Filem 'Kahar: Kapla High Council" memang dinanti oleh peminat yang telah mengikuti siri 'Project: High Council".

Oleh: Khadijah Ibrahim

FILEM ‘Kahar: Kapla High Council’ berjaya meraih kutipan RM3 juta dalam tempoh tiga hari tayangan di pawagam.

‘Kahar: Kapla High Council’ adalah filem prekuel kepada siri fenomena, ‘Project: High Council’ dan masih mengekalkan pelakon utamanya iaitu Amir Ahnaf sebagai Kahar.

Turut membintangi filem ini adalah pelakon Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fazziq Muqris, Fadhli Masoot, Thompson Goh, Khenobu, Husyairi Hussain dan Hasnul Rahmat mendapat pujian daripada penonton kerana keberkesanan ‘menghidupkan’ karakter di layar perak.

Aedy Ashraf betlakon sebagai abang kepada Amir Ahnaf.

Rata-rata di media sosial menyatakan perjalanan emosi dan konflik yang dipersembahkan berjaya meninggalkan kesan kepada penonton. Lebih menggembirakan filem arahan Razaisyam Rashid itu berjaya berada di tangga pertama di carta Top 10 GSC dan sekali gus mengenepikan filem-filem antarabangsa.

Filem yang skripnya ditulis oleh ‘creator’ Project: High Council iaitu Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain, diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, HM Entertainment dan ZAK Capital.

Bukan sekadar mempertaruhkan jalan cerita dengan babak-babak yang mengundang keterujaan, filem berdurasi 102 minit ini mengangkat isu buli yang berlaku di kalangan remaja.

Filem ini mengangkat isu buli yang berlaku di kalangan remaja.

Filem ini turut membicarakan isu kritikal seperti kepentingan institusi kekeluargaan kepada pembangunan diri seseorang dan menekankan mesej kekerasan bukanlah jalan penyelesaian.

Penerbit Eksekutif Kahar: Kapla High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya amat terharu dengan sokongan penonton dan menjadikan filem ini meraih kutipan RM3 juta dalam tempoh tiga hari tayangan di pawagam.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penonton yang telah menonton filem ‘Kahar: Kapla High Council’ di pawagam. Kami mengharapkan permulaan baik ini dapat membawa momentum positif yang berterusan sekali gus mencipta kejayaan luar biasa.

Kahar berubah sikap kerana tekanan daripada bapanya.

“Watak Kahar sekali lagi berjaya mencuri perhatian penonton dan bagi kami Kahar bukan sekadar watak, tetapi simbol kepada mesej anti keganasan,” katanya.

‘Kahar: Kapla High Council’ mengisahkan tentang Kahar, seorang pelajar tingkatan empat sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT). Seorang yang pendiam dan kerap menyisihkan diri, dia sering berasa tertekan kerana bapanya, Datuk Abu Yamin, meletakkan harapan begitu tinggi terhadapnya.

Keadaan semakin meruncing apabila dengan tidak sengaja, Kahar terjerumus dalam pemilihan ketua tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar. Kemenangan Kahar membuatkan dia leka dengan kedudukannya itu.

Barisan pelakon akan pergi ke beberapa pawagam untuk bertemu dengan penonton.

Selain memberi lakonan yang hebat, Amir Ahnaf muncul sebagai penyanyi lagu tema filem tersebut yang berjudul “Kudeta” bersama bekas vokalis Sekumpulan Orang Gila, Riko Agus dan band Eleven Tonight.

Lagu berentak ‘post hardcore’ ini dihasilkan oleh Izmal Che Ahmad dan Eleven Tonight dan lirik oleh Zoul Zaaba, Izzy Farhanah. Lirik lagu ini menterjemahkan naratif filem dengan berkisarkan tentang transisi dan bangkit daripada penderitaan kepada kemenangan serta membawakan mesej keganasan bukan jalan penyelesaian.

Buat peminat dan penonton, jangan lepaskan peluang untuk temui barisan pelakon di siri jelajah ‘Kahar: Kapla High Council’ pada 6, 7 dan 8 Disember di Negeri Sembilan, Johor dan Melaka, manakala pada 13, 14 dan 15 Disember pelakon akan berada di Terengganu serta Pahang.

Previous article“Voodoo” imbau nostalgia KRU
Next articleThe Tun Daim I Knew

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here