Image by freepik

Oleh: Nury Kadir

Hidup ini akan hambar tanpa gurau senda dan lawak jenaka. Namun lawak jenaka tanpa batas, itu biadap namanya. Andaikan satu situasi, anda diberi tugasan untuk menemubual seorang pelawak. Semua orang tahu pelawak memang tugasnya buat orang lain gelak tapi sebagai Muslim yang waras mereka juga perlu menjaga batas halal dan haram.

Bayangkan setiap kali ditanya lalu dijawab dengan lawak jenaka walaupun pada situasi yang serius. Itu belum lagi ‘lawak jenaka’ yang dilakukan dengan perbuatan. Adakah menarik tudung perempuan Muslim itu lawak? Adakah mencucuk atau mengeletek perempuan lain itu lawak?

Dipetik kata-kata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum.”

Kemudian beliau menyebutkan tentang sikap sebahagian para sahabat Nabi SAW yang terlalu takut untuk berhibur dan bergembira bersama keluarga kerana berhati-hati terhadap sifat munafik. Suatu hari, Hanzalah R.A datang berjumpa Nabi SAW bersama Abu Bakar R.A lalu berkata: “Hanzalah telah berlaku munafik wahai Rasulullah!” Baginda SAW menjawab: “Mengapa sebegitu?” Jawab Hanzalah: “Wahai Rasulullah! Apabila kami berada di sisimu, kamu sering mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, sehingga kami seolah-olah dapat melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi apabila kami meninggalkan majlismu, kami telah dilalaikan dengan anak dan isteri serta harta benda kami sehingga kami terlupa kepada peringatanmu itu.”

Maka jawab Rasulullah SAW: “Demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, jika kamu terus kekal sebagaimana ketika kamu bersamaku dan terus-menerus dalam zikir, nescaya para malaikat akan berjabat tangan dengan kamu ketika kamu berada di katil-katil kamu dan di jalan-jalan kamu. Akan tetapi wahai Hanzalah, (jadikanlah masa kamu seketika (untuk ini) dan seketika (untuk itu).” Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Riwayat Muslim)

Maksud Nabi SAW, hanya para Malaikat yang memiliki tahap keimanan sedemikian rupanya yang dibayangkan Hanzalah. Mereka sentiasa bertasbih memuji Allah dalam setiap keadaan dan waktu. Sedangkan manusia ada masanya untuk belajar, beribadah dan mendengar peringatan. Ada juga masa untuk rehat dan tidur, dan masa untuk bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga, sedangkan malaikat tidak dijadikan sebegitu.

Di dalam kehidupan seharian dan pergaulan Rasulullah SAW sesama manusia, Baginda adalah seorang yang sangat suka perkara yang baik. Wajah Baginda SAW sentiasa berseri dan tersenyum, selalu bermain-main dan bergurau serta tidak suka kecuali pekara yang benar sahaja.

Rasulullah SAW sangat suka kepada kegembiraan dan apa jua yang berkaitan dengannya. Sebaliknya, Baginda SAW membenci kesedihan dan apa saja perkara yang membawa kepada kesedihan, duka kerana banyak hutang dan kecewa kerana banyak menanggung kesusahan. Nabi SAW sering memohon perlindungan Allah SWT daripada hal tersebut.

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW selalu menyebut dalam doanya:
اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالبُخْلِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ.
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu dari rasa penakut dan kikir, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan.” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Nasaie )

Antara kisah Baginda SAW bergurau yang telah diriwayatkan adalah cerita seorang wanita tua yang datang menemui Nabi SAW agar mendoakan syurga untuknya. Daripada al-Hasan RA berkata: “Seorang wanita tua bertemu dengan Nabi SAW lalu berkata:” Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.” Maka jawab Rasulullah: “Wahai Umm Fulan, Sesungguhnya syurga itu tidak masuk ke dalamnya orang tua.” Perawi menyatakan: Wanita itu lantas berpaling dan menangis lalu Baginda SAW meminta kepada para sahabat: “Kalian beritahulah wanita itu bahawa dia tidak akan masuk dalam keadaan tua kerana Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” (Surah al-Waqi`ah: 35-37)” (Riwayat al-Tirmidhi)

Rasulullah SAW juga bergurau dengan kanak-kanak untuk menggembirakan mereka. Daripada Mahmud bin al-Rabi`: Maksudnya: “Aku ingat lagi sewaktu umurku lima tahun Nabi SAW pernah menghirup air daripada gayung menggunakan mulutnya lalu menghembuskannya ke mukaku.” (Riwayat al-Bukhari).

Berkata Imam Syihabuddin al-Qastalani dalam Irsyad al-Sari Li Syarh Sahih al-Bukhari: “Perbuatan Nabi SAW itu adalah bertujuan untuk bergurau atau tabrik (mendatangkan keberkatan) kepadanya (Mahmud) sepertimana Baginda SAW selalu melakukannya dengan anak-anak sahabat.”
Begitu juga hadis daripada Anas bin Malik RA tentang Rasulullah SAW memujuk saudara kecil Anas yang kematian burung peliharaannya. Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Aku (yakni Anas) memiliki seorang adik lelaki, yang Nabi memanggilnya “Abu `Umair”. Umurnya kira-kira baru tamat menyusu. Jika Rasulullah datang, maka Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu `Umair, apa yang Si Nughair buat?” (al-Nughair itu adalah) sejenis burung nughar (yang sedap dan bagus suaranya) yang Abu Umair biasa bermain dengannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Sekalipun Rasulullah SAW selalu bergurau dan berjenaka dengan para sahabatnya namun Baginda tidak menipu dalam bergurau. Daripada Abu Hurairah bahawa para sahabat pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Kamu sering bergurau (atau mengusik kami).” Jawab Baginda, “Sesungguhnya aku tidak berkata (dalam gurau) melainkan hanya perkara yang benar.” (Riwayat al-Tirmidhi).

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, maka tidak salah bagi seorang Muslim untuk bergurau senda dengan sesuatu yang dapat menenangkan hatinya. Tidak salah baginya untuk menghiburkan dirinya dan rakan-rakannya dengan sesuatu hiburan yang mudah. Akan tetapi jangan sampai menjadi kebiasaan pada setiap masa ingin bergurau sahaja sehingga menghalangnya melakukan perkara yang wajib. Pepatah Arab menyebut, “Berikanlah bicaramu itu dengan sedikit gurauan, sekadar diberikan pada makanan itu dengan garamnya yang cukup.”

# Berlawak yang sebetulnya ada cara dan etikanya. Ikuti sambungan akan datang tentang Etika Ketika Berlawak.

Previous articleSelamat Menyambut Hari Deepavali 2024!
Next articleKesan Merkuri dalam produk kosmetik (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here