Oleh : Nury Kadir
Rasulullah SAW telah ajarkan kepada kita amalan sebelum tidur untuk mendapatkan tidur yang berkat dan nikmat. Amalan yang dilakukan Rasulullah SAW sebelum tidur seperti yang dicatatkan di dalam www.muftiwp.gov.my.
1. Tidur dalam keadaan berwuduk
Rasulullah SAW telah bersabda: Maksudnya: “Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudukmu untuk melakukan solat.” (HR Al-Bukhari, Muslim & Abu Daud)
2.Tidur pada lambung kanan (mengiring ke kanan)
Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW: Maksudnya: “…kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kamu di sebelah kanan. (HR Al-Bukhari dan Muslim)
3. Membaca Ayat al-Kursi
Membaca ayat al-Kursi sebelum tidur dapat memelihara diri dari gangguan syaitan sehingga subuhnya. Fadhilat ini berdasarkan hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya.
Abu Hurairah mengadu kepada Nabi tentang seseorang yang mengajar padanya ayat Kursi. Abu Hurairah berkata: “Wahai Rasulullah, ia mengaku bahawa ia mengajarkan suatu kalimah yang Allah beri manfaat padaku jika membacanya. Sehingga aku pun melepaskan dirinya.” Nabi saw bertanya: “Apa kalimah tersebut?” Abu Hurairah menjawab: “Ia mengatakan padaku, jika aku hendak pergi tidur di katil, hendaklah membaca ayatul kursi hingga selesai iaitu bacaan ‘Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qayyum’. Lalu ia mengatakan padaku bahawa Allah akan sentiasa menjagaku dan syaitan pun tidak akan mendekatimu hingga pagi hari. Dan para sahabat lebih semangat dalam melakukan kebaikan”. Nabi saw pun bersabda: “Adapun dia di ketika itu berkata benar, namun asalnya dia pendusta. Engkau tahu siapa yang bercakap denganmu sampai tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?” “Tidak”, jawab Abu Hurairah. Nabi saw berkata: “Dia adalah syaitan”.(HR al-Bukhari)
4. Membaca 3 Qul
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah R.Anha:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya itu ke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (HR al-Bukhari)
5. Membersihkan Tempat Tidur
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:
إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ
Maksudnya: Jika salah seorang dari kamu ingin mendatangi tempat tidur kamu, maka ambillah sebahagian kain lalu dikibaskannya (bagi membersihkan tempat tidur itu)” (HR Muslim)
6. Membaca Doa
Antara doa tidur yang boleh diamalkan:
بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Dengan nama-Mu Tuhan aku meletakkan lambungku Dan dengan Nama-Mu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tetapi apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.”
اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku mengarahkan wajahku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu menghadapkan wajahku kepada-Mu dan aku sandarkan belakangku kepada-Mu karena mengharap dan takut kepada-Mu, tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari (ancaman)-Mu kecuali kepada-Mu, aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus.”
اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ
Maksudnya: “Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.
7. Baca zikir yang diajarkan Rasulullah kepada Fatimah
Dari ‘Ali bin Abi Thalib RA ketika menceritakan kisah Fatimah RA binti Muhammad SAW. Suatu hari, Fatimah RA mendatangi Nabi SAW untuk meminta diberi pembantu (hamba). Rasulullah SAW berkata kepada anaknya, Fatimah RA,
أَلاَ أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا، أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ
“Mahukah kamu berdua jika aku tunjukkan kepada sesuatu yang lebih baik daripada seorang pembantu? Jika kamu berdua hendak tidur, ucapkanlah takbir 33 kali, tasbih 33 kali, dan tahmid 33 kali. Maka ini adalah lebih baik daripada seorang pembantu.”
