Oleh: Khadijah Ibrahim
AGAK lama juga kumpulan adik-beradik KRU tidak tampil dengan album baharu kerana masing-masing sibuk dengan urusan tersendiri. Kali terakhir KRU mengeluarkan album studio adalah pada 2013 iaitu “KRUnomena”.
Kumpulan yang dianggotai oleh Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim pada Oktober lalu, mengumumkan yang mereka tampil dengan album studio berjudul “Kaset” dan kini melancarkan single pertama serta muzik video dari album tersebut berjudul “Voodoo” khas buat para peminat muzik serantau.
Lagu “Voodoo” dihasilkan bagi mengimbau nostalgia zaman kegemilangan mereka justeru itu DNA muzik asal KRU bergenre Pop Dance, Hip Hop dan R & B dikekalkan.
“Voodoo”, lagu ciptaan Norman, Yusry dan Edry menonjolkan kematangan persembahan vokal KRU, sofistikasi KRU dalam penciptaaan lagu serta kecanggihan dalam penerbitan muzik.
Lagu “Voodoo” mengisahkan keterujaan, kekeliruan dan perasaan seorang lelaki yang terperangkap dalam tarikan mempersona seseorang wanita yang luar biasa.
Menariknya, muzik video “Voodoo” menggambarkan “prequel” fiksyen bagi kerjaya Norman, Yusry dan Edry ke era awal 90-an sebelum pelancaran album pertama KRU pada tahun 1992.
Lebih istimewa, KRU menjadi artis tempatan pertama yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kembar digital (Digital Twin) mereka dalam muzik video, memperlihatkan inovasi dan kreativiti yang terus menjadi identiti KRU sebagai trendsetter dalam industri hiburan tanah air.
“Lagu “Voodoo” amat istimewa bagi kami bukan saja sebagai lagu baharu selepas enam tahun bertapa, ianya juga membuka lembaran baharu industri muzik tempatan bagi penerbitan muzik video sejajar dengan perkembangan teknologi AI.
“Semoga lagu ini mendapat tempat di kalangan peminat muzik masa kini dan menjadi salah satu tarikan untuk peminat membuat “reunion” bersama kami di konsert “Kaset” pada tahun akan datang,” ujar KRU.
Lagu “Voodoo” kini berada di kesemua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify dan video muziknya ditayangkan di saluran YouTube krubros sejak 27 November lalu.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.