Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Syura Badron/Koleksi Syed Wafa

KALI terakhir penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 38, merakam lagu adalah pada 2018 iaitu “Ego” ciptaan beliau bersama Zimi Sofazr yang menampilkan melodi reggaeton.

Penghasilan single tersebut adalah kesinambungan daripada penyertaannya dalam program Gegar Vaganza musim keempat yang diterbitkan pada 2017. Lagu “Ego” yang liriknya ditulis oleh Syura juga dipilih menjadi lagu tema untuk drama “Mimpi Sabrina”.

Bagaimanapun perubahan yang dibawa oleh Syura bagi mewarnai kerjaya seninya tidak begitu mendapat ‘pengiktirafan’ daripada peminat seni tempatan.

Album sulung Syura “Aroma” yang dikeluarkan pada September 2000.

Ini kerana sejak menyertai industri pada 2000, Syura yang merupakan artis wanita kedua bernaung di bawah label Fantasia Music City (FMC) dan tampil dengan album sulung berjudul “Aroma” pada 1 September 2000 lebih dikenali sebagai penyanyi genre Irama Malaysia.

Justeru itulah percubaan dan eksprementasi yang dilakukan oleh Syura menerusi lagu “Ego” tidak dapat menandingi lagu popularnya iaitu “Nazam Berkasih” yang dimuatkan dalam album “Balaghah” pada 2004.

Meskipun mendapat komen yang menyakitkan hati, namun Syura tidak mudah patah semangat. Sebaliknya, juara program MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua itu masih lagi aktif dalam bidang seni.

Muncul dalam telefilem “Wad 04” besama Allahyarham Achik Spin, Syura dan Siti Nordiana.

“Sekarang ini saya tak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Jadi kalau nak keluarkan lagu baharu, semuanya kena keluarkan kos sendiri. Bohonglah kalau saya kata tak rindu nak ada lagu baharu.

“Kalau ada ruang dan peluang untuk rakam single, saya tak akan menolak. Cuma kali ini kalau nak keluarkan single baharu, saya kena lebih memilih. Maklumlah sekarang ini ramai sangat penyanyi baharu.

Pernah menghiasi muka depan majalah Hai bersama rakan-rakan artis lain.

“Nak bersaing dengan mereka yang tumbuh macam cendawan itupun, kadang-kadang buat saya rasa diri ini kecil saja. Apapun saya tak pernah terfikir untuk mengundurkan diri daripada bidang seni. Alhamdulillah, hingga kini masih lagi mendapat undangan menyanyi,” katanya terus terang.

Apapun kata Syura, beliau masih menunggu ruang dan peluang yang sesuai untuk kembali menghasilkan lagu baharu yang boleh menarik perhatian pendengar.

“Memandangkan sekarang ini saya bergerak sendiri, jadi saya perlu ada team yang produktif tapi sekarang belum mampu lagi. Kalau buat lagu baharu pun nanti, tak rasa yang saya akan bawa lagu lain selain irama Malaysia. Irama Malaysia tetap ada mungkin kita modenkan sikit, kita boleh tonjolkan keistimewaan yang ada dalam diri saya.

Syura adalah juara program MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua.

“Kalau saya buat balada, saya rasa ramai lagi penyanyi balada yang lebih bagus daripada saya. Sama juga dengan pop rock, ramai sangat. Saya tahu keistimewaan saya dalam bidang apa dan genre apa. Jadi kita cuba untuk mengembangkan keistimewaan yang kita ada itu dalam satu jalan yang boleh diterima,” jelas Syura.

Biarpun sekarang ini irama Malaysia kurang mendapat perhatian dalam industri, namun Syura tidak pernah jemu untuk mempopularkan genre tersebut.

“Orang tahu saya nyanyikan lagu-lagu irama Malaysia, sayangnya lagu irama Malaysia kurang mendapat perhatian oleh sesetengah pihak dalam industri kita sendiri. Cuma sekarang ini saya kena cari apa kekuatan sendiri dalam industri ini.

“Sekarang ini kita dah nampak macam mana Haziq Rosebi buat comeback, Dayang pun ada lagu-lagu irama Malaysia. Tipulah kalau Syura kata tak teringin tapi mungkin peluang dan kesempatan itu belum ada lagi,” katanya penuh harapan.

Temui Syura di Havoc Food Festival di D’tempat Country Club Sendayan , Negeri Sembilan.

Meskipun belum ada lagu baharu, peminat Syura belum bosan mendengar lagu “Nazam Berkasih” yang merupakan lagu wajib setiap kali mengadakan persembahan. Selain lagu tersebut, Syura juga cukup popular dengan “Bakawali” lagu duetnya bersama Siti Nordiana dan “Dendang Pusaka” duet bersama Allahyarham Dato’ M. Daud Kilau.

Syura yang kini hidup bahagia dengan Muhamad Farizat Ismail selepas mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 dan dikurniakan cahaya mata Muhammad Umar Eussof pada 13 Mac 2023, lebih banyak memberi tumpuan kepada keluarga.

