Bagi Khai peminat adalah pendorong dan kekuatan untuknya terus relevan dalam bidang seni.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Khai Bahar

PADA acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, 11 Oktober lalu, penyanyi Khai Bahar masih lagi dijulang sebagai pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Ini bukanlah kali pertama Khai menerajui kategori Penyanyi Lelaki Popular untuk acara tersebut kerana pada ABPBH ke-30 (2017) buat pertama kali beliau menaiki pentas untuk memegang trofi bagi kategori tersebut.

Lain-lain kemenangan bagi kategori tersebut yang diraih oleh Khai adalah untuk ABPBH ke-31, ABPBH ke-32 dan ABPBH ke-35. Untuk ABPBH, Khai juga pernah meraih kemenangan dalam kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Siti Nordiana menerusi lagu “Satukan Rasa” pada ABPBH 33, sebelum mengulanginya bersama Aina Abdul pada ABPBH 34 menerusi lagu “Nafas Cinta”.

Anugerah terkini yang diraih oleh Khai Bahar.

Kejayaan demi kejayaan diraih oleh artis asal Kampung Padang Katong, Kangar, Perlis itu setiap kali penganjuran ABPBH iaitu majlis penganugerahan tahunan anjuran akhbar Berita Harian untuk memberi pengiktirafan kepada para penggiat seni dan penghibur yang paling digemari ramai dalam industri hiburan.

Ini kerana para pemenang anugerah ditentukan oleh undian daripada para pembaca akhbar terbitan tersebut yang mengisi lalu menghantar borang undian yang tersedia dalam akhbar-akhbar berkenaan sebelum cara pengundian ditukar melalui melalui atas talian sepenuhnya.

“Luluh” antara lagu yang melonjak nama Khai Bahar dalam industri seni tanah air.

Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 30, yang tidak dapat hadir pada acara sebelum ini kerana ada acara bersama peminat di Singapura menganggap kemenangan yang diraih adalah perjuangan yang dilakukan oleh peminatnya.

“Alhamdulillah, ini kemenangan buat penggemar saya yang berjuang meletakkan saya ke satu tahap yang mereka impikan. Mereka cuba sebaiknya untuk mengekalkan momentum ini dalam kerjaya saya.

“Saya cukup berterima kasih kerana selain keluarga yang sentiasa memberi semangat, penggemar menjadi tulang belakang yang sentiasa ada dalam jatuh dan bangun.

Bakat Khai mula dikesan menerusi aplikasi Smule.

“Mereka sentiasa menerima saya seadanya. Saya sangat beruntung dapat mengenali mereka. Sungguh luar biasa perjuangan dan doa mereka. Hanya Allah dapat membalas jasa mereka. Saya kagum dan bangga dengan mereka,” kata Khai dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar arus perdana.

Benarlah kata Khai, beliau beruntung kerana mempunyai kelab peminat iaitu Khai Bahar Empire (KBE) yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.

Bayangkan baru dalam tempoh lapan tahun bergelar anak seni, Khai telah meraih hampir 50 anugerah termasuklah Anugerah MeleTOP ERA (2017 – 2021), Anugerah Planet Muzik (2017 & 2018), Top Hot HOT FM (2017), Anugerah Digital Muzik ERA (2018 & 2019) dan banyak lagi.

Secara peribadi, mungkin Khai sendiri tidak menyangka rezekinya sebagai anak seni melonjak dengan pantas berbanding rakan-rakan lain yang masih lagi bertatih untuk mencari kedudukan sepertinya.

Undangan untuk menjayakan persembahan pentas tidak pernah putus.

Anak keempat daripada enam beradik ini memulakan karier nyanyian sebagai penyanyi jalanan atau busker di Kuching, Sarawak. Dek minatnya kepada bidang nyanyian, Khai kerap memuat naik lagu-lagu cover nyanyiannya serta lagu-lagu ciptaan beliau sendiri di YouTube Channel “Muhammad Khairul” miliknya.

