Dari kiri, Khadijah Ibrahim, Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez dan wakil Vit's.

Oleh: Wawa Najwa

KIRA-KIRA 17 artis popular era 90-an bakal menjayakan Festival Muzik Vits – ‘Konsert Telan Kaset 90’An’ bersempena dengan Festival Mi Malaysia yang pertama pada 12 dan 13 Oktober ini.

Konsert yang bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 malam itu bakal berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya menampilkan barisan artis tersohor era 90-an seperti Rahmad Mega, Kool, Ady Wow, Aris Ariwatan, Dinamik Kasawari, Roy, Amir Ukay’s, Shidi Data, Isa Gravity, Wann, Febians, Hasnol, Shades, A To Z, Tom, Fuad, Zamani, bersama DJ Fasha Anderson dengan Don’t Panic Buskers dan ramai lagi.

Kehadiran ramai penyanyi itu bakal memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar pelbagai genre muzik seperti rock, balada, R&B, hip hop dan irama Malaysia.

Wakil penganjur Vit’s, Baizura Tazri berkata, tujuan konsert diadakan adalah bagi mengubati kerinduan peminat-peminat muzik 90-an dengan membawakan lagu-lagu ‘hits’ era tersebut dan menggabungkan pesta makanan berasaskan mi seperti laksa, mi kari, mi bandung, pasta dan bermacam lagi.

“Ini merupakan kali pertama jenama mi segera Vit’s mengadakan festival muzik sebegini dengan menggabungkan elemen muzik dan makanan bersempena Vit’s Music Festival buat pengunjung agar dapat menikmati makanan berasaskan mi dengan sajian muzik 90-an.

“Selain mengubati kerinduan peminat, konsert ini juga bertujuan mengumpul dana bagi Persatuan Karyawan Malaysia melalui hasil jualan tiket konsert, dan dana yang diperolehi akan digunakan untuk membantu artis-artis senior dan para karyawan yang sedang sakit ataupun uzur yang memerlukan bantuan, selari dengan tujuan penubuhan persatuan ini,” katanya.

Konsert yang menampilkan ramai penyanyi era 90-an.

Sementara itu, Pengerusi Karyawan Datuk Khadijah Ibrahim, 65, berkata, acara tersebut dipanggil ‘Konsert Telan Kaset 90’An’ kerana setiap lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi terbabit sudah sinonim di pendengaran peminat.

“Kita pilih ‘telan kaset’ kerana ia membawa maksud, apabila artis yang bakal membuat persembahan itu menyanyi, automatik kita dah tahu siapa dia walaupun kadang-kadang tak ingat pun lirik lagu dinyanyikan.

“Penganjuran konsert ini bersama pihak penganjur bukan untuk hiburan semata-mata tapi ia juga pentas untuk artis yang sudah lama tidak muncul buat ‘comeback’ dan berikan yang terbaik serta pastikan penonton yang datang tengok konsert rasa berbaloi dengan harga tiket dibayar,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media Festival Muzik Vit’s – Konsert Telan Kaset 90, baru-baru ini.

Meskipun barisan artis yang menjayakan konsert tersebut bukan daripada era masa kini namun Khadijah yakin kehadiran penonton tidak akan menghampakan dan dia menyasarkan 10,000 pengunjung akan hadir.

“Saya sangat positif dari segi sasaran pengunjung kerana percaya ramai peminat yang akan datang ke konsert itu nanti untuk mendengar lagu-lagu kegemaran mereka secara langsung.

“Dulu saya pun selalu cakap ada ke budak umur 10 tahun nak tengok saya menyanyi? Tapi, rupa-rupanya mereka tahu lagu dendangan saya seperti “Ku Pendam Sebuah Duka” itu.

“Pada masa sama, kami (Karyawan) juga ada menjemput pelancong dari luar negara untuk memeriahkan lagi festival ini. Warga emas juga ada diskaun untuk hadir ke acara hiburan ini.

“Selain itu, kami juga menjemput pelajar universiti sekitar Petaling Jaya sertai pertandingan karaoke yang berlangsung di festival ini kerana mahu mendedahkan mereka dengan lagu lama. Dari situ, mereka sebagai generasi muda akan belajar mengenai lagu lama,” jelasnya.

Bagi yang berminat memeriahkan festival ini, tiket Konsert Telan Kaset 90-an dijual sejak 16 Ogos lalu dan pembelian boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web, Ticket2u.com.my.

Previous articleWatak Rahimah Alias ‘isteri’ Haji Bakhil yang sentiasa diingati!
Next articleJom berselawat ke atas Nabi SAW! (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here