Toxic effects of some skin depigmenting agents. Photo via Researchgate

Oleh: Asmat Fikri

Lambakan produk kosmetik yang rendah dan murah harganya di media sosial terutama di laman TikTok membuatkan ramai pengguna tidak peka dengan kandungan bahan-bahan dalam produk tersebut. Apa yang sering difikirkan adalah harga yang rendah dan beri kesan yang lebih cepat. Pendek kata, nak cantik dengan segera.

Produk kosmetik menjadi kegilaan kaum wanita disebabkan ia dapat membantu mengubah penampilan dan rupa seseorang dalam waktu yang singkat. Selain daripada bahan aktif seperti merkuri, terdapat juga bahan lain dalam produk-produk kosmetik tersebut seperti bahan pengawet, pewarna, bahan pemekat, pelicin dan lain-lain.

Walhal, memang jelas jika dilihat kebanyakan produk-produk seperti ini (yang menawarkan kesan segera) ini mempunyai bahan-bahan yang tidak selamat seperti merkuri. Merkuri atau raksa ialah logam berat yang hadir secara semulajadi (salah satu mineral yang wujud di bumi). Merkuri ialah logam yang wujud dalam bentuk cecair pada suhu bilik. Merkuri boleh wujud dalam bentuk unsur, organik dan bukan organik.

Merkuri juga berbahaya untuk kesihatan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, saraf dan penyakit seperti migrain, jika kandungannya terlalu tinggi dalam satu-satu produk. Keracunan merkuri juga boleh berlaku disebabkan pendedahan kepada merkuri dan pengumpulannya dalam tubuh pada jangka masa yang lama.

Kebanyakan kita tahu akan bahaya atau kesan memakai produk merkuri iaitu sejenis logam berat bertoksik yang digunakan di dalam termometer, barometer dan juga perkakas elektrik.

Menurut Institut Nanosains Dan Nanoteknologi (ION2) Universiti Putra Malaysia (UPM), merkuri wujud dalam persekitaran terutamanya adalah dari pembakaran bahan api seperti arang batu, petrol dan dari industri yang melibatkan merkuri seperti peralatan elektronik, bateri, lampu, termometer, dental filling dan juga dari sektor pertanian yang menggunakan fungicide (bahan kimia untuk membunuh kulat).

Image by freepik

𝐃𝐢 𝐌𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐡 𝐓𝐞𝐫𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭𝐧𝐲𝐚 𝐌𝐞𝐫𝐤𝐮𝐫𝐢?

Penggunaan merkuri kini semakin berleluasa di dalam produk-produk kosmetik. Merkuri bertindak sebagai agen pemutih yang selalu digunakan dalam sabun dan krim. Merkuri dalam bentuk bukan organik bertindak mencegah pembentukan melanin menjadikan tona kulit lebih cerah.

Dalam alat kosmetik, kebiasaan merkuri ini sering dijumpai dalam pelbagai kegunaan. Antaranya adalah sebagai krim pelembab, krim pemutih, pencuci muka, sabun, maskara, gincu, pemerah pipi, pelembab, bedak asas dan lain-lain lagi.

Merkuri dalam produk kosmetik hadir dalam dua bentuk sama ada dalam bentuk organik dan bukan organik. Merkuri dalam bentuk organik selalunya digunakan sebagai bahan pengawet dalam kosmetik seperti alis mata, pencuci muka dan maskara. Manakala merkuri dalam bentuk bukan organik pula digunakan dalam krim dan sabun pencerah kulit.

Tidak kiralah apa jua warna kulit anda, pilihlah produk kecantikan yang selamat dan tidak akan merosakkan kulit.
Selalunya, produk yang mengandungi merkuri dijual sebagai produk pemutih wajah atau anti penuaan. Malah, ia juga dikatakan boleh membuang bintik usia, kedutan dan juga membuatkan wajah menjadi lebih cerah dan berseri.

Penggunaan bahan merkuri juga boleh didapati di dalam alat solek yang digunakan pada kawasan mata seperti celak dan pencuci make-up (merkuri selalunya digunakan sebagai bahan pengawet). Merkuri yang digunakan dalam alat solek juga mempunyai ketoksikan yang berbeza dan boleh mempengaruhi sistem saraf, pencernaan dan imun.

Tanda- Tanda Keracunan Merkuri
1. Cepat marah.
2. Rasa malu secara tiba-tiba.
3. Tangan menggeletar.
4. Masalah ingatan.
5. Tidak boleh mendengar dan melihat dengan baik.
6. Rasa kebas tangan, kaki atau di sekitar mulut

# Ikuti sambungan kedua artikel bahayanya penggunaan merkuri dalam produk kosmetik hingga membahayakan nyawa penggunanya.#

Previous articleNabi SAW bergurau hanya pada perkara yang benar (Bahagian 1)
Next articleKenapa Jamal Abdillah Masih Mencari Azura?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here