Ernie mempunyai kualiti vokal dalam kelas tersendiri.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Ernie Zakri/Koleksi Syed Wafa

BILA melihat kejayaan penyanyi Ernie Zakri hari ini ramai yang tumpang gembira. Nama Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, bukan saja dikenali di tanah air, malah penyanyi kecil molek itu juga turut mendapat perhatian peminat di Indonesia.

Nama Ernie mula tular dalam kalangan penggemar muzik di seberang selepas beliau merakam lagu “Hal Hebat” dan “Masing Masing”, ciptaan komposer Ade Nurulianto, 40, yang juga pemain gitar kumpulan Govinda itu.

Ernie sewaktu menjadi juara Bintang RTM edisi 2009.

Single “Hal Hebat” ciptaan Ade Govinda yang dihasilkan sekitar awal tahun 2020 telah mendapat sambutan luar biasa di Indonesia dan selepas kumpulan Govinda berkolaborasi dengan Ernie, lagu tersebut turut diminati oleh peminat di Malaysia.

Antara alasan yang diberikan oleh Ade kenapa beliau memilih Ernie sebagai pasangan duet untuk menyanyikan semula lagu “Hal Hebat” bersama Govinda kerana Ernie memiliki ciri khas yang berbeza dengan penyanyi lain.

Syamel dan Ernie pemenang untuk Vokal Terbaik menerusi lagu “Aku Cinta”.

Dari pandangan Ade, Ernie yang merupakan juara pertandingan Bintang RTM 2009 itu mempunyai skil luar biasa dan kualiti vokalnya sangat baik, tidak keterlaluan saat membawakan lagu.

Justeru itu selepas “Hal Hebat”, Ade tidak ragu-ragu untuk memberikan karya ciptaanya untuk didendangkan oleh Ernie dan kali ini mereka berduet bersama menerusi lagu “Masing Masing”. Malah kini, beliau sudah mempunyai kelab peminat di Indonesia yang diberi nama Ernienators.

“Gundah” adalah lagu ciptaan Ernie bersama Sharon Paul.

Rezeki lagu “Masing Masing” membolehkan Ernie menerima 1X Platinum Award atau Anugerah Platinum yang diberikan kepadanya kerana lagu tersebut meraih jualan dan penstriman yang tinggi, serta sambutan hangat daripada peminat muzik dalam dan luar negara.

Anugerah ini juga diberikan kepada Ernie sebagai pengiktirafan Pencapaian Jualan Digital Seluruh Dunia. Sejak dilancarkan, “Masing Masing” menjadi antara lagu paling popular dalam carta muzik tempatan.

Saat bahagia disatukan bersama suami tercinta pada tahun 2021.

Tambahan lagi, lagu “Masing Masing” juga kini berada di kedudukan nombor 1 selama 17 minggu di Carta RIM. Malah lagu “Masing-Masing” telah didengarkan sebanyak 3 juta kali di platform muzik digital Spotify serta menduduki peringkat 6 dalam Spotify Top 50 Chart Malaysia.

Tidak hanya dalam satu platform muzik saja, lagu “Masing Masing” juga berhasil menduduki peringkat #1 dalam chart Apple Music Top 100: Malaysia bersaing dengan Taylor Swift dan Ariana Grande.

Kemudian video muziknya dalam waktu singkat iaitu hanya satu minggu selepas dilancarkan kini telah ditonton sebanyak 1 juta orang di YouTube. Hingga saat ini, lagu yang ditulis oleh Ade Govinda itu sendiri sudah ditonton sebanyak 4 juta tontonan di YouTube.

Kejayaan yang diraih sewaktu Anugerah Industri Muzik ke-23 pada 2022.

Di Indonesia, “Masing Masing” menduduki peringkat pertama dalam carta Ganas Gen FM Jakarta sepanjang Mac 2024. Dengan pencapaian tersebut “Masing Masing” berhasil masuk pencalonan SCTV Awards 2024 untuk kategori Lagu Pop Paling NgeTop, Kolaborasi Paling NgeTop dan Video Klip Paling NgeTop.

