Gandingan Hasif dan Adeline Margaret menyatukan dua negara menerusi lagu 'Jakarta KL'.

Oleh: Wawa Najwa

PENAMPILANNYA dalam program ‘Mikrofon Impian’ secara tak langsung membuka ruang kepada Hasif Upin untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang seni suara sehingga diberi peluang berduet dengan Ziana Zain untuk lagu ‘Waktu’.

Hasif atau nama penuhnya, Muhamad Hasif Sharuddin, 33, anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu, kini berkesempatan berkolaborasi dengan penyanyi dari seberang pula iaitu Adeline Margaret menerusi lagu ‘Jakarta KL’.

Hasif dan Adeline Margaret berduet menerusi lagu ‘Jakarta KL’.

Lagu ‘Jakarta KL’ ciptaan Alam Urbach dan lirik oleh Pika Iskandar itu mengisahkan tentang pasangan dari dua negara yang mempunyai latar belakang berbeza dan jatuh cinta. Mereka perlu melalui pelbagai cabaran sebagai pasangan yang dilamun cinta dalam tempoh masa yang singkat.

Menurut Hasif, lagu tersebut tiada kaitan dengan kisah hidupnya.

“Jarak dalam perhubungan bukanlah satu penghalang. Cinta antara dua negara yang disampaikan di dalam lagu ‘Jakarta KL’ membawa mesej tentang keutuhan cinta dua insan yang ikhlas dalam menyulam kasih dan sayang walau di manapun kita berada, sejauh mana pun kita.

Hasif Upin popular dengan parodi Upin Ipin di TikTok.

“Genre lagu ini pula lebih kepada jazz dan santai. Ini juga merupakan genre muzik yang saya tidak pernah terfikir untuk buat. Sebenarnya, ia merupakan salah satu sisi lain yang ingin saya tonjolkan dalam diri saya kepada semua, terutama
sekali kepada peminat-peminat saya.

“Saya ingin menjadi seorang penyanyi yang versatil dan berani untuk mencuba pelbagai jenis genre, sekali gus membuktikan yang saya juga mampu untuk menghiburkan para pendengar muzik di luar sana,” katanya terus terang.

Ternyata mereka mudah memberi kerjasama sepanjang penggambaran.

Tambah Hasif, lagu ini khas buat semua pencinta muzik, terutama sekali anak-anak muda dan berharap lagu ini diterima ramai sama ada di Malaysia mahupun Indonesia.

“Alhamdulillah, waktu kali pertama bertemu dengan Alam Urbach dan Pika Iskandar, semua proses berjalan dengan lancar dan hanya mengambil masa sehari sahaja.

“Sebelum bermulanya sesi rakaman, saya ambil sedikit masa dengan berimaginasi tentang percintaan untuk lagu ini dan menyesuaikan diri dengan mood lagu tersebut. Saya terasa bagaikan dalam mimpi sewaktu proses pembuatan video muzik, fotoshoot dan rakaman lagu.

Di belakang tabir pembikinan video muzik lagu ‘Jakarta KL’.

“Dari kecil memang teringin sangat nak rakam lagu dan muzik video di Indonesia. Saya teruja dapat merakamkan lagu di Indonesia, dapat pula berjumpa dengan artis-artis indonesia yang lain seperti Rossa dan Mahalini ketika rakaman lagu dijalankan dalam studio yang sama dengan mereka di Jakarta,” cerita Hasif tentang keterujaannya melakukan rakaman untuk lagu ‘Jakarta KL’.

Lagu ‘Jakarta KL’, di bawah naungan Armani Entertainment Group (AEG) ini boleh didengari dan dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music dan muzik video boleh ditonton eksklusif di saluran YouTube @ArmaniEntertainmentGroup.

Previous articleRM5,000 menanti pemenang Pertandingan ‘Bey Sobar Bey’ Freestyle Dance
Next articleKonsert “Journey” Awie yang terakhir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here