‘Ali RA berkata,“Aku tidak pernah meninggalkan amal itu setelahnya (setelah ‘Ali RA mendengarnya dari Nabi SAW).” Ditanyakan kepada ‘Ali bin Abi Thalib RA,“Bagaimana ketika malam perang Shiffin?” (iaitu peperangan yang masyhur, yang terkadang melalaikan seseorang daripada berzikir kepada Allah Ta’ala). ‘Ali RA menjawab, “Tidak sesekali (aku tinggalkan) walaupun ketika perang Shiffin.” (HR. Bukhari & Muslim)
Jika Terjaga Di Tengah Malam
Jika tiba-tiba terjaga di tengah malam tetapi hendak bangun tahajud malas sekali dengan seribu satu macam alasan. Kalau malas sekali pun hendak solat tahajud tolong jangan tinggalkan amalan ini walaupun ketika sedang berbaring. Mengadulah pada Allah tentang dosa-dosa yang lalu dan memohon keampunan daripada-Nya. Berdoalah yang baik-baik walaupun sambil berbaring, jangan risau Allah Maha Mendengar adukan semuanya kepada-Nya.
Doa Terbangun Tengah Malam
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، اَلْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
“Laa Ilaaha Illallaah, Wahdahu Laa Syariikalah, Lahul Mulku Wa Lahul Hamdu, Wa Huwa ‘ala Kulli Syai-In Qodiir, Alhamdulillah, Wa Subhanallah, Wa Laa Ilaaha Illallaah, Wallaahu Akbar, Wa Laa Haula Wa Laa Quwwata Illaa Billaah.”
“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. BagiNya kerajaan dan pujian. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala Puji bagi Allah, Maha Suci Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.
Kemudian, di sambung;
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
Allahummaghfirlii
Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah dosaku.
Amalan Rasulullah SAW apabila terjaga waktu malam:
1. Berwuduk dan Tidur Kembali
Daripada Abdullah ibnu Abbas RA menyebutkan bahwa Rasulullah SAW pernah terbangun tengah malam lalu Baginda SAW segera mengambil air wudhu dan melanjutkan tidurnya kembali. “Suatu ketika di tengah malam, Rasulullah terbangun karena ingin membuang hajat. Kemudian setelah itu, beliau berwuduk dan tidur kembali.” (HR Bukhari)
2. Membaca Doa
Daripada ‘Ubadah bin Shamit RA, Rasulullah SAW bersabda:“Barangsiapa yang terjaga di malam hari, kemudian dia membaca:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، اَلْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
“Laa Ilaaha Illallaah, Wahdahu Laa Syariikalah, Lahul Mulku Wa Lahul Hamdu, Wa Huwa ‘ala Kulli Syai-In Qodiir, Alhamdulillah, Wa Subhanallah, Wa Laa Ilaaha Illallaah, Wallaahu Akbar, Wa Laa Haula Wa Laa Quwwata Illaa Billaah.”
Maksudnya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya.BagiNya kerajaan dan pujian. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala Puji bagi Allah, Maha Suci Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.”
Kemudian dia mengucapkan:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
Allahummaghfirlii.
Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah dosaku.”
Atau dia berdoa (dengan doa yang lain), maka akan dikabulkan doanya, jika dia berwuduk dan melaksanakan solat maka akan diterima solatnya.” (HR. Al-Bukhari, Abu Dawud , At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
3. Menunaikan Solat Sunat
Sabda Nabi ﷺ:
أحب الصلاة الى الله صلاة داود عليه السلام، كان ينام نصف الليل ويقوم ثلثه وينام سدسه
Maksudnya: “Solat yang paling disukai oleh Allah S.W.T ialah solat Nabi Daud a.s. Baginda tidur seperdua malam kemudian bangun sepertiganya dan tidur kembali satu perenam malam.” (HR Bukhari)
Semoga kita semua mendapat tidur yang nikmat kerana begitu ramai manusia di dunia ini yang sudah hilang nikmat tidur. Jika ada duit segudang, emas segunung, harta bertimbun tetapi apabila malam mata tidak boleh terpejam semua tidak bererti. Tidurlah dengan lena mulakan dengan Bismillah. Jangan lupa zikir Fatimah agar bangun pagi sentiasa cergas dan bertenaga.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.