Oleh: Wawa Najwa
NAMA Pearl Abdul, 28, mula dikenali selepas dia menyertai rancangan realiti TV show, I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga pada 2020 dan segmen Gadis Nona di TV3.
Bekas atlet polo air kebangsaan itu sudah berkecimpung dalam industri muzik selama tiga tahun setengah. Beliau mula aktif dalam bidang muzik selepas menjadi graduan dan alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Kini anak kelahiran Negeri Sembilan itu muncul dengan lagu Notifikasi ciptaan Emeer Bakri, Amzar Sabri, Amsyar Razqa dan Sabbala sebagai penulis lirik.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, Notifikasi merupakan satu mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar yang pernah berada di dalam satu hubungan yang akrab dan sentiasa menunggu jawapan daripada seseorang yang tidak pasti dimiliki.
“Setiap pesanan dalam lagu menyatakan kerinduan si dia akan waktu ketika mereka bersama dahulu. Cara yang ada hanyalah dengan berbicara pada yang Esa agar mereka dapat disatukan juga nanti.
“Sebagai seorang penyanyi dan penulis, kadang-kadang kita menulis mengikut apa yang kita gambarkan dalam fikiran. Untuk saya hasilkan penulisan lirik ini, benda pertama yang perlu ada dalam fikiran adalah mood dan jalan cerita. Jadi, darı situ baru boleh hasilkan melodi dan lirik yang bersesuaian.
“Ketika sesi menulis, forte saya ialah di dalam penulisan. Jadi saya enjoy bekerjasama dengan komposer lagu Notifikasi ini. Kami saling melengkapi dalam proses menyiapkan lagu ini,” kata pemilik nama sebenar Izyan Syaza Abd Halim.
Pearl juga mengaku proses pembikinan lagu ini berjalan lancar kerana komposer dan penulis lirik Notifikasi iaitu Emeer Bakri, Amzar Sabri, Amsyar Razqa dan Sabbala sangat profesional.
“Memandangkan mereka sangat berpengalaman jadi mereka banyak membantu saya dalam sesi rakaman. Memang tidak dinafikan lagi, sangat mudah bekerjasama dengan mereka.
“Lebih kurang empat jam masa yang diambil untuk menyiapkan lagu ini kerana kami rakam pada waktu malam. Jadi, bila dah larut malam kita semua buat keputusan untuk sambung beberapa bahagian hari berikutnya. Kami mahu berikan yang terbaik kepada semua. Lagu Notifikasi ini kami hasilkan dengan sepenuh hati,” akuinya.
Jelas Pearl, Notifikasi dihasilkan untuk memikat pendengar indie, R & B dan pendengar hip hop underground kerana dia sangat hargai artis-artis underground/independent, atas sebab karya-karya yang mereka hasilkan.
“Para pendengar dapat menjiwai setiap hasil karya mereka yang mengagumkan. Jadi saya berharap dengan adanya lagu Notifikasi, saya dapat melebarkan lagi sayap di dalam industri muzik Malaysia dan lebih dikenali ramai. Impian untuk dapat pendengar dari luar negara juga adalah satu impian besar yang saya impikan sejak dahulu.
“Saya akui bukan senang untuk meraih perhatian ramai sebagai penyanyi yang gemarkan genre-genre sebegini. Tetapi dari nasihat rakan-rakan artis yang lebih lama dalam industri ini, kita harus ikhlas dalam setiap benda yang kita lakukan, yang ingin kita kongsikan. Insya-Allah ada rezeki kita.
“Walaupun penat usaha, jangan pernah berputus asa, kerana rezeki ini luas. Selagi kita usaha, kita berharap dengan Allah ada hasilnya,” katanya penuh yakin.
Lagu Notifikasi di bawah naungan Armani Entertainment Group (AEG) ini boleh didengari dan dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music dan muzik video boleh ditonton eksklusif di saluran YouTube @ArmaniEntertainmentGroup.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.