Bella belum puas meneroka Taiwan kerana banyak lokasi menarik di sana.

Oleh: Wawa Najwa

PENYANYI Nabila Razali mengakui antara lokasi pelancongan yang ingin diterokainya adalah Taiwan dan sudah menjadi rezekinya pula apabila dilantik sebagai Duta Salam Taiwan 2024.

Nabila atau mesra dengan panggila Bella, menyifatkan pelantikannya sebagai Duta Salam Taiwan 2024 memahat satu lagi pencapaian bermakna dałam perjalanan kerjaya seninya yang kini mencecah lebih sedekad.

Bersyukur dengan penghormatan dan kepercayaan yang diberikan, Bella, 31, yang juga pelakon itu berkata, beliau kini menggalas satu lagi tanggungjawab besar bagi memastikan amanah itu dilunaskan dengan sebaik mungkin.

“Pelantikan sebagai Duta Salam Taiwan 2024 banyak membuka mata Bella mengenai komitmen jitu Taiwan sebagai destinasi pelancongan yang mesra Muslim.

“Banyak perkara baharu yang Bella terokai sepanjang berada di sana. Lebih istimewa, Taiwan sangat sesuai untuk dijadikan destinasi pilihan percutian seisi keluarga kerana ia menawarkan pelbagai tarikan yang tersendiri.

Sejak 2018, Pentadbiran Pelancongan Taiwan telah membina jenama Salam Taiwan dalam pasaran Muslim Malaysia.

“Bella sangat berbesar hati dapat berkongsi pelbagai informasi menarik mengenai Taiwan. Bahkan, Bella sangat teruja apabila berpeluang memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia, terutama masyarakat Islam untuk meneroka sebuah lagi destinasi pelancongan mesra Muslim,” katanya.

Meskipun sudah berpeluang tiga kali menjejak kaki ke Taiwan, Bella masih belum puas kerana banyak lagi yang belum diterokainya di pulau yang menawarkan pelbagai tarikan dengan panorama memukau pandangan.

“Taiwan membuatkan Bella sentiasa teruja kerana mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi, sama ada dari segi hiburan, pesona alam semula jadi, pemandangan yang tidak pernah menjemukan pancaindera dan keindahan budaya.

“Apa yang membuat Bella begitu selesa adalah penduduk Taiwan sangat peramah dan mesra membuatkan Bella berasa selamat, meskipun ketika bersiar-siar bersendirian. Jaringan sistem pengangkutan awam yang sangat efisien juga memudahkan kita untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain,” jelasnya.

Bella akan pastikan peranannya sebgai duta Salam Taiwan 2024 itu dilaksanakan dengan baik.

Penyanyi lagu Tangis itu berkata, antara pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya adalah peluang mendaki Bitoujiao Trail yang menawarkan pemandangan yang begitu mempesonakan.

Mengakui dirinya bukan penggemar aktiviti mendaki, namun peluang keemasan itu tidak dilepaskan Nabila kerana mahu menikmati keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di lokasi aktiviti santai pilihan penduduk Taiwan itu.

“Bella juga sangat seronok apabila dapat berbasikal di sepanjang Tanyashen Greenway di Taichung, malah turut larut dalam nostalgia di Stesen Jingtong ketika menaiki kereta api laluan Pingxi yang begitu mempesonakan.

“Bella turut berpeluang melihat kehidupan masyarakat di pedalaman Taiwan dan ia memberikan pengalaman yang sangat berharga buat Bella ” katanya yang turut teruja mencuba pelbagai permainan di beberapa taman tema yang sempat dikunjunginya.

Beliau juga tidak melepaskan peluang menikmati masakan Muslim Taiwan antaranya potongan ayam goreng yang baginya begitu membuka selera, selain mencuba sendiri menyediakan sajian tradisional, Hakka Lei Cha (teh yang dikisar).

Rezeki Bella semakin murah selepas mendirikan rumah tangga.

“Ayam goreng itu antara sajian enak yang pasti Bella cari apabila berkunjung ke Taiwan. Insya-Allah, jika ada kesempatan lagi, sudah tentu Bella akan bawa suami bersama untuk menikmati pelbagai tarikan yang ada di Taiwan.

“Bella yakin pelantikan sebagai Duta Salam Taiwan 2024 memberi impak besar kepada perjalanan karier seni Bella, terutama apabila pengaruh dan populariti Bella dapat dimanfaatkan untuk mempromosikan perkara yang positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Pentadbiran Pelancongan Taiwan, baru-baru ini melancarkan video promosi kembara terbaharu, Jom Taiwan yang menampilkan Nabila, selain risalah terkini sebagai usaha strategik untuk mempromosikan Taiwan sebagai destinasi pilihan utama Muslim Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, MOTC, Chou Ting-chang menekankan, keutuhan hubungan antara Taiwan dan Malaysia meletakkan negara ini sebagai pasaran utama dalam mempromosikan pelancongan Muslim.

Katanya, sejak 2018, Pentadbiran Pelancongan Taiwan telah membina jenama Salam Taiwan dalam pasaran Muslim Malaysia, seterusnya memahat imej Taiwan sebagai destinasi pelancongan terbuka yang kini semakin bertapak kukuh di hati pelancong Muslim.

Pelantikan Nabila Razali sebagai Duta Salam Taiwan 2024 merupakan pencapaian bermakna dałam perjalanan kerjaya seninya.

“Peningkatan ketara dengan lebih 200,000 pelancong Malaysia berkunjung ke Taiwan dapat dilihat antara Januari dan Mei 2024, menyaksikan pertumbuhan hampir 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan itu mendorong Taiwan untuk terus komited dalam usaha menampung keperluan pengembara Muslim, selain menyediakan pengalaman perjalanan yang mesra pelancong Islam.

“Bersama slogan “Jom Taiwan”, pelantikan Nabila yang mempunyai 3.5 juta pengikut di media sosial sebagai duta kempen dapat memanfaatkan popularitinya dengan lebih meluas untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melawat Taiwan,” katanya.

Turut dilancarkan serentak, risalah baharu panduan perjalanan Muslim dan kempen undian 72 Jam Di Taiwan dengan mempelawa rakyat Malaysia mengundi jadual perjalanan yang mereka gemari di Taiwan menerusi laman web (https://72jamditaiwan.my).

Peserta berpeluang memenangi pakej pelancongan Taiwan tiga hari dua malam untuk dua orang, termasuk tiket penerbangan pergi balik.

Untuk menarik lebih ramai pengunjung Muslim dari Malaysia meneroka keindahan bumi Taiwan, Pentadbiran Pelancongan Taiwan turut mengambil bahagian dalam Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair 2024) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September ini.

Peminat berpeluang bertemu Nabila ketika sesi ‘meet-and-greet’ yang akan diadakan di Pentas Utama, Tingkat 3, MITEC, pada 7 September ini, jam 3 petang.

Previous articleSindrom rambut gugur teruk yang ramai tak tahu!
Next articleBCL mahu lebih kerap berada di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here