Oleh : Nafsiah Jani
Bertuah warga bandaraya Petaling Jaya, 20 Jun lalu sempena Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah dinaik taraf statusnya daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya sejak 18 tahun yang lalu pelbagai acara telah di rancang bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ini.
“Petaling Jaya Bandar Paling Bahagia” diangkat menjadi tema untuk Sambutan Ulang Bandaraya Petaling Jaya Ke-18. Kemuncak majlis sambutan MBPJ akan diadakan pada 29 Jun ini, Sabtu, pukul 8 malam. Selain sambutan Ulang Tahun, MBPJ turut mengadakan Promosi “Petaling Jaya International Folklore Festival 2025” di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya.
Acara kemuncak malam tersebut akan diserikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian artis seperti Black Mentor, Aisha Retno, Fahimi, Victoria Ng, Santesh dan pertunjukan bunga api.
Oleh itu, bagi menghargai warga Petaling Jaya dan sempena sambutan ulang tahun bandaraya, sebanyak 37 aktiviti dan program dilaksanakan sepanjang bulan Jun ini bagi mengeratkan hubungan di antara MBPJ dengan warga Petaling Jaya. Selain itu, objektif perlaksanan aktiviti ini adalah untuk menggalakkan penyertaan dari semua peringkat komuniti.
Pertandingan perarakan merupakan salah satu pengisian acara kemuncak MBPJ. Dalam perarakan itu, sebanyak dua kategori akan dipertandingkan iaitu kategori Majlis Perwakilan Peduduk dan kategori terbuka yang melibatkan penglibatan agensi-agensi kerajaan, badan korporat dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Hampir 400 orang peserta akan menyertai perarakan dengan jumlah keseluruhan 13 penyertaan untuk merebut tempat pertama yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta sijil dan plak. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga, akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM1,000 beserta sijil dan plak.
MBPJ juga telah menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2024 sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia (Happiness Index) Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Bahagia Bersama Malaysia MADANI”.
MBPJ mensasarkan untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi. Selaras dengan matlamat tersebut, pembangunan mampan tempoh jangka masa panjang disediakan MBPJ iaitu “Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya tahan 2030 (Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient 2030 – PJSSR)”.
Petaling Jaya dirancang menjadi sebuah bandaraya “a next generation city” yang inklusif, terhubung, kolaboratif, berekologi, sihat, dinamik, berteknologi digital dan menjadi bandar raya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi.
Antara pengisian lain sepanjang bulan ini termasuk PJ Berselawat (27 Jun), Sukan Komuniti (29 Jun), Sumbangan PJ Prihatin (29 Jun), dan PJ Tower Run (30 Jun).
Larian Menara MBPJ setinggi 25 tingkat dengan 552 anak tangga ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM 10,000 serta penampilan khas Soh Wai Ching, pelari menara nombor satu negara.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara-acara yang telah disusun sepanjang bulan ini. Untuk maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti sambutan ulang tahun, sila layari laman sesawang rasmi MBPJ di www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial rasmi Majlis (Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter; Instagram: @pjcitycouncil).
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.