Bagi mengembangkan bakat dalam bidang seni suara, Khai pernah menghadiri sesi uji bakat pertandingan realiti seperti Akademi Fantasia namun nasib tidak menyebelahinya.

Apapun rezeki masih berpihak kepadanya, apabila namanya mula mendapat perhatian dan menarik minat ramai penggemar muzik Malaysia dan Indonesia setelah video nyanyiannya yang dimuat naik di aplikasi Smule menjadi tular sekitar awal 2016.

Lagu pertama nyanyian Khai di aplikasi Smule adalah “Flashlight” dendangan Jessy J pada 2015 disusuli dengan lagu-lagu lain. Antara lagu-lagu nyanyian beliau yang mendapat perhatian ramai ialah “Sudah Ku Tahu” (Projector Band), “Ku Tak Akan Bersuara” (Nike Ardilla) dan “Memori Berkasih” duet dengan Siti Nordiana.

Bakal muncul dalam drama “Cinta Bukan Milik Kita”.

Meskipun tanpa ada lagu sendiri, namun Khai tetap mendapat perhatian stesen TV Indonesia, RCTI menerusi program hiburan Silet. Khai menjadi perhatian selepas video nyanyiannya untuk lagu “Ku Tak Akan Bersuara” di Smule menjadi tular di Indonesia dan Malaysia pada 2016.

Khai yang digelar ‘King of Smule’ oleh peminatnya mempunyai kelompok penyokong yang ramai bukan sahaja di Malaysia atau Singapura tetapi juga di Brunei, Indonesia, Hong Kong dan Thailand.

Masih bersikap merendah diri, Khai menyifatkan apa yang dikecapi selama ini adalah hasil usaha daripada sokongan peminat sejak awal pembabitan dalam industri seni.

“Alhamdulillah, saya percaya ini semua hasil usaha penggemar saya, selebihnya serahkan kepada rezeki Allah. Dalam pertandingan, mesti ada kalau atau menang. Lagipun rezeki datang dalam pelbagai bentuk termasuk diberi kesihatan baik, ketenangan, sahabat serta persekitaran yang baik.

Berpeluang mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik secara solo.

“Saya selalu menjadi diri sendiri dan bersyukur kerana walau apa sahaja situasi dilalui, peminat tetap faham dan sentiasa ada bersama menyokong saya. Mereka terima saya seadanya, malah menjadi tulang belakang saya,” ujarnya.

Meskipun kejayaan sentiasa mengiringi langkahnya, Khai mengakui selepas pemergian ibu tercinta Rosnah Muhammad, pada Januari 2024, perasaan sedikit berbeza kerana tidak dapat meraikan bersama.

“Dengan perginya arwah ibu maka hilanglah satu sumber doa mustajab. Saya masih dalam proses untuk berdamai dengan takdir dan berjuang terus mara ke hadapan.

“Saya bersyukur penyokong tergolong figura ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kehidupan dan kerjaya saya,” katanya.

Sepanjang kerjaya sebagai penyanyi, kebanyakan lagu yang dirakam oleh Khai menjadi pilihan ramai dan antaranya sewaktu beliau bernaung di bawah label NAR Records iaitu “Bayang”, “Dari Jauh Saja”, “Sinar Syawal”, “Luluh”, “Cahaya 114”, “Jodohku” dan “#123”.

Selain tampil solo, Khai Bahar juga sering menjadi pilihan rakan artis lain untuk berkolaborasi dengan mereka seperti lagu “Rahsia Kita”,”Cinta Syurga” “Satukan Rasa” dan “Nafas Cinta”.

Keunikan suara Khai memukau hati pendengar.Lagu “Rahsia Kita” adalah lagu duet bersama Fatin Husna, “Cinta Syurga” pula adalah lagu berbentuk zikir, gandingan Khai dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Manakala lagu “Satukan Rasa” bergenre balada gandingan bersama Siti Nordiana dan lagu “Nafas Cinta” pula hasil paduan suara bersama Aina Abdul.

