Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin
Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA telah dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi FELDA, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek awal Disember lalu.
Program ini akan menyaksikan gabungan usaha lebih 15 entiti yang melibatkan anak syarikat, koperasi dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) FELDA yang telah menyediakan bantuan berjumlah RM1,155,200.00.
Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek ketika ditemui di majlis peluncuran misi bantuan banjir berkata, bantuan ini hanya tertumpu di semua Rancangan FELDA yang terjejas akibat banjir.
“Banjir kali ini melibatkan 18 buah Rancangan FELDA, dimana ada satu FELDA melibatkan beberapa buah rumah yang ditenggelami air dan ada kawasan hanya sebuah rumah yang terjejas dan ada lagi FELDA ada empat buah rumah dan ada juga yang melibatkan sehingga 18 buah rumah.
“Bila sebut pasca banjir, kita kena kenalpasti tempat-tempat yang perlukan bantuan segera. Sepertimana apabila air surut dan sekembalinya mereka ke rumah bila air surut sudah pasti selutnya tinggi dan perlukan bantuan pembersihan. Selain itu siapa yang akan membantu membersihkan sekolah, masjid, balairaya dan lain-lain lagi.
“Takut lepas pasca banjir, pelbagai penyakit akan timbul. Jadi keutamaan kami di FELDA adalah memberi bantuan di Rancangan FELDA dan kawasan lain kerajaan negeri akan menguruskannya. Ini baru gelombang pertama, kita tidak tahu ada ke lagi gelombang kedua dan ketiga,’’ katanya mengenai FELDA yang telah menubuhkan team Felda Siap Siaga
Bantuan ini merangkumi barangan keperluan, dapur masak, pakaian, makanan, kit siap siaga, dan keperluan asas lain akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Peluncuran ini turut menampilkan penyampaian sumbangan mock up cheque oleh setiap anak syarikat dan pelepasan kenderaan pacuan 4 roda skuad misi bantuan banjir Kumpulan FELDA dan Pertubuhan Sahabat Pertahanan Awam (PeSPA) yang akan bekerjasama dengen FELDA dalam sebarang aktiviti komuniti bermula daripada misi banjir kali ini.
Sehingga 3 Disember 2024, empat negeri yang memiliki rancangan FELDA telah terjejas dengan bencana ini, melibatkan Terengganu (6 rancangan), Wilayah Alor Setar (1 rancangan), Wilayah Raja Alias (8 rancangan) dan Wilayah Trolak (3 rancangan).
Seramai 1,813 ahli keluarga daripada 496 buah rumah di kawasan terlibat kini sedang berdepan cabaran pasca banjir. Wilayah Raja Alias mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu di Rancangan Jelai 4 dengan 117 rumah keluarga yang terjejas, diikuti oleh Seberang Tayor, Terengganu (107 rumah). Sebanyak 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan untuk membantu mereka yang dipindahkan.
Keadaan lebih mencabar apabila beberapa kawasan FELDA seperti di Felda Aring (Wilayah Gua Musang) serta Felda Tersat dan Mengkawang (Wilayah Terengganu) terputus hubungan akibat banjir.
Situasi ini menjadikan misi bantuan FELDA lebih penting dalam memastikan bantuan sampai ke kawasan yang memerlukan. Misi kali ini bukan sahaja menumpukan kepada bantuan segera, tetapi juga persediaan menghadapi gelombang banjir seterusnya.
Semua wilayah dan negeri telah diarahkan bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan ini. FELDA komited dalam memastikan kebajikan peneroka sentiasa diutamakan. Inisiatif ini membuktikan kekuatan perpaduan komuniti FELDA dan semua rakan strategiknya dalam menghadapi cabaran bencana alam.
Kami menyeru supaya lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan dan sokongan demi kesejahteraan komuniti yang terjejas.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.