Oleh : SYED WAFA
Foto : KOLEKSI SYED WAFA
SENIWATI Latifah Omar dianggap sebagai ‘permata’ dan Primadona filem Melayu di studio Cathay Keris kerana hampir 20 tahun melayari hidup sebagai pelakon, beliau membintangi 26 filem terbitan syarikat berkenaan daripada 35 filem keseluruhan lakonannya dengan lapan terbitan Malay Film Production dan hanya satu di Merdeka Studio.
Bagaimanapun daripada 35 filem lakonannya enam daripadanya Latifah Omar berjaya membuktikan selain Allahyarham Seniwati Neng Yatimah yang digelar ‘pelakon airmata,’ Latifah Omar juga tidak kurang hebatnya!
Beliau selayaknya diberi gelaran yang sama kerana berjaya menjiwai watak wanita malang yang mampu membuat para penonton menangis hiba kerana larut dalam kisah sedih sayu lakonannya sebagai wanita malang dalam menjalani hidup sebagai anak tiri (filem Bawang Puteh, Bawang Merah dan Raden Mas), menantu yang tidak direstui dan kasih sayang antara anak dan ibu yang dipisahkan (filem Kaseh Ibu), perasaan cinta isteri dan suami yang ‘direnggut’ (filem Gurindam Jiwa), kejujuran dan hak seorang wanita sebagai isteri yang difitnah (Putus Sudah Kaseh Sayang) dan hak serta kasih sayang seorang ibu yang cuba dinafikan dalam filem “Hati Batu.”
Jika menjejaki filem lakonan Allahyarham pasti anda tidak boleh melupakan wataknya sebagai Bawang Merah anak tiri yang dianiaya dalam filem “Bawang Puteh Bawang Merah” terbitan tahun 1959 arahan Allahyarham Datuk S. Roomai Noor.
Bawang Merah sering dianiaya oleh ibu tirinya, Kundor (Seniwati Siti Tanjung Perak) dan saudara tirinya, Bawang Puteh (Seniwati Datin Umi Kalthum) setelah kematian ayahnya, Pak Ali (Seniman Shariff Medan) dan ibunya, Labu (Seniwati Minah Yem) yang dibunuh oleh Kundor.
Sayu dan sunyi seorang anak yang kehilangan kasih sayang seorang ibu angkara perbuatan jahat ibu tiri dan saudara tiri bukan setakat ibunya dibunuh malah jodohnya dengan Putera Raja (Seniman Datuk Mustapha Maarof) juga cuba direnggut oleh mereka.
Pelbagai perbuatan jahat yang disyorkan Mak Kundor demi memisahkan kasih sayang Bawang Merah yang lurus bendul dengan suaminya, Sultan. Tetapi sebagai seorang anak yang menurut ‘perintah ibu tiri’ demi mendapatkan kasih sayang tidak berbelah bahagi daripada suami hampir meragut nyawanya.
Namun kerana sifatnya yang jujur dan ikhlas dan terlalu menyayangi Raja, akhirnya Bawang Merah hidup bahagia disamping Raja.
Sebagai Raden Mas anak yang hauskan kasih sayang seorang ibu dalam filem “Raden Mas” arahan Tan Sri L. Krishnan (1959), Latifah Omar berjaya membuat para penonton menangis sayu apabila beliau diseksa ibu tiri, Tengku Khalijah (Allahyarham Datin Umi Kalthum) yang berkahwin dengan ayahandanya, Raden Kesumo Joyo Diningran (Allahyarham Seniman M. Amin) akhir mati pada hari perkahwinannya.
Tidak cukup dengan kisah itu, malah lakonan Latifah Omar sebagai Dahlia dalam filem “Gurindam Jiwa” (arahan Allahyarham Seniman M. Amin -1965) meruntun hati penonton apabila hak dan kasih sayang seorang isteri dirampas setelah suaminya, Dahlan (Allahyarham Seniman Nordin Ahmad) yang bijak berpantun dipaksa berkahwin dengan anak seorang pembesar istana setelah beliau dilantik sebagai ‘pemantun diraja.’
Sementara lakonan beliau sebagai Hasnah dalam filem “Kaseh Ibu” (arahan Nordin Ahmad – 1965) memaparkan kisah sedih apabila hak dan kasih sayang seorang ibu, Hasnah terhadap anaknya, Hassan (Bat Latiff) cuba dinafikan setelah kematian suaminya, Dahlan.
Perkahwinan Hasnah dengan Dahlan (Seniman Ahmad Osman) tidak direstui oleh ibu mertua (Seniwati Siti Tanjung Perak) dan Mansor, ayah mertua (Seniman Yem). Pelbagai duri dan onak yang harus ditempuh Hasnah demi mendapatkan kasih sayang dan hak penjagaan anak tunggalnya, Hassan (Bat Latiff). Apa yang pasti sepanjang mendapatkan haknya pelbagai usaha dan dugaan yang harus ditempuh Hasnah!
Filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee “Putus Sudah Kaseh Sayang” (1971), menguji ketabahan dan perasaan kasih sayang yang ikhlas seorang pelayan kelabmalam, Lisda terhadap Rostam (P. Ramlee) yang rindukan belaian seorang wanita bergelar isteri setelah isterinya, Rosmah lumpuh!
Bagaimanapun kasih sayang dan perkahwinan mereka diuji apabila baru dua hari bernikah Rostam terpaksa menceraikan Lisda kerana fitnah daripada anak tunggalnya, Rizman (Bob Mustaffa) kononnya pernah meniduri Lisda.
Kasih sayang Lisda dengan Rostam gagal ‘disambungkan semula’ oleh Rizman yang telah insaf dan menerima Lisda sebagai ‘ibunya’ apabila Lisda meninggal dunia dilanggar Mokhtar yang ‘gilakan’ beliau.
Sementara filem “Hati Batu” arahan M. Amin (1973) sekali lagi membuktikan kewibawaan Latifah Omar sebagai seniwati yang mampu mewarnai lakonannya sebagai wanita malang apabila haknya sebagai ibu direnggut oleh bapa mertua yang tidak bertanggungjawab!
Latifah Omar sebagai Zaiton berusaha bermacam cara untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap dua anaknya Edah (Fauziah Ahmad Daud dan adiknya (Faizal Ahmad Daud) yang dipelihara oleh bapa mertuanya seorang ‘kaki botol’ setelah kematian suaminya.
Enam filem berkenaan bukan sahaja membuktikan betapa hebatnya Latifah Omar sebagai seniwati yang mampu menyantuni dan menjiwai watak yang diberikan dengan pelbagai rasa dan ‘warna’ malah ia membuktikan beliau bagaikan ‘benih yang baik dilempar ke laut menjadi sebuah pulau!’
Seniwati Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah Omar yang dilahirkan pada 26 Mac 1939 di Kampong Baharu, Kuala Lumpur meninggal dunia pada 9 Jun 2013 pada usia 74 tahun kerana kanser usus.
Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, Hulu Kelang, Selangor.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh arwah dicucui rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.