SENIWATI Rahimah Alias bukan sahaja mempunyai raut wajah yang cantik tetapi juga seorang pelakon yang berbakat.

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

KALAU sebut nama Seniwati Rahimah Alias mungkin ramai yang ingat-ingat lupa tetapi kalau bercakap tentang ‘isteri Haji Bakhil’ dalam filem “Labu dan Labi” tentu ramai yang ‘kenal sangat’ dengannya.

Walaupun watak beliau sebagai isteri Haji Bakhil dalam filem berkenaan muncul tidak sampai 20 babak tetapi kehadirannya menyerikan filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1962 itu.

FILEM “Pontianak” 1957 merupakan filem pertama lakonan Rahimah Alias sebagai isteri Penghulu.
MAJLIS doa selamat sebelum memulakan penggambaran filem “Che Mamat Parang Tajam” arahan S. Roomai Noor. Gambar ini dirakamkan pada 23 Ogos 1957. Dari kiri: Mislia, Salmah Ahmad, Umi Kalthum dan Rahimah Alias menikmati hidang nasi gulai ala kampung.
“SUMPAH Pontianak” arahan B.N Rao terbitan tahun 1958 dengan para pelakonnya…Maria Menado, Salmah Ahmad, Mustapha Maarof, Wahid Satay, Mat Sentol, Rahimah Alias, Yem, Aman Belon dan Puteh Lawak.

Dalam filem skrip karya P. Ramlee dan Seniman S. Kadarisman yang juga bertindak sebagai penulis lakonlayar, Rahimah Alias digambarkan sebagi seorang isteri yang menghormati dan taat kepada suaminya, Haji Bakhil (lakonan Seniman Udo Omar) yang memanggil isterinya, ‘Sayang,’ ternyata beliau berjaya menarik perhatian para peminat filem Melayu ketika itu dan sampai hari ini apabila setiap kali ditayangkan di televisyen.

Namun walaupun taat kepada suami, sesekali ‘Isteri Haji Bakhil’ menegur Haji Bakhil kerana sifat garang dan tegasnya kepada Labu (Seniman M. Zain) yang lemah semangat bukan sahaja mencuit hati penonton malah melembutkan hati suaminya yang terlalu kedekut!

“TUNANG Pak Dukun” filem terbitan tahun 1960 arahan S. Roomai Nor dilakonkan oleh Abdullah Chik, Roseyatimah, Shariff Medan, Mahmud Jun, Dollah Sarawak dan Rahimah Alias sebagai Mak Tijah.
FILEM “Antara Dua Darjat” 1960 arahan dan lakonan P. Ramlee, Saadiah, Ahmad Nisfu, Kuswadinata dan Rahimah Alias sebagai Yang Chik.
RAHIMAH Alias sebagai Yang Chik dalam filem “Antara Dua Darjat” 1960.
RAHIMAH Alias sebagai Yang Chik dan Saadiah sebagai Tengku Zaleha dalam satu babak filem “Antara Dua Darjat” 1960.

Bukan itu sahaja, malah kadangkala ketika berbual antara Haji Bakhil dengan isterinya yang dipanggil mereka berdua lebih suka menggunakan dialek Negeri Sembilan yang mampu menonjolkan betapa romantiknya pasangan suami isteri itu.

Begitulah hebat dan berkesannya lakonan Seniwati jelita, Rahimah Alias sebagai ‘Isteri Haji Bakhil’ yang dilahirkan pada 3 Mac 1931, di Kampung Gadung, Kota, Negeri Sembilan.

SENIWATI jelita…Maria Menado, Umi Kalthum dan Rahimah Alias.
FILEM “Ibu Mertuaku” terbitan tahun 1962 arahan dan lakonan P. Ramlee, Sarimah, Ahmad Mahmud, Zaiton, Mak Dara dan Rahimah Alias.

