Oleh: Wawa Najwa
SELEPAS 14 tahun membabitkan diri dalam bidang seni, pada 5 Oktober lalu barulah Drama Band berpeluang mengadakan konsert sulung mereka “The Hardest Malam Drama” di Zepp, Kuala Lumpur.
Tidak menghampakan kerana hampir 2,000 penonton yang hadir, rata-rata dilihat terhibur dengan persembahan daripada Drama Band yang dianggotai oleh Aepul Roza (Vokalis), Daus (Bass), Adib (GItaris), Padel (Gitaris), Syahmir (Keyboard) dan Faeez (Dram).
Untuk persembahan selama empat jam itu, Drama Band mengambil masa kurang dari dua bulan membuat persediaan untuk konsert yang diinspirasikan dari persembahan unik Aepul Roza di program realiti ‘The Hardest Singing Show’.
Meskipun tempoh persediaan itu terbatas, namun Aepul Roza dan anggota Drama Band yang lain tidak mengecewakan peminat mereka sekali gus membukti semangat dan komitmen yang diberikan setiap daripada mereka.
Drama Band mempersembahkan 23 buah lagu untuk tiga segmen dan turut menampilkan artis duet jemputan iaitu Leez Rosli, Putera Muhammad dan anak didik Aepul Roza dari program ‘The Chosen One’ musim ke-2, Kiki Fateeha.
Sebelum pentas disajikan dengan rangkaian lagu-lagu hits Drama Band, penonton terlebih dahulu diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Sharul Kamal, Yus Zainal, Tekki Band dan Madam Band.
“Konsert sulung Drama Band ini merupakan mimpi kami yang berjaya menjadi kenyataan, setelah 14 tahun usia Drama Band. Sangat teruja, konsert kami ‘full house’!. Alhamdulillah, kami berjaya realisasikan persembahan sebuah band dengan banyak elemen aksi lasak dalam satu konsert.
“Kami bersyukur, gembira dan puas dengan maklum balas yang positif dari semua,” ujar Aepul ketika ditanyakan mengenai konsert ‘The Hardest Malam Drama’.
Tidak dapat dinafikan, Drama Band telah berjaya menampilkan persembahan yang penuh bertenaga sepanjang konsert, ditambah lagi dengan elemen persembahan yang penuh aksi lasak serta berisiko yang dilakukan oleh Aepul Roza bersama para penari profesional dari Zyhy Production.
Antara aksi ‘stunt’ yang memukau penonton adalah aksi lompatan tinggi, bermain trampolin, memiijak serpihan kaca, mengimbangkan badan di atas papan luncur dan bermain dram ‘hydraulic’ yang paling ditunggu-tunggu oleh penonton.
Persembahan Drama Band mendapat sorakan hebat dari awal konsert sehingga penghujungnya. Kejayaan konsert sulung Drama Band ini telah membuktikan bahawa mereka masih mendapat sambutan serta sokongan yang padu dari para penggemar muzik di Malaysia.
Drama Band akan terus berkarya untuk kekal relevan mengikut keperluan dan permintaan arus perdana.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.