Aspalela Abdullah bidunita yang gigih memperjuangkan irama Melayu Asli hingga ke akhir hayatnya.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Koleksi Syed Wafa

8 Disember lalu dunia seni kehilangan sebutir lagi bintang, apabila penyanyi era 1960-an yang cukup dikenali dengan genre irama Melayu Asli, Biduanita Aspalela Abdullah, 80, yang selama ini menyinari dunia seni hiburan tanah air meninggal dunia.

Aspalela menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 10 pagi selepas terjatuh dalam bilik air di kediamannya di Taman Melati dalam pukul 7 pagi. Jenazah Aspalela selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur.

Aspalela Abdullah bersama Allahyarham Datuk M. Daud Kilau bersama piala selepas bergelar juara Bintang Radio 1968.

Allahyarham yang juga balu kepada pelawak dan pengarah, Allahyarham Raja Ismail Raja Saat meninggalkan dua anak iaitu Raja Iskandar dan Raja Norhanifah, manakala anak bongsunya Raja Nurulfaiz (Ayu) sudah meninggal dunia dan tiga orang cucu. Raja Ismail merupakan adik kepada pelakon Raja Hamidah (isteri pelakon dan pengarah Salleh Ghani) meninggal dunia pada 26 Mei 2000.

Sejak kematian suaminya, Aspalela yang menghidap penyakit darah tinggi dijaga anak keduanya, Raja Nur Norhanifah, 54, bersama cucunya, Puteri Wan Nur Izzati Azhari,30.

Gaya seorang juara…Aspalela tersenyum puas hasil usahanya berlatih berjaya menjadi juara Bintang Radio 1968.

Dalam kesibukan menyanyi, Aspalela bersama beberapa rakan artis veteran aktif menjalankan aktiviti marhaban dan bacaan Yassin bersama Kumpulan Artis Wanita (KAWAN) yang dipimpin oleh Datuk Yusni Hamid. Selain Aspalela dan Datuk Yusni Hamid kumpulan ini turut dianggotai Zalifah Ibrahim, Asiah Urip dan Maimunah Ahmad (Mak Jah), S Mariam, Aizom Othman, Wan Julia, Siti Hajar Ismail, Muhaini Suratman dan lain-lain lagi.

Selain menyanyi, Aspalela Abdullah juga merupakan bekas kerani di bahagian Analisis Lembaga Letrik Negara (kini Tenaga Nasional Berhad). Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, beliau pernah menghasilkan sebanyak lima buah album.

Aspalela Abdullah bersama sifunya, Allahyarham Tan Sri S. M. Salim yang berjaya mencungkil bakat beliau hingga berjaya bergelar penyanyi.

Aspalela pernah menjuarai Bintang Radio 1968, popular dengan lagu Payung Mahkota dan Titian Kasih Ke Syurga. Manakala album Joget Cari Makan yang diterbitkan Omar Taib pada tahun 1991 dianggap Aspalela sebagai album cari makan beliau kerana kebanyakan lagu dalam album tersebut sering dinyanyikannya setiap kali undangan menyanyi ataupun ketika mengadakan persembahan pentas.

Kebanyakan lagu dalam album tersebut bagaikan suara jiwa seorang Aspalela yang benar-benar mencintai irama Melayu Asli. Antara lagu popularnya, Joget Memujuk, Sri Andalas, Zapin Makan Hati, Bunga Hati, Joget Cari Makan, Payung Mahkota, Bukan Sekadar Sekalung Doa, Titian Kasih Ke Syurga, Ibunda Tercinta dan Embun Menitik.

Album “Joget Cari Makan” yang mengandungi banyak lagu popular Aspalela Abdullah.

Kemerduan lagu berirama asli langgam, iaitu Ibunda Tercinta ini turut menarik minat beberapa pendatang baru seperti Azizul Haqim dan Amran Ibrahim Rashidi untuk merakamkan semula lagu nyanyiannya ini.

Sepanjang enam dekad bergelar artis, Aspalela pernah menerima anugerah bagi kategori Artis Sepanjang Zaman 2006 (Penyanyi Lagu Melayu Asli) pada Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA).

Suami Aspalela Abdullah iaitu pelawak dan pengarah filem terkenal, Allahyarham Raja Ismail Raja Saat.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pembabitan Aspalela dalam bidang seni adalah hasil usaha isteri kepada Tan Sri S.M Salim. Beliau merupakan anak didik penyanyi tersohor Tan Sri SM Salim. Malah isteri beliau juga yang membantu menjadikan Aspalela sebagai penyanyi sejak 1962.

Lenggok suara Aspalela ketika menyampaikan lagu-lagu irama Melayu Asli membuatkan peminat mudah terpaku dengan kemerduan suaranya. Itulah keunikan dan keistimewaan penyanyi veteran, Aspalela Abdullah yang semakin terpinggir dari arus perkembangan industri hiburan arus perdana sewaktu di akhir-akhir hayatnya.

Bagi Aspalela, walaupun albumnya tidak banyak tetapi merakamkan lagu Joget Dua yang dimuatkan dalam album Cinta Sayang terbitan syarikat rakaman Redifussion khas untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman merupakan sumbangan dan kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang kerjaya seninya.

Aspalela Abdullah tetap bertenaga menyanyi dengan iringan muzik orkestra secara live.

Aspalela pernah menyuarakan rasa sedihnya kerana lagu-lagu irama Melayu Asli bagaikan tidak mendapat tempat di hati orang-orang Melayu dan pihak stesen TV. Padanya, jika sikap begitu berterusan dengan hanya menghargai orang-orang muda dan lagu-lagu moden nampaknya lagu tersebut akan hilang bersama hilangnya orang-orang yang pernah menyanyikannya.

