Oleh: Wawa Najwa
BARU-BARU ini kumpulan Treasure yang dianggotai oleh 10 pemuda tampan tampil menghibur peminat mereka di Axiata Arena sempena 2024 Treasure Relay Tour (Rebot) In Kuala Lumpur pada 22 Jun lalu.
Konsert anjuran iMe MY itu berjaya memukau kira-kira 5,000 penonton yang rata-rata adalah ‘Teume’ yang merupakan peminat tegar kumpulan yang ditubuhkan sejak 2019 oleh YG Entertainment.
Dari segi tarian tidak dinafikan pergerakan yang ditonjolkan oleh Choi Hyun-suk, Jihoon, Yoshi, Junkyu, Yoon Jae-hyuk, Asahi, Doyoung, Haruto, Park Jeong-woo, dan So Jung-hwan memang sekata.
Malah inilah konsert idol pertama yang penulis tonton ada menampilkan empat pemuzik iringan, selalunya kumpulan sebegini menyanyi dengan minus one.
Dari segi vokal, pada pendengaran penulis tidak ada cacat celanya, kalau ada yang ‘tergelincir’ pun penonton tidak kisah kerana apa yang penting mereka dapat melihat persembahan Treasure secara langsung.
Ini adalah kali kedua Treasure menjejak kaki ke Malaysia selepas pertama kali bertemu dengan Teume pada Mac tahun lalu di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam.
Pada konsert yang bermula pada jam 6.13 petang itu, Treasure memulakan persembahan dengan lagu Bona Bona, Jikji dan Boy dalam pakaian diraja merah sekali gus memberikan penampilan mereka tampak begitu bergaya sekali.
Selain daripada mendendangkan lagu-lagu hit mereka, yang turut dinyanyikan bersama oleh penonton, persembahan Treasure menjadi lebih mempesona kerana lagu diserikan dengan pancaran laser dan percikan api yang menarik.
Persembahan pada malam itu turut mengetengahkan persembahan daripada T5 sub-unit Treasure yang terdiri daripada Jihoon, Junkyu, Yoon Jaehyuk, Doyoung dan So Junghwan.
T5 membuat debut mereka dengan single, ‘Move’ pada 28 Jun 2023 dan lagu tersebut didendangkan mereka pada konsert tersebut.
Selain itu Unit Asahi dan Haruyo turut mendendangkan lagu Thank You dan diikut dengan lagu G.O.A.T dendangan Unit Rap Treasure.
Seperti biasa setiap kali artis Korea mengadakan persembahan di Malaysia, mereka sentiasa berusaha untuk memikat hati peminat tempatan dengan kata-kata indah.
Anggota Treasure cuba menyapa Teaume dengan beberapa perkataan Melayu, bermula dengan “Apa Khabar” dan “Saya Rindu Kamu”. Di samping itu, ahli-ahli Treasure yang terhibur dengan maklum balas yang diberikan oleh peminat mereka itu turut mengungkapkan kata-kata, sudah lama saya tidak kembali, saya rindu kamu semua.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.