Oleh: Nury Kadir
Hari ini matahari tersenyum di ufuk…begitu indah sekali! Semalam, seharian hujan dan matahari tidak kelihatan. Begitu juga kelmarin, hujan walaupun tidak lebat kadang-kadang gerimis tapi tanah sentiasa basah. Sudah dua hari matahari tidak kelihatan, terasa rindu dengan sinarnya.
Bila hujan turun tanpa henti, banyak tempat ditenggelami air. Begitulah suasana di negara kita setiap hujung tahun, cuaca yang tidak dapat dielak, mahu atau tidak, kita terpaksa menghadapi situasi tersebut. Apabila langit kelihatan gelap ‘pokok hari’, jantung berdebar-debar akan hujankah sebentar lagi, lebatkah atau sekadar cukup untuk membasahi bumi?
Semua persoalan itu tidak mampu dijawab kerana hujan termasuk di dalam lima kunci ghaib yang hanya diketahui Allah. Ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari: Maksudnya: “Kunci-kunci semua yang ghaib jumlahnya lima, tidak ada yang dapat mengetahui lima perkara ni kecuali Allah, “Sesungguhnya Allah hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat dan Dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tidak ada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakan esok hari. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.” “Sesungguhya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”(surah Luqman:34)”- HR al-Bukhari.
Melihat gelap ‘pokok hari’ belum tentu hujan, mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurah jangan. Kerana, mendung tidak bermakna akan hujan di tempat kita, mungkin awam dibawa angin lalu dan hujan di tempat lain. Tidak ada siapa yang tahu bila akan turunnya hujan kerana ia perkara ghaib yang Allah sahaja mengetahuinya. Ramalan cuaca itu sekadar ramalan, tidak semestinya tepat.
Apabila sebut tentang hujan dan banjir, sebenarnya banyak soalan yang timbul walaupun setiap tahun banjir melanda. Soalan yang sama pasti akan muncul. Bolehkah mangsa banjir menjamakkan solat? Bolehkah air banjir digunakan untuk wuduk? Bolehkah lakukan upacara tolak hujan? Dan, banyak lagi pertanyaan bolehkah?
Semua persoalan itu akan dijawab melalui himpunan artikel daripada www.muftiwp.gov.my yang akan diambil tanpa mengubah sedikit pun kerana ia melibatkan hukum. Jika tersilap mentafsirnya akan menyebabkan masalah hukum yang lain pula.
Mufti Wilayah Persekutuan memulakan bicara dengan menyebut firman Allah SWT dalam Surah Qaf ayat 9. Maksudnya : “Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.”
Imam Al-Baghawi dalam Ma’alim al-Tanzil, Al-Baghawi berkata : “Iaitu (air yang berkat) dari sudut padanya kebaikan yang begitu banyak serta padanya juga kehidupan setiap sesuatu dan ia adalah air hujan.”
Berikut dikongsikan beberapa perbahasan hukum mengenai hujan agar ia menjadi manfaat buat kita.
1. Hukum Bersuci Dengan Air Hujan
Di dalam Islam, hujan adalah salah satu ejen penyuci. Air hujan adalah sebahagian daripada sumber air mutlak yang membolehkan seseorang itu mengangkat hadas kecil dengan cara berwuduk dan juga mengangkat hadas besar dengan cara mandi wajib. Demikian juga air hujan boleh digunakan untuk membersihkan najis.
Hakikat hujan ini seperti yang disebutkan dalam beberapa nas syarak, antaranya adalah firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 48, Maksudnya: “Dan Kami turunkan daripada langit air yang suci.”
Ia juga disebut dalam firman Allah SWT, Maksudnya : “Dan Dia menurunkan ke atas kamu air dari langit supaya kamu dapat bersuci dengannya.” (Surah Al-Anfaal:11)
Berdasarkan kedua-dua nas di atas dapat difahami bahawa harus hukumnya buat seseorang itu menggunakan air hujan untuk berwuduk, mandi wajib, mandi-mandi sunat, serta membersihkan najis. Ini kerana ia termasuk dalam kategori air mutlak yang tujuh serta bersifat suci lagi menyucikan.
