Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Siti Fairus/Koleksi Syed Wafa
Bila berlakunya sesebuah perceraian, seseorang wanita tidak seharusnya bersedih atau terus meratapi nasib. Sebaliknya mereka harus reda dan anggap ada hikmah disebalik apa yang terjadi.
Begitu dengan penyanyi yang popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu, Datuk Siti Fairuz Sheikh Mohamed, 61, yang tidak menyangka di hujung-hujung usianya, Allah masih memberikan jodoh terbaik buat dirinya.
“Lepas bercerai dulu, memang saya tak fikir ada jodoh lagi. Tambah pula saya sudah berusia. Tapi tak sangka ketentuan Allah mahu memberikan saya seorang teman dan rasa bahagia kepada diri saya. Kini hidup saya semakin tenang dan setenang-tenangnya dan inilah yang saya impikan selama ini kerana saya dah malas nak fikirkan tentang keduniaan.
“Pada saya kami tak kaya pun tak apa, asalkan kami dapat bersama-sama kemana-mana sahaja. Kini saya dah tak perlu fikir nak cari duit untuk teruskan kehidupan sehari-hari. Kini dah ada suami (mesra dipanggil Abang) dialah tempat saya bergantung. Selain itu, Alhamdulillah kerana saya masih terima undangan menyanyi di sana sini…ada juga rezeki kami.
“Saya pun dah hentikan segala bisnes kecil-kecilan jual pelbagai jenis kopi dan minyak wangi yang pernah saya usahakan sebelum ini. Abang kata cukuplah kita hidup dengan seadanya. Sekarang bukan masanya nak cari duit atau mengejar dunia sebaliknya kami lebih suka hidup bersederhana dengan cara kami,” kata Siti Fairuz yang cukup bahagia dengan suami barunya, Syed Mohamed Syed Ismail, 74, yang dikahwininya pada 18 April 2023.
Bagi Siti Fairuz perkenalan singkat bersama suami mungkin sudah tertulis jodoh antara mereka berdua. Jika diikutkan hati Siti Fairuz sudah serik dengan kegagalan perkahwinannya yang terdahulu. Namun tidak menyangka setelah setuju berkahwin, segala urusan perkahwinan mereka dipermudahkan Allah.
Sebelum ini, sewaktu namanya sedang memuncak naik, Siti Fairuz mengejutkan dunia hiburan dengan meninggalkan terus bidang seni setelah mengahwini Mohamad Zainuddin Kordi pada 1990. Namun keduanya bercerai pada 14 Julai 2008 dan demi anak-anaknya Siti Fairuz kembali mewarnai dunia hiburan.
Mungkin sudah jodoh, Selepas itu beliau bernikah dengan Mahmud Abdul Samad pada 9 September 2011 tetapi turut berakhir dengan perceraian. Kini selain menyanyi, Siti Fairuz banyak menemani suaminya berjumpa saudara-mara dan dalam waktu yang sama meneruskan bisnes sampingan Amway yang telah lama disertai suaminya
Siti Fairuz anak kelahiran Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang ini, menambah, di usia sebegini kini rasa nak berehat sahaja.
“Dah hujung-hujung usia ni rasa nak berehat sahaja dan waktu fikirkan diri sendiri kerana waktu membesarkan anak-anak sudah berakhir. Kini saya hanya perlu enjoy dan lalui kehidupan sekarang dengan sebaik-baiknya.
“Dah usia-usia begini cukuplah dengan apa yang kami miliki, saya menyanyi lagi pun bukan sebab nak kaya. Cukuplah hati saya senang, tenang, sihat, bahagia dah cukup buat kami berdua.” katanya yang kini menetap di PPR Sri Aman, Kepong.
Menurut Siti Fairuz yang merupakan anak bongsu daripada 11 adik-beradik ini, dia gembira kerana mendapat suami yang cukup memahami dirinya.
“Saya bertuah kerana Abang juga berjiwa seni dan tak ada masalah untuk kami berdua kemana-mana sahaja. Sepanjang kahwin Abang tak pernah menyuruh atau menghalang apa yang ingin saya lakukan. Abang serahkan pada saya untuk fikirkan mana yang terbaik buat diri sendiri.
“Abang memang peminat saya sejak dulu lagi. Walaupun penyanyinya sudah berada di depan mata, dalam kereta Abang akan tetap putarkan kesemua lagu nyanyian saya sepanjang perjalanan kami ke mana sahaja.
“Saya juga bersyukur setelah di uji dengan pelbagai masalah, akhirnya di hujung-hujung usia saya dapat ketenangan dalam hidup ini. Mana taknya dulu saya kahwin muda, bila bercerai saya mulai di uji Allah dengan pelbagai dugaan. Namun melihat anak-anak, saya jadi lagi kuat hinggalah sekarang ini.”
Hingga kini, kemana sahaja mengadakan persembahan, peminat Siti Fairuz tetap mendambakan lagu malar segarnya, Bila Rindu Ku Sebut Namamu.
“Peminat lebih suka lagu-lagu lama saya terutamanya Bila Rindu Ku Sebut Namamu. Itu sebabnya saya tak berminat nak hasilkan single terbaru buat masa ini. Kalau ada rezeki, saya lebih sukakan lagu genre seperti irama Malaysia, balada dan sentimental. Tengoklah ada rezeki, saya akan buat single baru. Doa-doakanlah.’’
Hasil perkahwinannya terdahulu, Siti Fairuz dikurniakan lima orang cahaya mata dimana empat orang sudah berumah tangga dan seorang lagi masih bujang. Anak-anaknya iaitu Farhanah Afifah,Farahiah Amirah, Fadhli Asyraf, Fariz Afiq dan Fakhri Aiman serta lima orang cucu. Manakala suaminya juga mempunyai lima orang anak dengan 12 cucu.
Sepanjang penglibatan seni, Siti Fairuz cukup berbangga kerana sumbangan seninya turut dihargai sehingga beliau dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada tahun 2022.
Manakala dalam bidang seni pula, di bawah bimbingan komposer Tan Sri Ahmad Nawab, dengan lagu ciptaannya Usah Bertanya Lagi dan Bila Rindu Ku Sebut Namamu telah membolehkan Siti Fairuz melangkah lebih jauh dalam dunia seni suara. Malah Siti Fairuz juga pernah mara dalam Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali menerusi lagu ciptaannya.
Kemantapan dan kelunakan vokalnya, Siti Fairuz juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Penyanyi Wanita Popular.
Tujuh tahun lalu, ibu kepada lima cahaya mata itu muncul dengan single Mengapa Tak Setia ciptaan Mat Din dan lirik Mama Juwie serta Tiada Penghujung Sinar, ciptaan sepenuhnya Hang Mokhtar.
Sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi, Siti Fairuz pernah muncul dengan album Wajah Cinta pada tahun 1985, Usah Bertanya Lagi dan Bila Rindu Ku Sebut Namamu (1987), Penantian Belum Berakhir (1988) dan Rindu (2017). Siti Fairuz juga pernah berduet lagu Bunga Kasih dengan penyanyi Kazar untuk filem Gila-Gila Remaja.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.