Akon akan menjayakan konsert, 'Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore'.

Oleh: Wawa Najwa

SEBELUM ini nama Harris Baba sering menjadi bualan peminat muzik di tanah air kerana lagu dendangannya, “Katakan” mendapat tempat di hati mereka.

Malah, Harris atau nama penuhnya Khawaja Mohammad Harris Baba, 33, juga pernah menyertai pertandingan realiti “Duo Star” pada 2016 bergandingan dengan Ning Baizura.

Harris yang merupakan suami kepada Nik Naziha Zawawi @ Jiha yang dinikahi pada 2016 itu juga pernah berlakon drama seperti “Isteri Tuan Ihsan” sebagai Dr. Zaim, “Geng Tadarus” (Ziyad), “Seribu Rindu” (Johan) dan “Checklist Mr. Right” (Zach).

Harris Baba menerusi syarikat Jeeharris Entertainment bertanggungjawab membawa penyanyi Akon ke Malaysia dan Singapura.

Kini Harris lebih aktif dalam bidang penganjuran acara dan konsert yang memberi fokus kepada pengalaman hiburan dan program yang premium, dengan menampilkan barisan artis yang berbakat serta produksi yang bertaraf antarabangsa.

 

Sehingga kini beliau berjaya menganjurkan lima acara utama di Sabah antaranya Borneo Mega Raya Fest 2023, Mari Makan Minum 2023 dan Borneo Mega Raya Fest 2024, serta dua konsert iaitu Armada Band dan kumpulan Ungu dari Indonesia menerusi syarikatnya Jeeharris Entertainment.

Pada November depan Jeeharris Entertainment akan membawakan bintang antarabangsa dari Amerika Syarikat iaitu Akon menerusi ‘Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore’.

‘Akon The Superfan Tour in Malaysia’ bakal berlangsung pada 19 November 2024 di Mega Star Arena Kuala Lumpur dan ‘Akon The Superfan Tour in Singapore’ pada 20 November 2024 bertempat di Arena @ Expo Hall 7 Singapore.

Lebih membanggakan juga apabila Jeeharris Entertainment menjadi satu-satunya penganjur yang membawa persembahan Akon di dua negara.

“Sebenarnya, perancangan untuk membawa Akon sejak Disember tahun lalu dan membawa ke awal tahun ini. Jadi, ia mengambil masa tujuh hingga lapan bulan untuk memuktamadkan dengan ejen tempahan saya dan pengurusan Akon.

Kedatangan Akon membuatkan peminatnya tidak akan rasa “Lonely” lagi.

“Terdapat begitu banyak perubahan dari segi jadual persembahan hingga akhirnya memutuskan pada November. Alhamdulillah, ini adalah satu kejutan yang besar dan benar-benar, rezeki saya.

“Paling unik mengenai konsert Akon ini adalah saya satu-satunya penganjur yang melakukannya di dua negara dalam masa sebulan. Sebelum di Malaysia dan Singapura, difahamkan dia akan membuat persembahan di beberapa negara Asia yang lain. Jadi, ia adalah sangat istimewa untuk syarikat saya yang bermula di Sabah, bukan di Kuala Lumpur.

“Malah, artis antarabangsa pertama syarikat saya juga adalah Akon. Kalau ditanya apakah yang mendorong saya untuk menganjurkan konsert Akon di Kuala Lumpur dan Singapura, bagi saya ia benar-benar rezeki.

“Sudah tentu dengan pasukan saya dan rakan kongsi yang mana kami sudah bekerja keras selama tujuh hingga lapan bulan terakhir ini. Kami sangat menantikan detik-detik ini nanti,” katanya.

Tambahnya lagi Akon merupakan seorang penyanyi yang unik dan mempunyai kekuatan yang tersendiri serta mempunyai peminatnya yang besar di Malaysia dan Singapura.

Rangkaian lagu-lagunya telah lama menjadi popular di carta billboard antaranya “Lonely”, “Sexy Chick”, “Smack That”, “Right Now”, “I Wanna Love You”, “Dont Matter” dan banyak lagi.

Menurut Harris, pengalaman sepanjang menganjurkan pelbagai acara dan dua konsert di Sabah selain kerjasama daripada semua pasukan digunakan sebaiknya dalam menjayakan ‘Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore’.

“Pengajuran konsert Armada Band dan Ungu bagi saya masih sebuah konsert yang sangat besar bagi saya kerana ini kali pertama saya melakukannya. Tapi, alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik.

Nama sebenar Akon adalah Aliaune Damala Bouga Time Puru Nacka Lu Lu Lu Badara Akon Thiam.

“Jadi, ini sahaja pengalaman yang saya pernah ada selaku penganjur konsert. Dan untuk saya berkembang dan maju ke hadapan, maka ia adalah sesuatu yang baru yang perlu saya pelajari.

“Itulah sebabnya mengadakan acara dan konsert bukanlah atas bahu saya seorang. Sebaliknya, kerja berpasukan yang betul dan kukuh. Jadi, dari pengalaman lepas sekarang kita naikkan skala dan buat pula artis ‘A Listers’ dari Amerika,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Harris berkata dia merancang untuk membawa dan menganjurkan lebih banyak konsert hebat artis ternama di Singpura dan Malaysia.

“Setakat ini, satu-satunya artis antarabangsa yang saya bawa ialah Akon. Artis lain yang saya sudah berhubung dengan pihak pengurusan mereka dan saya akan menjanjikan senarai artis antarabangsa terbaik yang akan mengadakan persembahan sehingga tahun 2025.

“Saya pasti peminat di Malaysia dan Singapura tidak sabar menantikan senarai artis antarabangsa yang akan kami bawa untuk sepanjang tahun depan. Insya-Allah saya berharap semuanya berjalan seperti yang dirancang dan kami boleh membawa masuk ramai lagi artis ke Singapura dan Kuala Lumpur,” katanya.

Penjualan tiket untuk menyaksikan konsert Akon di kedua-dua lokasi mula dibuka secara pra jualan bermula 18 September bagi pra pendaftaran, 19 pra pendaftaran jualan dan 20 September untuk jualan keseluruhan.

Tiket bagi Akon Live in Malaysia boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com dan Akon Live in Singapore di www.sistic.com.sg

Previous articleNikmati potongan 10% dengan menu yang lazat di Restoran Rasa Rosz sempena “Hari Malaysia”
Next articleSalam Maulidur Rasul!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here