2. Hukum Berdoa Ketika Hujan
Ketika hujan turun ia salah satu waktu yang dianjurkan untuk berdoa. Sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata:
فَإِنْ مُطِرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا هَنِيئًا
Maksudnya : Adalah Rasulullah S.A.W apabila hujan baginda akan membaca : Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat. (HR Al-Nasa’ie)
Daripada Aisyah R.anha berkata, Adapun Rasulullah SAW ketika melihat hujan:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya: “Ya Allah Kau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” (HR al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, mengatakan bahawa doa yang disebutkan di dalam hadis itu adalah sunat dibaca ketika hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat.
Di samping itu juga, ketika hujan adalah saat mustajab doa seperti yang Rasulullah SAW sebut. Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.” (HR al-Hakim)
Ada satu lagi hadis yang menyebutkan tentang anjuran dan galakan untuk berdoa semasa hujan. Rasulullah S.A.W bersabda: Maksudnya : “Tuntutlah kemustajaban doa ketika berlakunya pertempuran tentera, ketika solat hendak didirikan, dan ketika turunnya hujan.”
Manakala apabila hujan telah berhenti, disunatkan kepada kita membaca sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Zaid bin Khalid al-Juhani R.A :
مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ
Maksudnya : “Kami dilimpahkan hujan dengan fadhilat dan rahmat daripada Allah.” (HR Muslim)
3. Hukum Berdoa Minta Dialihkan Hujan Lebat
Sekiranya berlaku mudarat disebabkan hujan lebat tanpa henti, maka dianjurkan sebuah doa yang dibacakan dengan tujuan untuk meredakan hujan, maka perbuatan sebegini ada perbahasannya di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :
بَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَسْقِيَنَا فَتَغَيَّمَتِ السَّمَاءُ وَمُطِرْنَا، حَتَّى مَا كَادَ الرَّجُلُ يَصِلُ إِلَى مَنْزِلِهِ، فَلَمْ تَزَلْ تُمْطَرُ إِلَى الْجُمُعَةِ الْمُقْبِلَةِ، فَقَامَ ذَلِكَ الرَّجُلُ أَوْ غَيْرُهُ فَقَالَ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَصْرِفَهُ عَنَّا، فَقَدْ غَرِقْنَا. فَقَالَ اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا فَجَعَلَ السَّحَابُ يَتَقَطَّعُ حَوْلَ الْمَدِينَةِ، وَلاَ يُمْطِرُ أَهْلَ الْمَدِينَةِ
Maksudnya : Ketika Nabi S.A.W sedang menyampaikan khutbah pada hari Jumaat maka berdirilah seorang lelaki lalu berkata : Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami. (Maka Rasulullah pun berdoa kepada Allah). Kemudian langit pun menjadi gelap gelita dan hujan turun. Sehinggalah apabila lelaki tersebut sampai ke rumahnya, maka hujan tetap turun secara berterusan sehinggalah pada hari Jumaat yang berikutnya. Maka lelaki tersebut atau selainnya sekali lagi bangun lalu berkata : (Wahai Rasulullah) berdoalah kepada Allah agar Dia mengalihkan hujan dari kamu kerana sesungguhnya kami telah tenggelam (disebabkan hujan lebat yang berterusan). Lalu kata Nabi S.A.W : Ya Allah, turunkanlah ke kawasan sekitar kami dan janganlah Kau turunkan ia ke atas kami. Maka awan pun berpecah-pecah di kawasan sekitar Madinah, dan tidak diturunkan hujan kepada penduduk Madinah.” (HR Al-Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas dapat difahami bahawa dibolehkan untuk seseorang itu berdoa supaya Allah SWT mengalihkan hujan ke kawasan yang lain sekiranya keadaan hujan lebat berterusan.Yang membawa kepada implikasi rosaknya tumbuh-tumbuhan dan tanaman, jalanan menjadi banjir, serta membawa kesulitan atau kemudaratan kepada orang ramai.
