Azlan terharu dengan keprihatinan Awie yang sudi menziarahinya.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

RAMAI yang tahu bahawa penyanyi Datuk Awie adalah ‘kaki motor’, bukan merempit tapi beliau suka berkonvoi dengan geng-geng motor yang lain.

Penyanyi rock itu sering konvoi bersama rakan-rakan motor dari Wings Motor Gang Society (WMGS), Rumah Produksi Merah dan Sayap-Sayap Wings.

Kata Awie, mereka bukan berkonvoi kosong kerana setiap kali bersama geng motor, antara aktiviti yang sering dilakukan adalah menziarahi rumah-rumah anak yatim dan tahfiz sebagai salah satu aktiviti amal kebajikan mereka yang dilakukan secara tertutup.

Azlan seorang pesilat, pelakon dan ‘stunt director’ mengalami kemalangan jalan raya pada 12 Oktober lalu.

Baru-baru ini Awie dan geng-geng motor sempat meluangkan masa menziarahi Azlan Komeng atau Muhammad Azlan Kamiran di kediamannya di Parit Sulung, Batu Pahat Johor.

Azlan seorang pesilat, pelakon dan ‘stunt director’ itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan hampir lumpuh akibat kemalangan di Kuala Lipis, Pahang ketika dalam perjalanan pulang ke ibu kota bersama isteri, Nur Nilam Ortiz dan anak, Adam, pada awal pagi 12 Oktober lalu.

Kata Awie, sudah lama beliau merancang untuk ziarah Azlan namun akibat kekangan masa dan sibuk dengan tugasan maka hasrat tersebut hanya dapat dilaksanakana pada 27 November lalu.

Rakan-rakan motor dari Wings Motor Gang Society (WMGS), Rumah Produksi Merah dan Sayap-Sayap Wings menziarah Azlan Komeng di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

“Kami membuat keputusan untuk datang menziarahi Lan walaupun pada hari bekerja kerana tidak mahu mengangguhkan lagi. Alhamdulillah, Allah permudahkan apa yang kami rancang. Ini adalah sebahagian daripada program CSR yang dianjurkan oleh Sayap-Sayap Wings, Wings Motor Gang Society dan Rumah Produksi Merah.

“Sebenarnya sudah lama kami melakukan aktiviti kebajikan seperti itu namun secara tertutup. Aktiviti kebajikan kami sentiasa bergerak. Kita hulurkan sikit sumbangan ikhlas dan melihat keperluan lain yang mereka perlukan pada masa akan datang.

“Ini cara kami menjalankan kerja CSR, selain dapat eratkan silaturahim ianya juga dapat tingkatkan ekonomi penerima. Kami ambil konsep itu. Kami bukan minta nama, itu tidak ada. Wang ringgit bukanlah perkara utama tetapi nawaitu itu sendiri yang menjadi fokus utama kepada ‘team’ kami,” katanya terus terang.

Awie dan geng motornya sering melakukan aktiviti amal kebajikan secara tertutup.

Awie bukan sahaja mengenali Azlan sebagai rakan dalam dunia seni, kedua-dua mereka juga pernah bekerjasama dalam filem ‘Rebel’.

Sementara itu, Azlan melahirkan rasa terharu dengan kedatangan Awie dan rakan-rakan ke kediamannya.

“Saya merasa cukup terharu dengan kedatangan Datuk Awie bersama pasukannya ke kediaman saya yang letaknya jauh daripada Kuala Lumpur. Kedatangan beliau sedikit sebanyak memberikan inspirasi dan semangat untuk saya terus sihat.

Awie juga perihatin dengan nasib Ebby Yus.

“Saya tak ada upaya untuk membalas kebaikan yang beliau bawakan hari ini. Tapi, Allah melihat semuanya dan dia lebih mengetahui. Saya serahkan kepada takdir, tapi saya tetap berusaha. Kalau ada kerja, saya tetap nak buat selagi termampu.

“Alhamdulillah, emosi saya pun sudah stabil dan berharap dapat ‘bekerja’ semula. Meskipun saya tahu sukar untuk pulih seratus peratus, tetapi saya yakin dapat melakukannya, Insya-Allah,” katanya.

Azlan turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Zul Huzaimi yang sudi memberikan tawaran ‘berlakon’ bersesuaian dengan situasi dirinya sekarang.

Awie adalah penyanyi rock yang disegani dalam industri muzik tanah air.

“Alhamdulillah dan terima kasih buat Zul yang sudi memberikan tawaran watak untuk saya. Insya-Allah saya akan mula berlakon mulai Februari tahun depan,” ujarnya yang merupakan salah seorang pelakon filem ‘Geran’.

Penaung Produksi Rumah Merah, Datuk Eddy Amir Salim yang turut serta dalam kunjungan tersebut berkata, beliau senada dengan Awie kalau ditanya mengenai program CSR yang di lakukan oleh pihaknya.

“Saya sentiasa menyokong penuh dan insya-Allah akan memberikan komitmen yang jitu terhadap program-program sebegini. Ini masa ‘mereka’, masa kita belum tahu lagi. Jadi rasanya tidak salah jika saling bantu membantu,” ujarnya.

Previous articleAspalela, Johan kembali kepangkuan Illahi
Next articleN.Flying ‘belanja’ peminat kerana teruja dengan sambutan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here