Walaupun tidak dinafikan wataknya sebagai ‘Isteri Haji Bakhil’ mencuri hati para peminat filem Melayu sehingga hari ini, tetapi tidak boleh dinafikan Rahimah Alias juga menyerlah dalam filem “Antara Dua Darjat.”

Dalam filem arahan P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1960, Rahimah Alias melakonkan watak ‘Yang Chik’ isteri kepada Tengku Karim (Seniman Ahmad Nisfu) dan ibu kepada Tengku Zaleha.

WATAK Rahimah Alias sebagai isteri Haji Bakhil dalam filem “Labu dan Labi” telah memperkenalkan beliau sebagai pelakon berbakat dan diminati.
Filem ini dibintangi oleh M. Zain, P. Ramlee, Mariani, Udo Umar dan Shariff Dol.
RAHIMAH Alias yang sentiasa diingati kerana wataknya sebagai ‘Isteri Haji Bakhil’ dalam filem “Labu dan Labi.”

Meskipun babaknya tidak banyak dan ‘Yang Chik’ bukan berketurunan ‘Tengku’ tetapi akhirnya beliau ‘memberontak’ mempertahankan cinta anaknya Tengku Zaleha dengan orang kebanyakan demi kebahagiaan permata hatinya!

Rahimah Alias menceburi bidang lakonan pada tahun 1958 dengan tiga buah filem iaitu “Dendam Pontianak,” “Che Mamat Parang Tajam” dan “Sumpah Pontianak” dan “Tunang Pak Dukon” (1960) dengan membawa watak sebagai emak kepada Seniwati Roseyatimah dengan berdialog dalam loghat Minang!

ANTARA babak lkonan Rahimah Alias yang sentiasa diingati kerana wataknya sebagai ‘Isteri Haji Bakhil’ dalam filem “Labu dan Labi” 1962.
RAHIMAH Alias yang sentiasa diingati kerana wataknya sebagai ‘Isteri Haji Bakhil’ dalam filem “Labu dan Labi” 1962.
HAJI Bakhil (Udo Umar), isterinya lakonan Rahimah Alias dan Mariani sebagai anak mereka dalam satu babak cemas filem “Labu dan Labi” 1962.

Beliau merupakan salah seorang pelakon bebas ketika itu yang tidak terikat dengan mana-mana studio. Rahimah Alias dikatakan telah berlakon 32 buah filem dari tiga buah studio iaitu Malay Film Productions, Cathay Keris dan Studio Merdeka.

Adalah difahamkan Rahimah memulakan langkahnya sebagai pelakon dengan berlakon dalam filem epik “Pontianak” (1957) dengan pelakon utamanya, Seniwati Datuk Seri Maria Menado.

RAHIMAH Alias dipilih sebagai duta ‘Melawat Malaya’ kerana memiliki wajah Melayu asli.
MEMILIKI wajah cantik dan menawan serta bakat memberi ruang Rahimah Alias mencipta nama sebagai pelakon dengan pelbagai watak.

Pada tahun 1961, Rahimah Alias mendapat tawaran berlakon filem “Keris Sempena Riau” terbitan Merdeka Studio, Kuala Lumpur.

Kemudian pada tahun yang sama, beliau kembali ke Singapura untuk berlakon dalam filem-filem terbitan Cathay Keris dan Shaw Brothers. Antara filem lakonan Rahimah ialah “Yatim Mustapha” dan “Keris Sempena Riau”(1961), “Ibu Mertuaku” dan “Labu dan Labi”(1962), “Chuchu Datok Merah”dengan filem terakhirnya, “Chempaka Biru”(1963) yang mana beliau berlakon bersama anaknya, Seniwati Datin Suraya Harun.

RAHIMAH Alias melakonkan watak ‘Inang’ dalam filem “Chuchu Datok Merah” dengan bintang utamanya, Nordin Ahmad dan Latifah Omar serta Roseyatimah.
Filem ini diarahkan oleh M. Amin dan diterbitkan pada tahun 1963.
DARI kiri: Tiga pelakon utama filem “Chuchu Datok Merah”… A. Rahim, Rahimah Alias dan Nordin Ahmad.
Gambar ini dirakamkan setelah selesai majlis memperkenalkan pelakon-pelakon filem berkenaan di Studio Cathay Keris.
DUDUK dari kiri: A. Rahim, Latifah Omar, Rahimah Alias sedang berehat ketika penggambaran filem “Chuchu Datuk Merah” arahan M. Amin pada tahun 1963.

