Liza Hanim berbesar hati bakal menghiburkan para veteran ATM .

Oleh: Wawa Najwa

JASA pahlawan yang berjuang untuk mempertahankan negara amat dihargai. Biarpun sudah bersara, perkhidmatan mereka tidak pernah dilupakan.

Bagi memastikan bekas wira dan wirawati negara tidak terbiar selepas pencen, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) melalui Yayasan Veteran ATM sentiasa ada menghulur bantuan buat mereka.

Untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada mereka yang layak, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM kembali dengan acara tahunan mereka dengan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024.

 

JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM anjur Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 pada 24 September ini.

Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 yang mengangkat tema Meraikan Bintang, Metamorfosis Hadapan bakal diadakan pada 24 September 2024 di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM bermula pukul 8 malam sehingga 10.30 malam.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zambery Jefry Darus berkata, JHEV ATM berhasrat untuk melaksanakan transformasi kad veteran ATM manual (kad plastik) kepada Kad Veteran Digital dengan pelbagai fungsi yang memberikan kebaikan dan faedah kepada keseluruhan warga veteran ATM selaras dengan era transformasi digital.

“Inisiatif ini masih dalam proses pembangunan dan dijangka akan diperkenalkan kepada para veteran ATM pada pelancaran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) pada 24 September 2024. Kad veteran digital akan dipaparkan dalam aplikasi mudah alih Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.

“JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM sangat berbesar hati kerana sekali lagi dapat melaksanakan penganjuran tahunan kami iaitu Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang.

Zambery Jefry Darus (tengah) harap majlis malam amal dapat mengeratkan silaturahim antara anggota ATM.

“Majlis ini bertujuan bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan dan menghargai pengorbanan serta bakti para veteran ATM tetapi akan menjadi medan merapatkan silaturahim semua wira dan wirawati yang pernah berjuang mempertahankan negara dan mencapai keamanan yang kita nikmati sekarang.

“Semua sumbangan yang diperoleh akan diagihkan kepada veteran ATM yang memerlukan sekali gus membantu mereka berjuang meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Bersama sumbangan yang akan disalurkan, pihak JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM juga menyuntik suasana makan malam dengan sedikit hiburan demi meraikan sekitar 700 tetamu yang diundang.

Dua bintang tersohor negara iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim bakal menghiburkan dan menyantuni para veteran ATM dengan alunan merdu vokal mereka.

Jamal menyifatkan penglibatan melakukan persembahan pada majlis makan malam amal ini sebagai penghormatan buat para veteran ATM dan wira serta wirawati yang bergadai nyawa menjaga kedaulatan negara.

Liza Hanim pula terharu kerana bakal menghiburkan tetamu yang begitu istimewa bukan buat dirinya tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Tentu saja saya dengan senang hati bersetuju untuk melakukan persembahan Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024.

“Mereka adalah bintang yang tidak akan pernah terpadam sinarnya kerana jasa, bakti serta pengorbanan yang diberikan kepada negara juga tidak akan terpadam.

“Untuk itu saya sangat berbesar hati menghiburkan para veteran ATM yang akan menghadiri majlis makan malam ini nanti.

“Harapan saya juga agar pihak penganjur meneruskan inisiatif serta usaha murni ini demi menjaga dan prihatin terhadap kelangsungan hidup para pejuang negara ini,” ujar Liza Hanim.

Sepanjang penubuhan, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM aktif mengumpul dana untuk tabung kecemasan bagi menyantuni para pejuang yang memerlukan yang mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan dalam keadaan tertentu.

Antara initiatif Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan adalah melalui surat-surat yang dihantar kepada syarikat dan rakan strategik, program-program Kempen Tabung Pahlawan, tabung yang diletakan di beberapa BHPetrol dan Jabatan/Kementerian dan juga sumbangan atas talian serta beberapa initiatif lain.

Untuk Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 yang bakal berlangsung pada 24 September 2024 ini, sebanyak tiga jenis kategori meja dijual.

Kategori meja yang dijual adalah 10 Perkasa bernilai RM50,000, 20 Perwira (RM20,000) dan 20 Pahlawan berharga RM10,000.

Previous articleAzean Irdawaty ‘permata seni’ yang kian dilupai!
Next articleLagu Efek Rumah Kaca berkumandang “Di Udara Kuala Lumpur”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here