Oleh: Wawa Najwa
NETIZEN sering dikejutkan dengan berita pergolakan rumah tangga artis atau selebriti tanah air. Kisah rumah tangga yang menjadi perhatian ramai sekarang ini adalah perihal Fazura dan Fattah Amin.
Ramai yang tidak sangka pasangan yang tampak bahagia sebelum ini, turut berhadapan masalah yang sama seperti dihadapi oleh Bella Astillah dan bekas suami, Alif Aziz.
Untuk melayari bahtera rumah tangga sikap saling mempercayai antara satu sama lain amat penting dan itulah yang diamalkan oleh pelakon Lana Nordin.
Biarpun bersikap terbuka, ada juga pihak yang mendakwa Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nordin, 44, adalah seorang isteri yang bersikap ‘Queen Control’ terhadap suaminya, David McKienzie.
Pemegang watak Che Embun menerusi drama “Aku Yang Kau Gelar Isteri” bagaimanapun menafi dakwaan tersebut dan berkata, antaranya dan suami lebih senang bersikap terbuka.
“Saya bukan isteri yang kongkong suami. Malah saya dan David bersikap terbuka, tidak pernah ganggu satu sama lain kalau kami ada urusan masing-masing, sekadar bertanya keadaan.
“Alhamdulillah, sejak mula berkahwin sampailah sekarang, kami tak pernah meragui satu sama lain. Saya balik lewat pun dia tak pernah sibuk nak tahu saya di mana. Begitulah juga sikap saya terhadapnya.
“Bukan mahu meninggi diri, tapi saya bersyukur punya suami yang jujur dan tak berahsia. David ini lain sikit, seorang yang bersikap family man.
“Mungkin ini kurniaan Allah selepas beberapa kali saya kecundang dalam perhubungan sebelum ini. Akhirnya saya dijodohkan dengan lelaki yang baik,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan suami pada 2015.
Ibu kepada dua cahaya mata, William Daud McKienzie dan Gia Quinn McKienzie itu berkata, beliau memilih untuk tidak terlalu menunjuk-nunjuk kebahagiaannya di media sosial.
Tegasnya, selain mahu mengelak penyakit ain, Lana juga tidak mahu dianggap riak, sebaliknya lebih senang bersederhana dalam semua hal.
“Saya tak mahu uar-uarkan kebahagiaan kami. Itu sebabnya saya jarang berkongsi aktiviti keluarga dalam media sosial. Biarlah kebahagiaan itu saya, suami dan anak-anak sahaja yang tahu,” katanya .
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.