Katanya, walaupun tiga orang lagi anak-anaknya sudah besar namun perhatian kepada mereka tidak pernah kurang kerana Nurul Dania Irdani, Nurul Qaisara Sofia dan Muhammad Irfan Aryan adalah tulang belakangnya selama ini.

Justeru itulah walaupun mendapat tawaran berlakon, Syura akui beliau terpaksa mengutamakan keluarga kerana anak sulungnya, Nurul Dania Irdani bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Sambil berniaga Syura berpeluang bertemu dengan peminat.

“Tawaran berlakon pun ada juga tapi bila sekarang umur dah macam ni dan ada baby, kena fikir berkali-kali juga. Anak sulung SPM tahun ini dan yang kecil dah tingkatan satu dan kini ada baby pula, jadi pergerakan terbatas sikit.

“Bukan tak nak berlakon sebab kalau job yang diambil melibatkan masa lama dan berpisah dengan anak agak susah untuk saya beri komitmen. Walaupun suami pandai jaga anak tapi kalau nak berlakon dan kena travel berminggu tak bolehlah,” katanya yang pernah muncul dalam teater “Korupsi Dewan Semandung dan “Sepahtu Reunion Live”.

Sibuk jual tongmo di festival

Syura akui beruntung memiliki suami yang mempunyai minat yang sama dalam bidang kulinari. Kini mereka rancak mengusahakan perniagaan makanan.

“Lepas kahwin, kita orang cuba untuk cari sesuatu kerana saya memang dari kulinari dan suami pun latar belakang kulinari. Bila masing-masing dalam minat yang sama, sebab itu kami usahakan food and beverage.

“Sekarang ini kami sedang jual makaman iaitu tongmo, sosej Kemboja. Kami suami isteri memang suka makan. Kalau kami pergi bercuti di luar negara pun, kami akan cari makanan juga. Satu hari tu kita cuba makan tongmo dan dari situ dapat idea untuk cuba menjual tongmo.

Syura bersama anak-anak dan suami tercinta.

“Alhamdulillah dapat sambutan, ternyata orang Malaysia suka. Kita ubah suai ikut selera orang tempatan supaya bila makan tak terasa asing di lidah. Kami dah niaga tongmo sejak dua tahun lalu.

“Kami menjual tongmo ini waktu festival makanan. Sebenarnya Havoc Food Festival di bawah platform Havoc Event Management Sdn. Bhd., yang membuka ruang untuk kami menjual. Ada juga ikuti festival lain tapi keutamaan kami dengan Havoc. Setakat ini tak pernah miss lagi dengan mana-mana tour yang Havoc atur.

“Sebenarnya bila menyertai acara anjuran Havoc ini secara tak langsung saya dapat melepaskan rasa rindu terhadap peminat apabil dapat bertemu dengan mereka. Sambil berniaga dapat berjumpa dan berkenalan dengan peminat. Daripada situ mereka DM (direct message) dan kata makanan sedap, jadi kita pun jadi rapat dengan peminat dan pencinta makanan,” ceritanya ceria bertemu peminat.

Havoc Food Festival di bawah platform Havoc Event Management Sdn. Bhd., hub atau karnival makanan terbaik buat para usahawan bumiputera dalam menjana pendapatan.

Pada 24 Oktober hingga 27 Oktober ini peminat nak rasai buatan tangmo hasil air tangan Syura bolehlah berkunjung ke
D’tempat Country Club Sendayan, Negeri Sembilan bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Syura kini nampak bertambah anggun dan tampak muda.

Selepas di Negeri Sembilan, Syura akan ke terbang ke Sabah bersempena Havoc Tour Sabah 2024 mulai 30 Oktober hingga 3 November di SICC Kota Kinabalu Sabah dan meneruskan Havoc Food Festival di Komplek Sukan Sandakan pada 6 hingga 10 November 2024.

Meskipun suka memasak namun Syura tetap mengawal pemakanannya dan sebab itulah kalau lihat beliau sekarang ini seperti zaman anak dara.

“Pernah berat badan saya mencecah 85 kilogram (kg). Sekarang kita ada pilihan sama ada nak potong usus atau diet dan banyak yang boleh dibuat. Tapi saya percaya pada satu, kalau kita ambil jalan pintas memang mudah tapi kita tak tahu akan datang kesannya macam mana.

“Lepas bersalin yang kecil ni, saya nekad untuk kurus dan dapat turun sampai ke 48 kg. Itu adalah berat badan yang tak pernah saya capai sebelum ini. Bila berkahwin, mengandung badan naik tapi tak adalah tinggi sangat. Senang juga nak berdiet. Buat diet yang natural dan pemakanan yang sihat.

“Saya tak berani nak ambi produk sebab dengar macam-macam. Lepas bersalin, anak dah umur setahun tiga bulan barulah sayaa mula diet. Sekarang ini saya dah terbiasa dengan makanan sihat dan ikut amalan yang betul. Kadang-kadang tersasar juga tapi kena cepat-cepat atasi,” katanya terus terang.

Previous articleKebaikan Daun Kemangi
Next articleChef Wan tak fikir bersara !

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here