Meskipun begitu, sekiranya yang dimaksudkan dengan upacara tolak hujan dengan cara melakukan ritual seperti yang dilakukan masyarakat dan adat tertentu dengan cara memacakkan penyapu menghala ke langit, atau mencampakkan pakaian pengantin ke atas atap, dan selainnya, maka kesemuanya ini adalah amalan khurafat yang HARAM hukumnya lagi bercanggah dengan ajaran Islam.
4. Hukum Mencela Hujan
Mencela hujan pada hakikatnya merupakan suatu celaan pada musim atau waktu tertentu. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Maksudnya: Allah S.W.T berfirman: “Anak Adam menyakiti Aku. Dia mencela masa, sedangkan Aku adalah masa. Di tangan-Ku ada segala urusan. Aku-lah yang membolak-balikkan siang dan juga malam.” (HR Al-Bukhari)
Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan kata-kata Imam Al-Khattabi: Maksud hadis ini adalah: “Aku (Allah) merupakan pemilik kepada masa serta pentadbir segala perkara yang mereka nisbahkan kepada masa’’. Maka sesiapa yang mencela masa dengan sebab ia yang melakukan perkara-perkara ini, maka celaannya itu tadi kembali kepada Tuhan masa yang melakukan hal tersebut. Sesungguhnya Al-Dahr adalah masa yang dijadikan zharaf bagi perkara-perkara yang berlaku.
Hadis ini adalah petunjuk yang jelas bahawasanya mencela masa adalah sama seperti mencela Tuhan kepada masa iaitu Allah. Maka hukum perbuatan ini adalah jelas akan keharamannya. Riwayat yang lebih jelas dalam menyatakan keharaman perbuatan ini adalah sebuah hadis riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:Maksudnya: “Janganlah kamu mencela masa kerana sesungguhnya Allah merupakan masa.” (HR Muslim)
Pada hadis ini La Al-Nahiyah (larangan) yang membawa hukum haram di sisi ilmu usul feqh. Maka haram hukumnya seseorang itu mencela hujan, dan sentiasalah bersangka baik dengan Allah SWT serta memperbanyakkan doa kebaikan semasa turunnya hujan.
5. Hukum membasahkan badan dengan air hujan.
Antara sunnah yang jarang dilakukan dalam masyarakat pada hari ini adalah membasahkan sedikit dari bahagian badan dengan air hujan yang turun daripada langit. Perbuatan ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata : “Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah SAW. Lalu baginda SAW menyelak baju baginda sehingga hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya : “Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini ?’’ Maka jawab baginda S.A.W: Maksudnya : Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhan yang Maha Tinggi. (HR Muslim)
Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata : “Sesungguhnya hujan ini adalah rahmat, dan ia baru sahaja tempoh penciptaannya oleh Allah SWT lalu dilakukan tabarruk (mengambil berkat) dengannya.”
Syeikh Zakariya bin Muhammad Al-Ansari berhujah menggunakan hadis ini, “Dan disunatkan untuk seseorang itu keluar ke arah hujan yang turun dan menyelak pakaiannya (selain auratnya) supaya hujan menimpa badannya.”
Kemudian dalam menjelaskan sebab dilakukan perbuatan tersebut, Syeikh Zakariya menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau ditanyakan akan sebab perbuatan tersebut, maka jawab Ibn Abbas : “Apakah kamu tidak membaca firman Allah SWT. Maksudnya : “Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.” (Surah Qaf:9). Lalu kata Ibn Abbas, “Maka aku suka untuk memperoleh sedikit dari keberkatannya.”
Imam Al-Baghawi dalam Ma’alim al-Tanzil, berkata : “Iaitu (air yang berkat) dari sudut padanya kebaikan yang begitu banyak serta padanya juga kehidupan setiap sesuatu, dan ia adalah air hujan.”
Sebahagian ulama menyatakan bahawa bahagian yang dikenakan padanya air hujan adalah kepala. Inilah pendapat yang dipegang oleh Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari. Manakala Al-Thibi menyatakan bahawa ia merujuk kepada badan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim pula, menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W membuka baju dari bahagian belakang badan baginda.
*Ikuti sambungan artikel akan datang mengenai sah ke solat dalam air banjir dan bolehlah solat itu dijamakkan?
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.