Selain itu, beliau juga pernah kolaborasi dengan kumpulan Inteam untuk lagu “Setanggi Syurga” versi 2020 serta “Rabiatul Adawiyah versi 2024. Lain-lain pasangan duet Khai ialah Nabila Razali (“Selagi Ku Ada”), Adira Suhaimi (“Pejam”) dan Lia Aziz (“Kaulah Syurga”). Untuk tahun ini juga Khai telah muncul dengan single “Lemas” dan “Bawa Hatiku Bersama Kamu”.

“Bawa Hatiku Bersama Kamu” adalah lagu pertama saya bekerjasama dengan Ajai yang sudah lama saya impikan, akhirnya dapat juga. Karya ini sangat penting untuk portfolio saya kerana genre lagunya berbeza daripada yang sering saya nyanyikan sebelum ini.

“Selain muzik berbeza kerana terdapat sentuhan R&B yang belum pernah saya bawakan sebelum ini, cara penyampaian juga berbeza terutama dari segi lenggok nyanyian.

“Proses rakaman lagu ini ambil masa yang lama juga selagi Ajai tidak puas. Banyak yang saya pelajari sepanjang bekerja dengan Ajai ditambah pula dia memang seorang yang teliti, jadi memang ambil masa lama,” ceritanya yang berpuas hati dengan hasil karya tersebut.

Aktif dalam bidang lakonan

APABILA sudah bergelar anak seni, setiap daripada mereka pasti mahu mengembangkan sayap dalam apa saja bidang yang berkaitan seni. Khai beruntung kerana selepas tiga tahun dalam industri, beliau ditawar untuk membuat penampilan khas dalam drama “Cinta Tiada Ganti” pada 2018.

Kemudian pada 2019, Khai mendapat kepercayaan daripada pengarah Hadith Omar untuk memegang watak utama Jai Bakri di dalam drama 20 episod, “Satukan Rasa” di samping Siti Nordiana yang melakonkan karakter Indah Suhaila.

Selain menyanyi dan berlakon, Khai juga menceburi bidang perniagaan.

Selepas itu tawaran untuk Khai berlakon tidak putus dan antara drama dan telefilem lakonannya adalah “Kisah Cinta Rumi”, “Shakira” dan “Cinta Bukan Milik Kita” sebagai Redza yang bakal disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 dalam waktu terdekat ini.

Selain itu kata Khai, sekarang ini beliu sibuk membuat persiapan mewakili Malaysia (Radio Televisyen Malaysia) ke Istanbul, Turkiye bagi Konsert Asian Broadcasting Union (ABU) yang akan berlangsung pada 20 Oktober ini.

Pada festival itu kelak, selain Khai mewakili Malaysia, terdapat penyanyi Shan Yichun dari China, German Ku (Hong Kong), Hemant Brijwasi (India), Silet Open Up (Indonesia) , Yoko Takahashi (Jepun), Lee Mu Jin (Korea Selatan), Elisa Chan (Macau, China), Shatlyk Gurbannazarov (Turkmenistan), Sinan Akcil (Turkiye) dan pemuzik dari Uzbekistan iaitu Bek milliy sozlar ansambli.

Selain itu, Khai yang merupakan duta untuk produk mi segera Nongshim bersama Wany Hasrita itu dijangka akan ke Korea Selatan dalam waktu terdekat ini.

Ternyata populariti Khai menarik perhatian ramai pengeluar produk untuk bekerjasama dengan beliau. Selain menjadi duta mi segera yang popular di Korea itu, Khai juga pernah diberi tanggungjawab untuk mempromosi produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin jenama Chocoalbab.

“Saya pun bukan jenis yang sesuka hati mempromosikan produk makanan khususnya. Kalau tak sedap, saya takkan terima jadi duta. Saya tak mahu dilihat seperti ‘munafik’ mempromosikan makanan tak sedap hanya kerana dibayar,” akuinya sebelum mengalas tanggungjawab sebagai duta bagi produk yang ditawar.

Previous articleKebaikan dan manfaat lengkuas untuk kesihatan
Next articleKesunyian tidak pernah ujud dalam hati Raja Ema!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here