Oleh: Nury Kadir
“Alhamdulillah Wasyukurillah, Bersyukur pada-Mu Ya Allah…Bersujud kepada Allah bersyukur sepanjang waktu”
Itu adalah petikan daripada lirik lagu Alhamdulillah nyanyian Opick. Rasanya tidak perlu lagi diterangkan atau ditanyakan apa pesan yang mahu disampaikan kerana semua orang sudah tahu jawapannya. Indah hidup ini kalau kita sentiasa bersyukur.
Orang selalu cakap , “Bersyukurlah…!” Tapi macam mana hendak bersyukur, adakah cukup dengan ucapan Alhamdulillah? Jangan kata orang lain, orang yang menulis artikel ini pun kadang-kadang keliru apa yang perlu dilakukan untuk menzahirkan rasa bersyukur. Kadang-kadang ucapan Alhamdulillah itu hanya di lidah tetapi tidak sampai ke hati. Apa lagi yang harus dilakukan untuk menzahirkan ucapan Alhamdulillah.
Sehinggalah pada suatu hari menonton tazkirah ringkas secara tidak sengaja dari ulama terkenal Amerika Syarikat, Umar Suleiman yang bercerita tentang emaknya. Menurutnya setiap kali ada berita gembira yang disampaikan kepada emaknya ucapan yang pertama keluar dari mulut emaknya adalah…”Alhamdulillah, Thank you Allah, thank you Allah, thank you Allah!” Walaupun sudah diucapkan Alhamdulillah disertai juga dengan ucapan ‘thank you Allah’ agar ucapan itu terasa dekat di hati.
Dari situ kita mula faham bahawa ucapan Alhamdulillah adalah yang terbaik tetapi untuk merasa ucapan syukur itu lebih dekat dan datang dari hati cuba ucapkan “terima kasih Allah” atau “thank you Allah”. Perkataan “Terima Kasih Allah”, “Thank you Allah” atau apa sahaja bahasa ibunda kita yang sinonim dengan syukur kepada Allah nampak macam tidak ada kelas tapi cuba amalkan, kita akan tahu apa rasanya? Bermula hari ini cuba ucapkan “Terima Kasih Allah” atau “Thank You Allah” selepas Alhamdulillah. Terasa lain perasaan kita apabila menyebut perkataan-perkataan tersebut.
Bersyukur di atas nikmat Allah adalah wajib dan tidak harus seseorang itu meninggalkannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT, maksudnya: “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).” (Surah al-Baqarah: 152)
Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 69 yang bermaksud, “Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya.”
Menurut Al-Hulaimi, dua ayat ini bahawa wajib bersyukur kepada Allah bagi hamba-hamba-Nya kerana kurniaan nikmat-Nya yang cukup banyak.
Ini pula cara yang diajarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan untuk menzahirkan rasa syukur di dalam www.muftiwp.gov.my dan pendapat dari beberapa tulisan dari Universiti Islam Indonesia. Apa itu syukur?
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, “Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya.”
Bersyukur adalah diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud, “Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. (Surah al-Nahl:114)
Bagaimana menzahirkan rasa syukur? Berikut adalah himpunan beberapa cara untuk menzahirkan kesyukuran:
1. Hendaklah memuji Allah SWT di atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Ini sepertimana ungkapan Nabi Allah Sulaiman AS:
هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.” (Surah al-Naml:40)
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Dhuha ayat 11, maksudnya: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”
Menurut Imam al-Qurtubi ayat itu membawa maksud, “Sebarkanlah apa yang Allah SWT kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.”
2. Lakukanlah amalan-amalan sebagai tanda kesyukuran. Allah SWT berfirman dalam surah Saba’ ayat 13, maksudnya: “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!”
Ayat tersebut ditafsirkan oleh Ibn Kathir sebagai, “Iaitu, Kami katakan kepada mereka: “Beramallah kamu sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat yang diberikan kepada kamu dalam agama dan dunia. Perkataan ” شُكْرًا” adalah masdar yang bukan dari fi’il (اعْمَلُوا) atau ia adalah dalam bentuk maf’ul lahu (مفعول له). Atas asas kedua-dua taqdir tersebut, menunjukkan bahawa syukur boleh dilakukan dengan perbuatan serta perkataan dan niat.
