Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Norman/Koleksi Syed Wafa

Walaupun sudah berkecimpung selama 32 tahun dalam industri seni sejak 1992 namun Datuk Norman Abdul Halim masih menganggap dirinya umpama masih baru dalam dunia seni ini.

Kemunculan KRU yang ditubuhkan pada awal 1992 pernah menjadi fenomena kerana bakat yang dimiliki tiga beradik terdiri daripada Norman, Yusry dan Edry. Sepanjang pengelibatan mereka di dalam bidang seni sebanyak 13 album rakaman penuh dan 26 single lagu telah dihasilkan.

Album awal Kumpulqn KRU “Canggih” pada tahun 1992.

Empayar muzik yang diterajui tiga beradik ini berkembang menjadi empayar muzik dan filem melalui penubuhan KRU Records, KRU Studios dan kini Wetland Studio Putrajaya.

“Sepanjang 32 dalam industri ini, banyak pasang surutnya dan turun naiknya dalam industri ini. Apa yang pasti, dalam tempoh tersebut, saya masih rasa seolah-olah masih baru dalam industri. Ia jadi begitu sebab semangat saya masih berkobar-kobar untuk buat itu dan ini.

Gaya hip hop kumpulan KRU yang pernah menjadi kegilaan remaja ketika itu.

“Itu belum lagi impian nak hasilkan filem dan karya-karya seni yang lain. Walaupun sibuk dalam bidang perniagaan namun ini tidak halang saya untuk terus aktif dalam bidang seni,” kata Norman yang mesra dengan panggilan Norman KRU.

Sebagai abang sulung kini Norman yang banyak mengambil alih tampuk menguruskan syarikat. Manakala Yusry pula sibuk dengan bidang pengarahan dan berada dibelakang tabir. Edry pula kini berada diluar negara bersama keluarga.

Kumpulan KRU ketika beraksi di pentas persembahan di zaman kegemilangan mereka sungguh bertenaga.

Norman KRU, 53, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios menambah, kini hala tuju syarikatnya untuk mempopularkan lagi taman tema Wetland Studio Putrajaya yang telah dilancarkan sejak bulan Mei tahun lalu.

“Sebagai peneraju syarikat, dah dua tahun saya beri tumpuan untuk menggerakkan segala aktiviti di Taman Tema Wetland Studio Putrajaya ini. Alhamdulillah, setakat ini dah 250 ribu orang mengunjungi taman tema ini.

Populariti Norman KRU turut menjadikan beliau sering menjadi penghias majalah hiburan terkenal tanah air antaranya Hai.

“Dalam taman tema ini kami tonjolkan kandungan kreatif yang kami terbitkan seperti filem-filem, animasi dan juga muzik lagu yang pernah kami keluarkan dan berkaitan dengan apa yang KRU pernah buat.

“Konsep kami macam pengunjung datang tengok Disneyland atau Universal Studio. Matlamat saya dan hala tuju saya kini lebih ke arah itu. Taman tema Wetland Studio Putrajaya Putrajaya ini adalah lokasi pertama kami dan Insya-Allah ada rezeki kami nak buka dua lagi pusat sebegini dalam Selangor.”

Menyentuh mengenai bidang muzik pula, Norman yang merupakan kumpulan pencetus irama pop dan hip hop berkata, sejajar dengan perkembangan terkini terutamanya aplikasi media sosial seperti TikTok membuatkan lagu KRU seperti Terhangat Di Pasaran, menjadi siulan ramai semula.

Adik- beradik yang hebat dalam bidang masing- masing, (tengah) Norman bersama Edry ( kiri) dan Yusry.

“Saya gembira kerana lagu nyanyian kami masih segar di bibir peminat biarpun di Malaysia walaupun KRU sudah dibubarkan sejak 2018. Ini membuat kami berasa masih relevan dalam industri seni tanah air, biarpun tidak lagi bergerak sebagai satu kumpulan.

“Namun untuk kami bersatu semua sukar nak dikatakan kerana masing-masing ada komitmen sendiri. Tapi mana tahu…benda tak boleh nak cakap. Mungkin kami buat kemunculan special projek ke.”

Sepanjang pembabitan KRU dalam industri muzik, mereka telah berjaya membuat pencapaian terbesar dengan merangkul lebih 50 anugerah termasuk jualan album yang terjual melebihi jutaan ringgit.

Kumpulan KRU yang hebat dalam muzik dan perniagaan.

