar Cheras, Semenyih, Subang Jaya. Pengurus saya akan bagi jadual kerja dan bila ada jadual saya ikut saja.
“Alhamdulillah, bila saya bernaung di bawah persatuan, taklah kena halau sewaktu buat persembahan sebab dah bayar sewa tapak. Kita tak bimbang dan paling malu kalau kena halau. Setakat ini tak pernah kena la.
“Saya tak busking kat Bukit Bintang sebab dah ramai buskers dan kena bagi masa setiap orang dua jam. Kalau saya kat mall ni, sebab seorang boleh buskig sampai malam. Pendapatan paling banyak pada Sabtu dan Ahad, memang berbalaoi.
“Kalau hari biasa tu nak kata berbaloi kuranglah tapi gaji ada. Gaji tu adalah hasil kutipan nyanyian. Kalau sehari dapat RM200, saya akan bahagi dua untuk sekolah tahfiz tu dapatlah RM100. Kalau hari hujan, risau sikit sebab orang tak ramai datang. Apapun saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya yang berpeluang menemui pelbagai ragam manusia sewaktu busking.
Apabila bertemu dengan pelbagai ragam manusia, soalan yang sering diterima oleh Isa adalah kenapa abang busking? Abang bukankah penyanyi popular?
“Ada juga peminat tak percaya saya busking dan tanya kenapa busking? Kalau ada yang tanya begitu, saya akan cakap cari duit sebab show tak ada, itulah alasan saya. Kurang show sebab itu kena busking.
“Alhamdulillah dengan busking juga ada ketikanya saya mendapat pelawaan untuk menyanyi di majlis perkahwinan. Itu namanya rezeki tak dijangka. Jika tidak ada halangan saya pergi saja. Selain mencari rezeki saya mahu menghibur orang ramai yang mengenali dan mengingati siapa itu Isa Gravity,” katanya yang pernah menghasilkan beberapa album sewaktu bersama kumpulan Gravity.
Kata Isa, kumpulan Gravity tidak berpecah cuma masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Namun demi untuk menjayakan ‘Konsert Rock Kapak 2’ yang akan berlangsung di Panggung Asia Kuala Lumpur, pada 28 Disember ini, anggota Gravity akan bersatu.
Konsert anjuran Attah Music ini turut disertai oleh kumpulan Gamma, Rockapak Band dan penampilan istimewa daripada Amir SYJ/SOFEA dan Joe Rockers.
Sementara itu bersama Gravity, Isa pernah menghasilkan album “Inspirasi” (1991), “Metal Rock – Perjuangan” (1992) album kompilasi, “Anak Langit” (1993), “Keunggulan Gravity” (1999) album kompilasi dan “Memori Hit Gravity” (2008) album kompilasi.
Tolak tawaran Gegar Vaganza
Isa tidak menafikan yang beliau juga pernah mendapat tawaran daripada pihak Astro untuk melibatkan diri sebagai peserta program realiti Gegar Vaganza (GV).
Meskipun tawaran tersebut secara tidak langsung dapat mengembalikan namanya di persada seni tanah air, Isa tetap menolak kerana tahu kelebihan dan kekurangan diri.
“Memang ada dua kali tawaran untuk sertai GV tapi saya tak nak sebab saya ni suka lupa lirik dan mudah tersentuh atau kecil hati kalau kena komen. Makin berusia ni makin mudah tersentuh dan cepat terasa.
“Kalau orang lain nak masuk pertandingan tu, silakan. Saya tak kisah kerana fokus utama saya sekarang ini adalah busking kerana dengan cara itupun saya dapat cari makan. Daripada busking itulah saya dapat rezeki yang tak dijangka, apabila ada yang panggil saya untuk show majlis kahwin.
“Sebenarnya kalau ada rezeki dan peluang, saya teringin nak rakam semula lagu-lagu ciptaan saya yang dibuat untuk artis lain. Mungkin ramai yang tak tahu, sejak dulu saya juga mencipta lagu, bukan untuk Gravity saja tapi untuk artis lain juga.
“Lagu ciptaan saya yang popular antaranya adalah dendangan kumpulan Pearl berjudul “Aku Tak Bersalah” dan EYE “Setiamu Gugur Di Mata”. Saya guna nama Isa Gravity waktu cipta lagu dan lirik selalunya dihasilkan oleh orang lain. Dekat 100 lagu saya cipta, termasuklah untuk kumpulan Spring dan Smash,” katanya terus terang.
Jika ada yang berminat untuk mendapatkan lagu-lagu ciptaannya, Isa tidak menolak untuk memberi kerjasama. Namun sebelum menghasilkan melodi tersebut, beliau lebih senang mendengar nyanyian si penyanyi terlebih dahulu.
“Kalau ada yang minta lagu daripada saya, boleh saja tapi saya perlu dengar karakter vokal dulu. Untuk tahu dia minat lagu apa? Saya banyak buat lagu balada. Simpanan lagu dalam tape untuk dengar balik.
“Selain untuk mencipta lagu untuk orang lain, saya juga tidak menolak jika peluang untuk berduet dengan mana-mana artis baharu,” katanya.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.