Abu Abd al-Rahman al-Hubuli berkata: “Solat adalah syukur, puasa adalah syukur dan setiap kebaikan yang dikerjakan kerana Allah SWT adalah syukur. Seafdhal-afdhal syukur adalah pujian.”
Beliau dan Ibnu Abi Hatim dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, meriwayatkan bahawa Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi berkata: “Syukur adalah takwa kepada Allah SWT dan beramal soleh.” Ini dikatakan bagi orang yang sedang berusaha melakukan syukur melalui perbuatan. Demikian juga keluarga Daud AS, mereka menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan perkataan dan perbuatan.
Apa sebenarnya amalan yang dilakukan Nabi Daud yang paling dicintai Allah? Jawapannya adalah hadis Rasulullah SAW seperti berikut:
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Solat yang paling dicintai oleh Allah adalah solat Nabi Daud AS. Puasa yang paling dicintai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud AS. Beliau tidur setengah malam, kemudian bangun (solat) sepertiga malam dan tidur lagi seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (secara berselang seli).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebagaimana Firman Allah dalam hadis qudsi: “Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku senangi daripada melaksanakan apa yang Aku fardukan atasnya. Dan, tidak pula hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri dengan melakukan amalan-amalan sunah, sehingga Aku mencitainya. Dan, bila Aku mencintainya, menjadilah Aku telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, matanya yang ia gunakan untuk melihat, tangannya yang dengannya ia memegang, dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Apabila ia bermohon kepada-Ku maka pasti Ku kabulkan permohonannya, apabila ia meminta perlindungan-Ku maka pasti ia Ku lindungi. (HR Bukari Muslim).
3. Bangun menunaikan solat malam
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”(Riwayat al-Bukhari).
4. Mencintai tubuh dan menjaga kesihatan
Mencintai tubuh dan menjaganya agar sentiasa sihat juga wujud dari rasa bersyukur kepada Allah. Ini kerana Allah telah memberikan kita tubuh badan yang sihat, sejahtera jasmani dan rohani serta anggota tubuh yang sempurna. Menzahirkan rasa syukur dengan keadaan itu adalah dengan menjaga makan, sentiasa mengambil makanan yang sihat dari sumber yang halal.
Hal itu disebut dalam surah al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.”
Ketika bangun pagi masih diberi izin oleh Allah untuk menghirup udara yang sedar secara percuma dengan badan yang sihat dan penuh semangat melakukan segala aktiviti, itu merupakan nikmat yang terkadang kita lupa untuk mensyukurinya. Sehinggalah suatu hari kita diuji dengan sakit kepala ketika bangun pagi dan tidak mampu bergerak aktif seperti pagi sebelumnya. Ketika itu baru kita rasa nikmatnya bangun pagi tanpa rasa sakit kepala. Alhamdulillah! Mukmin sejati itu adalah orang yang bersyukur.
Begitulah yang disebut dalam hadis riwayat Muslim. Rasulullah SAW bersabda, “Seorang mukmin itu sungguh menakjubkan, kerana setiap perkaranya itu baik. Namun tidak akan terjadi demikian kecuali pada seorang mukmin sejati. Jika ia mendapat kesenangan, ia bersyukur, dan itu baik baginya. Jika ia tertimpa kesusahan, ia bersabar, dan itu baik baginya.”
5. Berbuat baik sesama manusia sebagai tanda syukur
Jika tidak mampu membalas kebaikan orang lain yang telah menolong kita setimpal dengan pertolongan yang diberi, mengirimkan sepotong doa yang baik-baik untuk orang tersebut sudah memadai. Namun doanya bukan sekadar melepaskan batuk di tangga tapi berdoalah bersungguh-sungguh hingga hati dapat merasai doa itu setimpal dengan kebaikan yang dihulurkan.
# Ikuti sambungan artikel akan datang berkaitan dengan pengertian syukur dengan lebih mendalam.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.