Aspalela percaya bidang seni tidak pernah ketandusan bakat, tetapi sayangnya ruang untuk generasi baru ini berkarya tidak ada. Baginya kebanyakan stesen televisyen dan radio hanya menerbitkan program yang berorientasikan lagu-lagu moden hingga melupakan lagu irama Melayu Asli.

Aspalela juga tidak menafikan bahawa beliau juga adalah penggemar lagu genre moden.Beliau berharap agar stesen TV memberi peluang untuk menerbitkan program bagi mengetengahkan lagu-lagu irama Melayu Asli. Biarlah seimbang, barulah seni muzik kita terus berkembang dan bukannya pupus ditelan zaman.

Aspalela Abdullah bangga kerana ada pelapis bakal meneruskan perjuangannya dengan lagu irama Melayu Asli.

Bagi Aspalela, bukan tiada golongan pelapis yang mahu memikul tanggungjawab meneruskan legasi muzik itu, sebaliknya, mereka tidak mempunyai ruang menyalurkan bakat, sekali gus menjulang irama Melayu Asli supaya tidak hilang begitu sahaja.

Pada pandangan Aspalela, negara mempunyai ramai penyanyi pelapis berbakat besar dan mampu menyanyikan lagu irama Melayu Asli dengan begitu baik sekali terutamanya, Asmidar, juara program 3 Juara kategori Irama Malaysia, Azizul Haqim dan Haziq Rosebi (Akademi Fantasia 4). Padanya mereka juga mampu membawa lagu-lagu asli dengan baik kerana nyanyian ketiga-tiga penyanyi ini sangat baik dan sedap didengar.

“Sejujurnya, saya bukanlah penyanyi lagu asli yang baik pada asalnya. Berkat menyertai program terbitan RTM, saya banyak berkenalan dengan penyanyi yang lebih senior dan belajar lenggok nyanyian daripada mereka. Mungkin RTM boleh mengambil inisiatif untuk menerbitkan kembali program sama ada di stesen TV atau radio.

Aspalela Abdullah (duduk tengah sekali) bersama rakan-rakan artis anggota KAWAN ketika menyertai majlis marhaban, beliau aktif marhaban bersama teman artis antaranya meraikan majlis berendoi cucu Puan Sri Faridah.

“Lagipun, sebelum ini, mereka banyak menganjurkan pertandingan nyanyian lagu asli. Apabila ada program seperti ini, dapat juga bakat baharu yang lahir dari pertandingan mencari tapak. Secara tidak langsung, ia dapat mempertahankan irama ini daripada pupus ditelan arus kemodenan,” kata Aspalela yang pernah bergandingan dengan Haziq menyanyikan lagu Joget Jauh Pandangan.

Sebagai insan yang berjiwa seni, dalam meniti usia tuanya, sekali lagi Aspalela turut menyarankan agar ada barisan pelapis yang bakal memperjuangkan genre irama melayu asli agar terus dapat bertahan. Luahan hatinya ini ketika barisan rakan strategik FINAS iaitu Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), CDERT Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Felda, GISB Holdings dan Koperasi Al-Najah datang melawatnya beberapa tahun yang lalu.

Selain menyanyi, Aspalela juga berbakat dalam bidang pengarahan dan penulisan skrip. Beliau kini sedang menyiapkan skrip yang memaparkan kisah hidupnya yang penuh tragis.

Usia bukan penghalang Aspalela Abdullah untuk memberikan persembahan terbaik buat peminatnya.

Dalam meneruskan liku kehidupannya tanpa suami disisi, Aspalela tetap tabah menghadapi hidup. Beliau tidak pernah berkira dengan bayaran yang diterimanya walaupun tidak setimpal dengan bakat dan gelarannya sebagai artis veteran.

Kadang-kadang Aspalela ingin menolak tawaran tersebut yang tidak berbaloi dengan bakatnya. Namun kerana jiwa seninya yang begitu menebal, Aspalela tidak berupaya menolaknya.

“Ada ketika saya bagaikan mahu menolak tawaran menyanyi tetapi jiwa seni yang menebal membuatkan saya terima juga. Saya fikir daripada tidak buat apa-apa di rumah, lebih baik terima saja tawaran tersebut, dapat juga duit buat belanja. Bukanlah saya tidak boleh hidup tanpa undangan menyanyi tetapi jiwa seni saya rasa terhibur apabila dapat menghiburkan orang lain.”

Aspalela Abdullah bidunita yang tidak pernah lokek dengan senyuman.

Walaupun begitu banyak baktinya dan suaminya dalam arena seni suara serta industri perfileman negara, namun bakat dan jasa mereka berdua tidak pernah dipandang ataupun dihargai sesiapa berbanding artis-artis baru dan muda yang begitu mudah menerima gelaran Datuk.

Bagi Aspalela penglibatannya dalam bidang seni adalah kerana minatnya terhadap irama Melayu Asli dan beliau tidak pernah berharap sebarang balasan ataupun gelaran. Oleh itu Aspalela sudah berpesan kepada anak dan cucunya, seandainya dirinya sudah tiada, Aspalela tidak mahu mereka menerima sebarang anugerah yang dikurniakan padanya dan malah mengharamkan mereka untuk menerima bagi pihak dirinya.

 

Previous articleSebuah Kejayaan!
Next articleCara penyediaan Nasi Ayam Krispy Buttermilk yang lazat hanya di Restoran Rasa Rosz, IOI City Mall Putrajaya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here