“Alhamdulillah, sudah pasti saya sangat gembira sebab lagu ini mencipta kejayaan yang besar dalam karier saya. Lagu ini juga mendapat sambutan yang luar biasa sekali di Malaysia. Ia memberikan satu impak yang sangat positif dan juga memberikan satu memori yang banyak dengan lagu “Masing Masing”.

“Lagu ini tidak hanya telah berjaya mendapat perhatian yang meluas daripada peminat muzik, tetapi juga berjaya menarik minat ramai melalui platform digital. Prestasi lagu ini mencapai tahap penstriman dan jualan yang tinggi membuktikan kualiti serta daya tarikan yang dimiliki oleh karya ini.

Ernie Zakri bermula dalam bidang seni dengan merangkul juara Bintang RTM 2009 dan sehingga kini terus bersinar.

“Bagi saya, lagu “Masing Masing” juga menonjolkan dimensi emosi yang mendalam, yang berjaya mengetuk jiwa dan perasaan peminat muzik,” katanya mengenai lagu yang menyampaikan mesej mengenai kejujuran dalam hubungan dan penerimaan diri.

Menurut anak saudara kepada penyanyi Ziana Zain dan Anuar Zain itu, kolaborasinya bersama dengan Ade Govinda adalah satu projek yang sangat istimewa. Malah Ernie tak sangka impak yang diterima amat memberangsangkan.

“Sememangnya, apabila kita buat sesuatu projek terutamanya yang membabitkan pengkarya dari luar Malaysia, saya dan pasukan Universal Music Malaysia cuba rancang yang terbaik.

Ernie juga pernah mencuba bakat dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, kerja keras kami berhasil juga. Saya tidaklah mengatakan lagu ini sudah terlalu berjaya, tapi ia merupakan bonus kepada kerjaya saya kerana pendengar di Indonesia dan tanah air tahu dan suka lagu itu.

“Untuk berada di dalam carta radio di Indonesia pun, bukanlah mudah seperti yang kita lihat. Saya sudah pergi ke sana dan tahu agak sukar untuk tembusi tembok tapi selepas beberapa kali di sana, mereka mula sedar kewujudan saya di sana. Alhamdulillah, perlahan-lahanlah.

“Saya tidak mengatakan yang apa yang saya lakukan ini sudah menjadi satu kejayaan, tapi ia menjadi satu langkah untuk saya cuba lagi mengembangkan apa yang perlu dikembangkan di sana.

“Insya-Allah, semoga usaha ini memberi ruang dan peluang kepada kita semua pengkarya di Malaysia untuk melebarkan sayap kita di sana,” kata Ernie yang menyimpan impian untuk berkolabrasi dengan Raisa yang merupakan idolnya dan juga penyanyi lain seperti Tiara Ardini, Mahalani, Afgan dan Judika.

Mahu pastikan perhatian terhadap kerjaya dan keluarga seimbang.

Meskipun lagu “Masing Masing” tidak layak dicalonkan pada Anugerah Juara Lagu (AJL) akan datang kerana hasil ciptaan komposer dan pemuzik Indonesia, Ernie akur dengan peraturan tersebut.

“Apapun saya tetap bersyukur kerana lagu “Masing Masing” berjaya menawan hati ramai peminat selain membantu melonjakkan nama saya di Indonesia. AJL adalah satu acara anugerah berprestij di Malaysia. Saya tidak pernah menafikan platform tersebut adalah batu loncatan bagi setiap penyanyi.

“Saya pernah mengimpikan untuk berada di AJL dan sudah milikinya. Sekarang ini, jika tak ada juga rezeki untuk berada di AJL, tak mengapa sebab selagi orang tahu kewujudan lagu ini dan mendapat tempat di hati mereka, itu sudah cukup bermakna serta penting untuk saya,” katanya.

Pemegang ijazah Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam dan Universiti Malaya itu mengakui apa yang diraih sekarang ini adalah berkat kesabarannya dalam melayari dunia seni.

