SoulFest berusaha untuk mengetengahkan bakat dan karya tempatan ke peringkat global.

Oleh: Wawa Najwa

PEMINAT-PEMINAT kumpulan Cromok jangan lepaskan peluang untuk menonton persembahan mereka sempena festival muzik yang digelar SoulFest di pentas Metal Dreamscape, Studio Mantin, Negeri Sembilan pada 8 September ini.

Konsert yang bakal berlangsung secara fizikal dan Live Streaming yang dianjur oleh Stagemaker Sdn. Bhd., itu adalah dalam usaha untuk mengetengahkan bakat dan karya tempatan ke peringkat global.

Festival yang memberikan “Inspirasi artistik. Kreativiti tanpa batas” itu tampil dengan tema rock alternatif dan metal bagi acara sulungnya.

Kumpulan legenda Cromok sedia menghibur peminat mereka.

Penerbit dan Pengarah Teknikal, Nazrul Embia Nazarudin berkata, festival yang bakal dijadikan sebagai sebuah acara tahunan itu dibangunkan untuk menjadi sebuah jenama yang membina perspektif baharu dalam usaha pengembangan seni dan budaya tanah air.

“Dibahagikan kepada lima segmen yang merangkumi Arts Meet Tech, Rising Stars, Icon Lounge dan Arts Bazaar, selain Music Haven yang akan menampilkani konsert di pentas canggih yang dibina menerusi pengaplikasian gabungan animasi dan teknologi.

“Bertema rock alternatif dan metal, tarikan utama tentulah konsert pertama unplugged Cromok yang mengisi segmen Music Haven.

“Sejarah akan ditempa menerusi SoulFest, iaitu sebuah perjalanan ke dalam nadi ekpresi artistik, melodi-melodi penuh jiwa, inovasi seni teknologi dan jiwa inspirasi, di samping menjadi platform bagi menampilkan bakat-bakat muda, daripada muzik, teater malah ukiran,” katanya tentang festival yang berdurasi selama tiga jam yang bermula pada 8.30 malam itu.

Cromok bakal beraksi untuk segmen Music Haven.

Menariknya, SoulFest 2024 boleh dihadiri sama ada secara fizikal, terhad untuk 300 peminat, di Metal Dreamscape, Studio Mantin atau secara Live Streaming yang turut menampilkan Nrocinu dan Tebabo! juga.

Jelas Nazrul Embia,  SoulFest juga menyediakan platform e-dagang di bawah Arts Bazaar bagi produk kreatif, dan penonton juga akan diajak mengenali ZFX Industries, nadi di sebalik penghasilan pedal gitar berkelas dunia menerusi segmen Arts Meet Tech.

SoulFest 2024 boleh ditonton secara fizikal di Metal Dreamscape, Studio Mantin atau secara Live Streaming.

Sementara itu, pemain gitar Cromok, Karl menyifatkan Live Streaming sebagai alternatif bagi ribuan peminat mereka, terutama di luar Kuala Lumpur untuk menyaksikan persembahan unplugged itu.

“Kerana Cromok sering beraksi di Kuala Lumpur, ini adalah peluang untuk peminat di luar ibu kota, termasuk di luar negara menonton Cromok. Ini penampilan pertama Cromok secara unplugged, menggunakan alat akustik dengan susunan muzik yang unik, satu yang jarang dilakukan oleh sebuah band metal.

“Sepentas Cromok ialah Nrocinu, antara band yang menepati piawaian sebagai sebuah band rock alternatif dan metal, selain Tebabo! dalam usaha mengangkat band baharu yang memerlukan peluang untuk dikenali di pasaran,” katanya.

Tiket fizikal boleh didapatkan pada harga RM159, manakala RM69 untuk tontonan secara dalam talian. Sila layari www.soulfest.my untuk pembelian.

Previous articleCara mengatasi masalah perut buncit
Next articleJangan pandang remeh rambut gugur! (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here