Oleh: Wawa Najwa
MEMANG ada niat untuk buat dan anjur konsert solo sendiri namun bukanlah dalam waktu terdekat ini, tapi siapa sangka rezeki datang kepada Mawi tanpa diduga.
Tidak perlu menunggu lama kerana ShowTag Entertainment telah melamar beliau untuk menganjurkan konsert solonya iaitu “Konsert Tsumawi 20 Tahun Mawi World Live In Kuala Lumpur” yang akan diadakan di Mega Star Arena Kuala Lumpur, pada 25 Januari 2025.
“Saya tak sangka yang konsert ini masuk secara tiba-tiba dan memang terkejut bila ditawar untuk buat konsert ini. Syarikat Syafiq (ShowTag Entertainment ) itu yang datang kepada saya, kalau tak silap pertengahan Julai lalu.
“Kira-kira baru lepas tayangan filem “Zim Zim Ala Kazim”, mereka datang dan cakap nak buat konsert solo untuk saya. Sebenarnya, saya ada perancangan nak buat konsert sendiri tapi tak sampai lagi ke situ.
“Bila orang dah ‘lamar’, saya tak ambil masa lama untuk setuju sebab saya sudah ada perancangan nak buat konsert solo dan tawaran ini pula mendatang,” kata Mawi yang ditemui pada sidang media konsert tersebut baru-baru ini.
Jelas Mawi, untuk konsert tersebut beliau sudah ada konsep dan jalan cerita tersendiri untuk dipersembahkan kelak. Selain itu, demi permintaan peminat yang janji akan hadir ke konsert jika Mawi potong rambut yang disimpan selama tujuh tahun itu, beliau turutkan kehendak mereka.
“Kalau saya nak buat konsert perjalanannya begini dan bukan sekadar orang datang dan tengok saya menyanyi saja tapi ada cerita dan pengisian.
“Untuk konsert ini, saya terlibat dari segi konsep sebab saya sudah ada jalan cerita untuk konsert tersebut. Bila tawaran ini datang, saya terus cakap nak buat begini dan begitu, penganjur terus terima sebab dia datang pun belum ada konsep,” kata Mawi terus terang.
Ujar juara Akademi Fantasia musim ketiga (2005) konsert yang bakal berlangsung itu merupakan hadiah untuk peminat dan sebagai tanda penglibatannya masih berada dalam industri nyanyian.
“Saya gembira akhirnya berjaya merealisasikan konsert solo sendiri setelah sekian lama tidak berada di atas pentas besar. Pada dasarnya saya mahu meraikan ulang tahun ke-20 bergelar penyanyi.
“Sebab itu saya tak kisah bila peminat minta saya botakkan kepala. Sebenarnya memang ada niat nak potong rambut ni untuk filem yang akan saya keluarkan tahun depan, tapi tak sangka terawal pula,” kata anak seni kelahiran Felda Taib Andak, Johor itu.
Tambah Mawi, banyak kenangannya dengan Akademi Fantasia, hinggakan ada ruangan khas di rumahnya yang menempatkan artikel dan apa barang yang menjadi kenangan waktu tersebut.
Itu juga sebenarnya banyak membakar semangatnya untuk terus mengadakan konsert berdasarkan impak daripada konsert solo pertamanya iaitu “Konsert Fantasia Mawi” di Stadium Putra Bukit Jalil (kini Axiata Arena) yang dihadiri ribuan peminat setianya pada 2006.
Masih merasakan kehangatan dan sokongan peminat setia, itu juga yang menjadi pembakar semangat dan memuncakkan keberaniannya untuk kembali menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu popular seperti “Aduh Saleha”, “Kian”, “Lagu Cinta Lagu Jiwa”, “Cinta Zulaikha” dan banyak lagi.
“Sudah ada banyak perkara dirancang memandangkan saya sudah sekian lama tidak berada di atas pentas besar. Sejujurnya saya begitu teruja untuk bersama-sama dengan peminat lama dan baharu bernostalgia bersama.
“Untungya konsert kali ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang mahu memastikan “Konsert Tsumawi 20 Tahun Mawi World Live In Kuala Lumpur” berjaya dan akan dikenang sampai bila-bila,” katanya lagi.
Menyasarkan 5,000 peminat untuk hadir ke konsert itu nanti, Mawi akan membawa beberapa nama besar ke atas pentas bersamanya nanti. Merahsiakan dahulu siapakah rakan artis yang akan menyertai, ke semua nama tersebut merupakan individu penting di sebalik kerjaya seninya.
Jelasnya, semua penyanyi tersebut mempunyai signifikan tersendiri yang membuatkan beliau mengundang kesemua nama-nama besar tersebut untuk berada di atas satu pentas bagai mencipta sejarah baharu.
Mawi juga akan menggunakan khidmat Oja sebagai Pengarah Muzik dan memilih barisan pemain muzik profesional selain pasukan teknikal terbaik untuk memastikan kelancaran dan kepuasan penonton yang hadir nanti.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.