Bersama anak kesayangan, Nur Khawla Soleha.

Ernie yang merupakan isteri kepada penyanyi Syamel itu mula merakam album sulungnya, “Sinaran” pada 2011 dan “Aura” yang dikeluarkan pada 2023. Selain album, Ernie juga sering tampil dengan single, antaranya, “Ku Bersuara’ pada 2018, “Gundah” (Vokal Terbaik – Anugerah Juara Lagu ke-35), “Boneka” serta “Aku Cinta” duet bersama Syamel dan lagu itu berjaya sebagai pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-32.

Selain itu, pada 2022 sempena Anugerah Industri Muzik ke-23, Ernie mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai pemenang untuk Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu “Sinar Mata Hati” dan lagu duetnya bersama Syamel iaitu “Goodbye Hello” pula dipilih sebagai Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.

Antara lagu dendangan Ernie yang dijadikan runut bunyi drama tempatan adalah “Sinar Mata Hati” untuk drama “Suri Katriana” dan “Gundah” untuk drama “Syurga Untukmu” dan “Sirna” pula digunakan sebagai runut bunyi filem “Sumpahan Jerunei”.

Mahu seimbangkan karier dan keluarga

Ernie turut mencuba nasib sebagai pelakon menerusi watak Suri untuk drama “Suri Katriana”, arahan Pali Yahya dan drama 49 episod itu merupakan drama pertama lakonannya. Kemudian pada 2021, Ernie ditawar berlakon drama “Kalau Dah Berbini” sebagai Siti, arahan Rehal Nuharis dan Farizullah Othman.

Ernie kini berjaya memikat hati peminat di Indonesia kerana lagu “Hal Hebat” dan “Masing Masing”.

Ibu kepada Nur Khawla Soleha yang dilahirkan pada 22 Februari 2022 itu juga pernah membuat penampilan khas di dalam sitkom J.K.K (Musim ke-5) sebagai Mira pada 2019.

Dalam melayari impiannya sebagai penyanyi, Ernie yang sering dirujuk oleh rakan-rakan artis untuk mendapat bimbingan vokal daripadanya itu, sudah pun menjayakan konsert peribadi.

Ernie yang wajahnya pernah terpampang di papan iklan digital gergasi di New York Time Square, Amerika Syarikat itu adalah sebagai wakil penyanyi Malaysia dalam kempen Equal oleh wadah penstriman muzik digital Spotify.

Beliau yang bercadang untuk menghasilkan lebih banyak lagu berkata, jika dulu beliau fikir bekerja keras adalah kunci segalanya tetapi selepas mendirikan rumah tangga dan menjadi ibu, pandanganya berubah.

Bila dah bergelar ibu dan isteri, saya mengerti bahawa saya perlu bekerja dengan bijak jika ingin mengecapi keseimbangan dalam hidup dan kerjaya. Akhirnya penguat semangat dan pendorong saya adalah keluarga tercinta,” katanya terus terang.

Jangan lepaskan peluang menonton Ernie dan Ade Govinda mendendangkan lagu “Masing Masing” secara langsung.

Ernie yang pernah menjayakan Konsert Aku Cinta Syamel dan Ernie yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 2022 dan konsert This Is Ernie Zakri di Nero Event Space, PJPAC, One Utama pada 2023, masih mendapat permintaan daripada peminat untuk menonton konsertnya lagi.

“Perancangan untuk mengadakan konsert memang sudah ada. Semuanya dalam proses perbincangan. Sebenarnya ada perkara yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Konsert itu akan diadakan sama ada hujung tahun ini atau tahun hadapan,” katanya.

Pada 31 Oktober ini, 8.30 malam, Ernie akan berada di pentas yang sama dengan kumpulan Govinda, Fadly Padi, Aina Abdul dan Elica Paujin bagi menjayakan konsert Govinda Hal Hebat di Zepp Kuala Lumpur.

Previous articleKebaikan maajun untuk wanita
Next articleHargai kami selagi kami masih ada…Afee Utopia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here