Oleh: Wawa Najwa
Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki Aksan mengingatkan para pengarah dan ahli-ahli FDAM supaya mengambil berat mengenai kesihatan terutamanya jantung.
Ujarnya, selama ini hanya anak seni yang bergelar pengarah dan kru hanya memberi tumpuan pada kerja untuk menyara keluarga dan jarang fikir pasal diri sendiri.
“Saya akui kesedaran jantung dalam kalangan ahli-ahli FDAM agak rendah kerana bukan kita bebal tapi ingat kita kebal. Kebanyakan pengarah-pengarah selalu seperti bos, berada di atas dan ingat tiada apa-apa akan berlaku.

“Kita patut ambil masa menjaga diri sendiri. Kita tolong orang buat kerja tapi kita tidak menjaga diri sendiri. Buat mereka yang masih ingat, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Kita menjadi leka dengan rutin dan perbuatan lazim sehingga tidak peka dengan simptom yang menjadi penyebab serangan jantung. Kita bekerja tidak mengikut jam yang ditetapkan badan kita, selalu paksa diri ke tahap maksimum.

“Saya kenal kawan-kawan saya kerana perangai saya pun sama seperti merokok dan mengambil kafein terlalu banyak Semuanya tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu.
“Masa untuk semua ini berubah. Kita harus selari dengan karya-karya kita dan pada masa sama jagalah kesihatan terutama pengerak kehidupan iaitu jantung. Hanya dengan ini kita kekal lestari dengan karya-karya kita,” katanya pada program Hari Karya Lestari FDAM 2024 yang diadakan di Astaka, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program yang turut mendapat tajaan daripada Institut Jantung Negara (IJN) itu juga telah melakukan pemeriksaan tahap kesihatan jantung, memberi nasihat, panduan dan langkah ke hadapan dalam menjaga kesihatan jantung kepada ahli FDAM dan tetamu lain yang hadir.
Hari Karya Lestari FDAM 2024 adalah sebuah acara yang dirancang untuk menimbulkan kesedaran tahap kesihatan jantung kepada penggiat-penggiat seni dalam negara.
FDAM juga menyasar untuk keseluruhan industri kreatif, media dan hiburan. Edisi pertama ianya dikhaskan kepada ahli-ahli FDAM dengan harapan agar dapat mengurangkan masalah kesihatan kritikal dalam kalangan ahli.

“Namun, menjadi harapan kami di FDAM agar usaha ini diteladani dan bakal dilakukan lain-lain persatuan. FDAM mengalukan rakan-rakan kami dari persatuan-persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan banyak lagi untuk bertemu kami mengadakan kerjasama untuk penganjuran yang serupa,” kata Afdlin.
Program sehari itu juga menggabungkan elemen riadah, acara berjalan santai dan pendedahan simptom. Seramai 100 ahli mengambil bahagian pada program ini yang turut berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk jantung secara percuma.

Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.