Oleh: Wawa Najwa
UNTUK projek terkini, penyanyi Yonnyboii tampil pula dengan karya berjudul ‘Nadi’. Istimewanya, untuk lagu ini dia bergandingan dengan pemain gitar tersohor Jobranko untuk projek ini.
Yonnyboii mengakui lagu ini cukup istimewa kerana diilhamkan dari perasaan peribadi. Dicipta bersama komposer Amy Bong dan Yonnyboii percaya ia mampu sentuh hati ramai.
Bagi Yonnyboii, dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam ‘Nadi’ juga memberikannya satu kelegaan. Ini kerana, dia pasti ramai orang lain di luar sana turut pernah merasai perasaan sama.
“Saya mahu ‘Nadi’ ini dirasa secara peribadi dalam hati pendengar. Kerana lagu ini saya tulis mengenai bagaimana saya berdepan keresahan dan ketakutan apabila berjumpa dengan orang baharu.
“Saya bimbang dan segan mahu meminta pertolongan daripada sesiapa. Saya mahu mereka yang berdepan situasi serupa dapat bangkitkan kekuatan dalam diri untuk menanganinya,” katanya.
Yonnyboii berkata mesej utama dalam lagu itu tidak lain untuk menyuntik semangat hidup kepada pendengar. Katanya, sesiapa juga pasti inginkan kebebasan daripada suatu perasaan yang gelap.
“Ia menggambarkan bagaimana saya dihantui sebuah perasaan tertentu dan mahu bebaskan diri daripadanya. Kesimpulannya, saya cuba mengejar kebebasan,” kata Yonnyboii yang nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 26 tahun.
Bagi Yonnyboii bergandingan dengan Jobranko atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, adalah satu peluang keemasan dan penghormatan besar buatnya dapat sentuhan orang lama.
“Jobranko jugalah sebenarnya menjadi kekuatan terpenting dalam ‘Nadi’. Petikan gitarnya menghidupkan lagi lagu ini dan membawanya ke tahap tersendiri. Saya bangga apabila gabungan ini tercipta daripada dua generasi berbeza,” katanya.
Sementara itu, Jobranko juga tidak menyangka akan wujudnya kolaborasi bersama Yonnyboii.
“Secara jujurnya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi dalam lagu ‘Nadi’ dengan Yonnyboii. Saya sangat menghargai kerana artis muda yang masih meningkat mengenali Jobranko untuk membuat satu kolaborasi bersama- sama”.
“Saya mahu berterima kasih kepada produser Amy Bong, semua warga Universal Music Malaysia termasuk team Yonnyboii untuk kolaborasi ini” kata Jobranko, bekas anggota kumpulan Wings itu.
Video muzik ‘Nadi’ baru dilancar dan Yonnyboii sangat gembira dengan hasil sentuhan pengarah kreatifnya, Andrew Lim. Hakikatnya, MV itu disifatkannya cukup memuaskan.
Menurutnya, dia cuma memberikan panduan kepada Andrew bagaimana konsep diinginkan dalam kepala secara asas saja. Kepercayaan itu jelas digalas begitu cemerlang oleh pengarah terbabit.
“MV pun dilunaskan dengan begitu baik oleh Andrew dan sejujurnya saya serahkan kepercayaan itu kepadanya. Dia berjaya beri hasil yang sangat baik untuk menggambarkan isi hati saya.
“Hakikatnya, Andrew yang mencipta keseluruhan jalan ceritanya. Misalnya adegan saya melarikan diri dari kontena, kenapa saya berbuat demikian dan sebagainya.
“Disebabkan lagu ini adalah sebuah karya bergenre rock jiwang, cuma saa beritahu mereka konsep diinginkan iaitu sesuatu yang ‘grunge’ dan rock,” katanya.
Yonnyboii turut berharap ‘Nadi’ mampu mengulang kejayaan lagu-lagu terdahulunya. Dia inginkan mesej dalam lagu ini akan berjaya membekas di hati sesiapa juga.
“Saya memang meletakkan harapan yang cukup besar terhadap ‘Nadi’. Semoga lagu ini akan digemari ramai dan mesej yang cuba saya sampaikan dapat menusuk hati ramai pendengar,” katanya.
‘Nadi’ boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music dan video muzik boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Yonnyboii.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.