Oleh SYED WAFA
Foto : Ehsan Uji Rashid/Koleksi Syed Wafa
APABILA sebut nama Uji Rashid sesuatu yang tidak boleh dilupakan ialah mata bundar dan besar serta suara manja anugerah-Nya menjadi ‘trademark’ seniwati dan biduanita popular sejak era 1970-an sehingga 1990-an ini.
Bayangkan hanya dengan filem pertama “Permintaan Terakhir” arahan Jamil Sulong pada tahun 1975 nama Uji Rashid bertahta di puncak populariti dan menjadi pujaan ramai kerana lakonannya dalam filem berkenaan bersama Nozie Nani, Sony Abdullah, Yusof Haslam, Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah meninggalkan kebencian penonton terhadapnya.
Wataknya sebagai Salina atau Lynn yang dengki dengan kakak tirinya, Rohani (Nozie Nani) sehingga sanggup merampas kekasih kakaknya, Iskandar (Sony Abdullah) membuatkan penonton membencinya.
Bagaimanapun kebencian penonton bertukar menjadi simpati apabila Lynn mendapat tahu ajalnya akan tiba dan dengan penuh keinsafan berdoa agar ‘permintaan terakhirnya’ dikabulkan untuk melihat kelahiran adiknya.
Pengakhiran filem tersebut yang merenggut rasa sayu dan sedih para penonton bukan sahaja telah menjadi titik tolak kejayaan filem berkenaan malah telah melahirkan sebutir bintang yang menjadi pujaan dan kesayangan ramai ketika itu.
Populariti yang diraih dalam sekelip mata dan keistimewaan yang dimiliki beliau bukan sahaja suara manjanya malah mata bundar dan besar membuatkan beliau berada di kelasnya yang tersendiri.
Bayangkan betapa hebatnya pengaruh seniwati yang seorang ini, gara-gara popularitinya sehinggakan sejenis ikan Priacanthus macracanthus yang sering dimakan di Sabah dipanggil oleh orang tempatan sebagai ‘Ikan Uji Rashid’ kerana matanya yang besar dan bulat seperti seniwati berkenaan.
Selepas kejayaan filem “Permintaan Terakhir” bukan sahaja populariti Uji Rashid melonjak malah bakatnya yang dikesan oleh Tan Sri Ahmad Nawab dan beliau pernah merakamkan empat lagu di sebuah studio di Singapura yang pada awalnya lagu-lagu berkenaan tidak diterbitkan akhirnya menemui para peminatnya.
Begitulah hebatnya pengaruh seniwati dan biduanita, Uji Rashid atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al-Rashid, 70, yang dilahirkan di Sabah.
Melalui perkahwinannya dengan Jamaluddin Jalil Harahap pada tahun 1978 yang berakhir dengan perceraian, Uji Rashid dianugerahkan seorang anak iaitu, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 46 tahun atau lebih dikenali sebagai Cico Harahap.
Pada zaman kegemilangannya, Uji Rashid banyak membuat lawatan keluar negara antaranya London, Stockholm dan Paris sebagai duta negara merangkap penyanyi dan penari Kompleks Budaya Negara.
Titik tolak daripada kejayaan filem “Permintaan Terakhir,” Uji Rashid yang dianggap ‘bintang idola’ daripada segi fesyen pakaian, rambut dan solekan mata khususnya pada era 1970-an muncul dengan beberapa filem lagi antaranya “Jiwa Remaja” (arahan Jamil Sulong -1975), “Menanti Hari Esok”(arahan Jins Shamsuddin- 1977), “Dendang Perantau”(Jamil Sulong- 1979), “Langit Tidak Selaku Cerah” (S.Sudarmaji -1981), “Yassin”(Tan Sri Kamarul Ariffin -1988), “Mistik”(Profesor A. Razak Mohaideen – 2003) dan “Lembing Awang Pulang Ke Dayang” (Majed Salleh – 2009).
Selain berlakon Uji Rashid yang berbakat sebagai penyanyi telah muncul lebih 16 album dan antara lagu popularnya ialah “Kali Terakhir Kulihat Wajahmu, Semakin Hari Semakin Sayang, Namaku Terukir Di Hatiku, Mengapa Dirindu dan Ku Kekosongan.”
Sepanjang bergelar penyanyi rakan duet yang dianggap serasi dengan Uji Rashid ialah Hail Amir dan mereka pernah muncul dalam album antaranya “Antara Matamu dan Mataku”(1976), “Hujan”(1977), “Ku Kejar Bayanganmu”(1980)“Melayu Klasik”(1995).
Setelah pernah menjadi artis rakaman EMI dan Warner Music, sayangnya hasrat Penghibur No: 1 Asia, Datuk Sudirman Hajj Arshad untuk menerbitkan album baru Uji Rashid yang dianggap memiliki suara manja dan lemak merdu serta unik dibawah label Sudir Records/ Productions tidak kesampaian kerana ketika itu Uji Rashid berada di luar Kuala Lumpur pada jangka waktu yang lama kerana komitmen dengan drama swasta.
Hasrat itu tergantung begitu sahaja apabila Sudirman terlantar sakit selama tujuh bulan dan meninggal dunia pada 22 Februari 1992.
Selain itu, suara manja Uji Rashid telah memberinya peluang terlibat dalam siri alihsuara kegemaran ramai “Ultraman” yang cukup pooular pada tahun 1990-an.
Dalam siri itu, watak yang menggunakan suara Uji Rashid adalah heroin iaitu Kapten Megumi Iruma yang merupakan rakan setugas hero siri berkenaan.
Selain itu, Uji Rashid juga diberi kepercayaan menjadi pengacara jemputan rancangan “Muzik Muzik TV3” pada tahun 1987.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Uji Rashid yang digelar ‘Primadona Filem Melayu era 70an’ dan satu-satunya seniwati yang mempunyai nama dan pengaruh besar di kalangan pencinta filem tempatan pernah dianugerahkan Pelakon Wanita Drama TV Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 1983 kerana lakonannya dalam “Senja Belum Berakhir.”
Bukan itu sahaja, malah biduanita bersuara manja ini juga menerima memenangi Anugerah Biduanita Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004.
Anugerah MACP 2007 bagi kategori Lagu Paling Popular 70an – “Semakin Hari Semakin Sayang.”
Kini Uji Rashid lebih banyak menjaga anak tunggalnya, Cico Harahap yang tidak sihat sejak didakwa diracun oleh seseorang pada 2016.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga seniwati legenda Uji Rashid bersama keluarga sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.