Tahun 1961, dikatakan tahun gemilang bagi Rahimah Alias kerana bukan sahaja menerima tawaran demi tawaran berlakon malah wajah jelitanya turut diabadikan sebagai poster Tahun Melawat Malaya oleh Malayan Tourism Board.

Rahimah Alias dipilih bersandarkan wajah Melayu asli miliknya disamping sering berlakon watak berdialog Minang dalam filem lakonannya.

RAHIMAH Alias (kiri) bersama dengan Roseyatimah dalam satu babak filem “Chuchu Datok Merah” terbitan tahun 1963
PELAKON “Chuchu Datok Merah”… Rahimah Alias dan Nordin Ahmad pada tahun 1963.

Poster ‘Tahun Melawat Malaya’ mengabadikan Rahimah Alias berkebaya pendek yang merupakan pakaian paling diminati wanita di Malaya pada tahun 1960-an disamping berselendang bagi menambahkan keayuan wajahnya.

Poster tersebut turut memuatkan tarikan yang ada di seluruh Tanah Melayu seperti Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Perak, Masjid Sultan Abu Bakar, di Johor dan Kuil Siam Wat Phothivihan di Kelantan.

TAHUN 1963 adalah zaman kegemilangan Cathay-Keris dengan filem-filem hebat terbitannya. Sempena Hari Raya mereka telah menerbitkan satu filem pendek bagi memeriahkan perayaan tersebut.
Barisan atas dari kiri: Rajinah Alias, Roseyatimah, Rahmah Ali, Suraya Harun, Umi Kalthum, Fatimah Ahmad, Latifah Omar dan Siti Tanjung Perak.
Barisan tengah dari kiri: S. Roomai Noor, Haji Arshad, Nordin Ahmad, A. Rahim dan Yusof Latiff.
Barisan bawah dari kiri: Dollah Sarawak, Zainal Gemok, Wahid Satay, Mat Sentol dan Yem.
Antara filem-filem yang ditayangkan pada tahun berkenaan ialah “Chuchu Datok Merak, Darahku, Bayangan Waktu Fajar, Chempaka Biru dan Raja Bersiong.”
Para seniman dan seniwati mengambil kesempatan mengucapkan ‘Selamat Hari Raya

Rahimah Alias meninggalkan dunia lakonan setelah berlakon dengan anaknya, Suraya Harun dalam filem “Chempaka Biru”(1963).

Apabila Suraya Harun berkahwin dengan Seniman Mustapha Maarof pada 1963, Rahimah ‘mengucapkan selamat tinggal’ pada dunia perfileman apabila mendapat tawaran bekerja sebagai jurusolek kanan TV Malaysia yang baharu ditubuhkan.

RAHIMAH Alias dan anaknya, Suraya Harun turut berlakon dalam filem “Chempaka Biru” 1963 dan merupakan filem terakhir beliau.

Rahimah Alias berkahwin buat kali kedua dengan Mejar Samad dan menetap di Kuala Lumpur. Melalui perkahwinan kedua ini, beliau dikurniakan seorang anak perempuan, Sandra Samad. Sandra Samad adalah ibu kepada penyanyi indie, Liyan Fizi.

Rahimah Alias menghembuskan nafas terakhir pada 30 Disember 2009 pada usia 78 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

RAHIMAH Alias (depan) bersama anaknya, Suraya Harun (berdiri tengah) dan Sandra.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempat dalam golongan orang beriman…Amin.

Previous articleHannah Delisha cuba dulu baru setuju
Next articleKonsert Telan Kaset 90’An berhibur sambil membantu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here