Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA
SENIWATI Azean Irdawaty bukanlah calang-calang pelakon dan kredibilitinya dalam bidang lakonan tidak perlu dipertikaikan lagi.
Bagaimanapun sebelum mencipta nama sebagai pelakon terkenal dan hebat penghayatannya dalam setiap watak yang diberikan, Azean Irdawaty adalah seorang penyanyi.
Beliau pernah muncul dengan album pertama dan mempertaruhkan lagu “Bawalah Daku Bersamamu” (1980-an) yang cukup popular dan dianggap mampu meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi popular ketika itu.
Sayangnya dunia lakonan yang telah ‘melahirkan’ beliau sebagai pelakon hebat membuatkan Azean melupakan bidang nyanyian.
Azean Irdawaty mula mencipta nama sebagai pelakon setelah berlakon dalam filem “Di Belakang Tabir” arahan Jins Shamsuddin pada tahun 1970.
Sejak dari itu, satu demi satu tawaran diterima dengan pelbagai watak yang menguji bakat dan kebolehannya sebagai pelakon.
Bakat dan kredibiliti Azean Irdawaty sebagai ‘permata seni’ memang tidak perlu dipertikaikan kerana apa jua watak yang diberikan kepadanya pasti beliau mampu menghayati dan mewarnai watak tersebut dengan baik dan berkesan!
Jika tidak, mana mungkin beliau berjaya merangkul dua kali Trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Pertama (FFM1) pada tahun 1980 menerusi filem “Esok Masih Ada” arahan Jins Shamsuddin.
Sementara pada FFM3 pada tahun 1982, Azean Irdawaty sekali lagi dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Langit Petang” arahan Shahrom Mohd. Dom.
Sepanjang 30 tahun menceburi bidang lakonan, Azean Irdawaty yang merupakan ‘permata seni’ industri filem dan drama tanahair telah membintangi hampir 30 filem antaranya “Mama Oh Mama, Perjanjian Syaitan, Bintang Malam, Layar Lara, Mami Jarum Kembali dan Waris Jari Hantu.”
Bagaimanapun wataknya sebagai ‘Aunty Zai’ pelakon idola era 1950-an yang hidup melarat dalam filem “Layar Lara” dikatakan lakonan terbaik Azean Irdawaty. Filem arahan Shuhaimi Baba dengan cerita oleh Fatimah Abu Bakar benar-benar menyentuh hati siapa sahaja yang menontonnya.
Selain Azean Irdawaty filem tersebut turut dibintangi Ida Nerina, Sidi Oraza, Man Bai dengan penampilan istimewa Seniwati Siput Sarawak dan Seniman Mahmud Jun sebelum mereka meninggal dunia juga mengundang Seniman Aziz Jaafar, Seniwati Salmah Ahmad berlakon dalam filem berkenaan.
Filem ini telah menerima sembilan anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-13 yang berlangsung pada 28 Disember 1997.
Selain itu lakonannya sebagai Tok Wan dalam filem “Waris Jari Hantu” telah melayakkan beliau dianugerahkan trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FFM 21 ( 9 Ogos 2008).
Selain filem, Azean juga menjadi rebutan para penerbit drama TV dan antara drama yang sentiasa lekat di hati dan meruntun hati para peminat sudah pasti lakonan hebatnya dalam “ Aisah Lima Puluh Sen.”
Drama berdasarkan kisah benar itu berjaya ditangani dengan baik oleh Azean Irdawaty hingga mampu membuat penonton menangis apabila ‘Aisah 50 sen’ menjadi mangsa kerakusan manusia kejam.
Begitulah hebatnya ‘permata seni,’ Azean Irdawaty atau Azean Irdawaty Yusoef yang dilahirkan pada 26 Februari 1950 di Alor Setar, Kedah.
Azean Irdawaty, 63, isteri kepada Khairil Anwar Zainal Mokhtar Rashidi (meninggal dunia pada 21 Januari 2024) meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 17 Disember 2013 setelah lima tahun menderita akibat penyakit tumor dan lymphedema.
Allahyarham meninggalkan suami dan tiga orang anak Khaeryll Benjamin (meninggal dunia di Medan pada 11 Julai 2021), Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.
Sayangnya setelah lebih 10 tahun meninggal dunia, Azean Irdawaty yang bagaikan ‘permata seni’ terus dilupakan.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.