“Setiap kali memenangi anugerah merupakan kenangan manis buat kami adik-beradik. Antaranya ketika album Awas yang merupakan album pertama kami menang dua kategori Anugerah Industri Muzik (AIM- 1995), Penerbitan Album Terbaik and Album Pop Terbaik,” jelas Norman dengan bangganya.

KRU juga pernah mengadakan konsert secara besar-besaran pada tahun 1993, 1995, 1997, 1999 dan 2002. Konsert mereka yang diadakan di Dataran Merdeka telah dihadiri lebih 50 ribu orang peminat.

Pada 2000, KRU menubuhkan kumpulan muzik maya dikenali sebagai Tyco iaitu versi animasi tiga beradik ini. Norman juga menjadi Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia pada 2010.

Datuk Norman di hari bahagia bersama isteri tercinta, Datin Dr. Shireen Mardziah.

Norman dilahirkan pada 5 Februari 1971 di London, England dibesarkan di Kuala Lumpur, Malaysia. Antara lagu nyanyiannya bersama KRU ialah Awas, Cherrina, Diari Metropolitan, Fanatik, Won’t Look Back dan C’mon Lah yang kesemuanya menampilkan nyanyian rap beliau.

Setelah kedua adik- beradiknya berkahwin, barulah Norman KRU bertemu jodohnya. Pada 8 Julai 2009, Norman berkahwin dengan Datin Dr. Shireen Mardziah Hashim. Kini keduanya bahagia dengan kehadiran seorang cahayamata perempuan.

Pada Januari 2016, beliau dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk.

Datuk Norman ketika majlis menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) 2016.

Pada 18 April 2018, Norman yang mewakili adik-beradiknya (Yusry dan Edry) anggota KRU mengumumkan pembubaran mereka selepas konsert terakhir, Konsert Gergasi KRU25 yang akan berlangsung di Istana Budaya dari 4 hingga 6 Mei 2018.

Sambutan ulangtahun ke 25 ini juga KRU turut melancarkan album ke-13 mereka bertajuk Gergasi yang mengandungi 30 buah lagu popular kumpulan KRU sepanjang penglibatan mereka dalam bidang seni.

Antara album yang pernah dihasilkan kumpulan KRU ialah Canggih (1992), reKRUed (1993), Awas (1994), Beware: Awas! Da Soundtrack, Ooh! La!La!, The Way We Jam, Formula Luar Biasa, Tyco, KRUjaan, Empayar KRUjaan V 2.0, KRUnisme, KRUnomena dan 10 Di Skala Ritcher.

Keluarga bahagia…Norman KRU bersama ibu bapa dan adik- adiknya.

Terbitkan dua filem tahun ini

Walaupun telah menerbitkan lebih daripada 20 buah filem, namun Norman KRU selaku Penerbit Eksekutif masih berminat untuk menerbitkan lagi dua buah filem dalam tahun ini juga.

“Minggu depan mungkin kami akan adakan sidang akhbar untuk mengumumkan filem terbaru yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi. Filem pertama dalam minda saya, kami nak terbitkan filem sekuel untuk filem Duyung yang pernah dibuat pada tahun 2006.

“Manakala bulan Oktober pula kami akan mulakan penggambaran filem kedua pula. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai pengarah dan pelakon serta filem ini tunggu saja minggu depan,” kata Norman KRU yang juga peminat filem-filem Disney dan peminat Bob Zemeckis, Christopher Nolan dan Steven Spielberg.

Sebelum ini filem KRU Studio pernah menerima pelbagai anugerah antaranya Hikayat Merong Mahawangsa dinobatkan Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24 -2011) dan Anugerah Skor Muzik Terbaik (Edry).

Manakala filem Ribbit memenangi anugerah Filem Keluarga Terbaik di Festival Filem Bersepadu Niagara (NIFF -2014). Magika pula menang Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23- 2010) dan Filem Terbaik Anugerah Skrin 2011.

Antara filem terbitan KRU Studio ialah Awas (1995), Cinta Metropolitan (1996), Cicakman (2006) Duyung, Cicakman 2- Planet Hitam. Skrip 7707, Jin Notti, My Spy, Magika, Hikayat Merong Mahawangsa, Karak, Vikingdom dan Geng Sakau vs Hantu Ting Tong (2023).

Previous articleSmash Mouth, Mecklemore meriahkan After Race Fest , 3 November ini
Next articleArijit Singh, penyanyi latar filem Bollywood, hibur peminat Malaysia, November ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here