Oleh: Khadijah Ibrahim
DUNIA seni hiburan tanah air dikejutkan dengan berita duka apabila dua figura yang popular dalam bidang nyanyian dan lakonan telah kembali ke rahmatullah.
Penyanyi lagu asli, Aspalela Abdullah, 80, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 10 pagi, 8 Disember lalu selepas terjatuh dalam bilik air di kediamannya di Taman Melati dalam pukul 7 pagi.
Jenazah penyanyi yang sudah enam dekad menabur bakti dalam arena seni suara itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur selepas Asar.
Menurut salah seorang cucunya iaitu Puteri Wan Nur Izzati Azhari, 30, penyanyi tersebut memang ada penyakit tetapi masih terkawal cuma tenaganya semakin berkurangan disebabkan faktor usia.
Menurut Puteri lagi, biarpun mempunyai darah tinggi sejak beberapa tahun lalu kesihatan arwah masih pada tahap terkawal. Namun, beberapa bulan lalu tampak perubahan terhadap diri arwah yang mengakibatnya lebih banyak berehat.
“Ikutkan nenek memang dari dulu jaga pemakanan dan ambil ubat ikut jadual. Kami reda walaupun sedih dengan kehilangan insan paling kami sayang.
“Bulan depan genap usia nenek 80 tahun. Tapi Allah lebih menyayanginya, doakan semoga roh nenek ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Arwah Aspalela yang pernah menjuarai Bintang Radio 1968, popular dengan lagu “Payung Mahkota” dan “Titian Kasih Ke Syurga” sebelum sakit aktif menjalankan aktiviti seperti marhaban dan bacaan Yassin bersama Kumpulan Artis Wanita Malaysia yang dipimpin olehnya.
Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, isteri kepada Allahyarham pelakon dan pengarah filem, Raja Ismail Raja Saat itu telah menghasilkan lima buah album.
Album “Joget Cari Makan” yang diterbitkan Omar Taib pada tahun 1991 dianggap Aspalela sebagai album cari makan beliau. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album tersebut sering dinyanyikan setiap undangan nyanyian dan ia bagaikan suara jiwa seorang Aspalela apalagi menghayati lagu “Bukan Sekadar Sekalung Doa”.
Allahyarham pernah menerima anugerah bagi kategori Artis Sepanjang Zaman 2006 (Penyanyi Lagu Melayu Asli) pada Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA).
Sementara itu, pelakon yang sering melakonkan watak lelaki Inggeris dalam filem mahupun drama tempatan, Johan Abdullah, 75, kembali menemui Ilahi kira-kira jam 7.20 malam (7 Disember 2024) di Hospital Tuanku Jaafar akibat jangkitan kuman dalam darah.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale, Seremban, Negeri Sembilan pada jam 11.05 pagi Ahad (8 Disember).
Menurut isterinya, Sarepah Meriam Aboo, 51, arwah menghidap pelbagai penyakit iaitu angin ahmar, parkinson, jantung, keradangan usus dan otak mengecut.
Allahyarham yang dilahirkan di Chrischurch, New Zealand itu popular dengan watak Mr. Howell, bapa kepada Isabella, lakonan Ramona Rahman dalam filem ‘Fenomena’, arahan Aziz M.Osman yang juga filem pertama lakonannya.
Manakala, filem terakhir lakonan arwah yang sinonim dengan watak ‘Mat Saleh’ itu adalah filem ‘29 Februari’ sebagai Mr. Johnson, arahan Edry Abdul Halm pada 2012.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.