Photo by mali maeder: https://www.pexels.com/photo/orange-carrots-on-table-143133/

Oleh : Nafsiah Jani

MEMILIKI kulit muka yang cantik dan gebu pasti menjadi idaman setiap orang tidak kira lelaki mahupun wanita. Demi untuk cantik seseorang itu sanggup berhabisan ribuan ringgit untuk membeli produk mencantikkan kulit dan juga mendapatkan rawatan di klinik kecantikan agar hajat dan impian mereka tercapai.

Tahukah anda selain produk kecantikan yang terdapat dipasaran, lobak merah merupakan salah satu sayuran berkhasiat yang mempunyai banyak manfaat untuk keseluruhan tubuh badan kita tanpa memerlukan belanja yang besar. Jika diamalkan makan lobak merah yang mengandungi karotenoid ini sudah pasti membuat kulit muka cantik berseri dan badan cantik menawan.

Saintis Pemakanan, Dr. Suri Roowi mendedahkan bahawa kajian menunjukkan pengambilan makanan sayuran dan buah-buahan yang tinggi karotenoid seperti lobak merah selama empat minggu akan menjadikan kulit lebih sihat, cantik dan berseri. Jus lobak merah itu hendaklah diambil bersama susu kerana bahan karotenoid itu akan diserap lebih banyak ke dalam darah dan masuk ke kulit.

Bukan itu saja, lobak merah atau nama saintifiknya, Daucus Carota yang dimakan secara mentah atau diminum jusnya secara teratur boleh menjadi tonik yang baik untuk kesihatan mata dan kulit. Ternyata lobak merah juga ibarat salon kecantikan yang bagus untuk penjagaan kulit, muka dan badan.

Lobak merah juga mengandungi Beta-karotena yang berkesan untuk membantu sistem imun badan, sistem penghadaman, saluran pernafasan, membantu pertumbuhan rambut, tulang dan gigi.

Jika takut kehilangan nutrisi lobak merah, ia juga boleh dijadikan jus, dimakan secara mentah ataupun direbus. Selain itu, lobak merah juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin seperti vitamin A, Biotin,pelbagai jenis vitamin B, mengandungi serat, vitamin K, kalium, asid folik, mangan, fosforus, magnesium, vitamin E dan zink yang sangat-sangat diperlukan oleh tubuh manusia.

Photo by Denys Gromov: https://www.pexels.com/photo/a-glass-of-fresh-carrot-juice-5668171/

Walaupun jus lobak merah bagus kerana dapat mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit. Namun bagi mereka yang mempunyai masalah penyakit tidak digalakkan minum jus ini setiap hari atau mengambilnya secara berlebihan kerana ia boleh memberi masalah kepada sebahagian tubuh badan seseorang.

Semoga perkongsian khasiat lobak merah ini bermanfaat dan dapat dijadikan panduan buat semua pembaca :.

  1. Jus lobak merah mengandungi beta karoten dan lutien yang berkumpul di kornea mata berfungsi sebagai perlindungan dan meningkatkan ketajaman peglihatan. Kandungan vitamin A dan B membantu mengekalkan tahap penglihatan mata pada tahap yang baik. Mencuci mata dengan air rebusan lobak juga dapat menyembuhkan mata daripada ketegangan mata.
  2. Lobak merah juga dapat membantu menjaga gigi. Ini kerana Daucus carota mempunyai peranan sebagai penghakis semula jadi yang boleh menyingkirkan kotoran yang terlekat pada gigi dan gusi. Malahan kandungan mineral di dalamnya dapat membantu membunuh kuman di dalam mulut.
  3. Mereka yang ingin kuruskan badan makanlah lobak sebanyak mungkin bagi membantu mengurangkan berat. Kandungan enzim didalamnya dapat melancarkan pencernaan dan menghalang pengumpulan lemak dalam badan. Manakala kandungan serat pula membuatkan anda berasa kenyang untuk tempoh yang panjang.
  4. Lobak merah mengandungi vitamin K dan sejumlah kecil kalsium dan fosforus. Semua ini menyumbang kepada kesihatan tulang dan boleh membantu mencegah osteoporosis dan membantu menjaga kesihatan tulang.
  5. Lobak merah juga boleh digunakan untuk melicinkan kulit. Ambil tiga batang lobak yang telah telah dikupas, parut dan kemudian lumurkan dimuka bagi membentuk topeng. Tunggu beberapa minit sehingga ia kering dan basuh muka dengan air suam. Lakukan dua kali seminggu untuk mendapatkan hasil yang maksimum.
  6. Vitamin A, Beta –karotena dan antioksidan yang terdapat dalam lobak dapat membantu melindungi kulit daripada sinaran matahari. Ia juga membantu mencegah pertumbuhan jerawat, kulit kering, kedutan, tompok-tompok hitam di wajah dan menjadikan kulit lebih cerah serta sihat.
  7. Kombinasi campuran jus lobak merah, ubi bit dan timun mampu menyembuhkan penyakit migrain dan sakit kepala.
  8. Jika anak anda kelihatan lemah dan tidak bermaya, bagi tiga sudu jus lobak merah yang dicampur bersama satu sudu teh madu. Campuran ini mampu menambahkan tenaga dan daya kekuatan kepada anak anda.
  9. Makan lobak merah segar atau minum jusnya juga mampu menyembuhkan cirit-birit yang disebabkan oleh sakit saluran pencernaan yang kronik, mengurangkan kadar asid dalam badan dan menghilangkan ketidakselesaan perut serta memudahkan proses penghadaman.
  10. Kandungan antioksidan dalam lobak merah dapat membantu mengurangkan radikal bebas dalam badan. Malahan kandungan diet karotenoid membuktikan lobak mempunyai kesan anti kanser. Terdapat kajian tentang kaitan antara diet tinggi karotenoid dengan risiko kanser prostat yang lebih rendah.

 

Previous articleKejutan membawa risiko bahaya terhadap tekanan darah rendah (Bahagian 2)
Next articleStacy suka cabar diri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here