Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan BCL
SELAIN dikenali sebagai penyanyi di kalangan penggemar muzik tempatan, nama Bunga Citra Lestari atau BCL juga dikenali sebagai isteri kepada Allahyarham Ashraf Sinclair sewaktu mereka disatukan pada 2008.
Namun jodoh mereka tidak berpanjangan kerana pada 2020, Ashraf meninggal dunia dan hasil daripada perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Noah Aidan Sinclair.
Kini penyanyi yang popular dengan lagu “Cinta Pertama (Sunny)” itu sudahpun ada pasangan baharu iaitu Tiko Aryawardhana sejak 2023.
BCL yang sering diundang mengadakan persembahan di sini tetap tidak pernah melupakan Malaysia sebagai rumah keduanya kerana hubungannya dengan bekas mentua masih utuh.
Tambahan pula sekarang ini setiap minggu wanita berusia 41 tahun itu kerap turun ke Malaysia bagi melaksanakan tugasannya sebagai juri untuk program “Gimme The Mic Malaysia.”
Menariknya dalam program tersebut BCL menjadi juri bersama birasnya, penyanyi Yuna yang merupakan isteri kepada Adam Sinclair.
BCL yang kini tampil dengan berambut pendek, mengembalikan nostalgia kemunculan awalnya dalam bidang seni. Bakat BCL dalam bidang seni dikesan menerusi lakonanya dalam filem “Cinta Pertama” pada 2006 dan seiring dengan lakonannya dalam filem tersebut runut bunyi “Cinta Pertama (Sunny)” turut dihasilkan.
Proek “Cinta Pertama” langsung mengubah jalur karier lakonan dan muzik BCL hingga kini beliau menjadi superstar yang membintangi banyak filem dan juga berkarya di industri muzik.
Satu pentas bersama artis Malaysia
BCL mengaku yang beliau sentiasa menunggu peluang untuk datang ke Malaysia kerana negara ini merupakan rumah keduanya selepas Indonesia dan tidak kisah kalau dipinta mengadakan persembahan di sini sekerap mungkin.
“Saya suka kalau diundang mengadakan persembahan di sini, kalau setiap bulan pun okey. Saya hanya menunggu pelawaan sahaja dari Kuala Lumpur kerana itu adalah salah satu alasan untuk saya kembali ke sini selain daripada bertemu dengan keluarga.
“Rasanya kehidupan saya di sini sama saja dengan di Indonesia yang berkaitan dengan kehidupan dan kerjaya. Selama ini kalau saya balik ke Malaysia kerana keluarga atau bercuti saja. Lain situasinya kalau kita ada kerja atau projek di sini.
“Saya memang ada rumah di sini sejak dulu lagi dan sekarang rumah itu didiami oleh ummi dan daddy. Kalau misalnya ada kerja di tengah bandar, saya menetap di hotel tapi lebihnya di rumah. Dulu saya menetap di sini selama dua atau tiga bulan tapi anda semua tak tahu,” katanya sambil ketawa.
BCL yang ditemui pada sidang media Konsert Farmasi Soundzation anjuran INT X Group di Menara Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu mengakui yang beliau tidak sabar untuk menjayakan konsert tersebut.
Konsert Farmasi Soundzation yang bakal berlangsung di Megastar Arena, di sini, pada 30 November ini, membabitkan BCL bersama dua lagi penyanyi iaitu Ghea Indrawari dan Elly Mazlein.
“Sebenarnya saya teruja untuk datang ke sini menjayakan konsert walaupun sekarang ini setiap minggu saya datang sebagai juri untuk program “Gimme The Mic Malaysia.”
“Konsert terakhir saya adalah pada 2023 (Blossom Intimate Concert) dan menerusi konsert ini (Farmasi Soundzation) saya boleh kembali ke sini dengan Ghea Indrawari juga. Ghea dulu adalah seorang peserta untuk “Indonesia Idol 2018” dan saya adalah salah seorang jurinya. Jadi saya tahu perjalanan seninya dari uji bakat sampailah jadi seorang penyanyi seperti sekarang.
“Saya juga baru bertemu dengan Elly Mazlien di acara “Gimme The Mic Malaysia”. Bagi saya, dia sangat menarik dan kelakar. Saya teruja untuk berkolaborasi dengan dia. Saya senang untuk menjayakan acara ini kerana semuanya wanita dan sesuai dengan apa yang penganjur mahu capai tentang kecantikan di dalam dan luaran,” katanya.
Tambahnya, setiap daripada mereka akan diberi tempoh sejam untuk persembahan dan berkemungkinan besar, beliau akan mendendangkan 12 atau 15 buah lagu.
Di antara lagu yang bakal didendangkan nanti, BCL memberitahu, ada lagu baharu yang akan dinyanyikan untuk pendengaran peminat di Malaysia.
“Dalam tempoh dua minggu lagi saya akan lancarkan lagu baharu. Doakan saya boleh nyanyikan di sini. Macam dulu lagu “Badai Telah Berlalu”, saya nyanyi di sini dulu. Kenapa ya selalu begitu? Selalu ada lagu baharu, mesti saya nyanyi di Malaysia dulu kemudian baru di Indonesia. Malaysia sangat istimewa kepada saya sejak dulu hingga kini.
“Selain lagu baharu, susunan muzik juga berbeza dengan apa yang pernah saya persembahkan dulu kerana itu konsert solo yang bercerita tentang perjalanan kerjaya saya. Sekarang ini saya lebih kepada persembahan konsert. Siapa tahu saya mungkin berduet dengan dua lagi rakan artis. Kalau nak tahu ada kejutan atau tidak, datanglah menonton,” katanya.
Tiket berharga RM288 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond) dan RM1,088 (VIP) boleh didapatkan secara online di www.ilassotickets.com
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.