Oleh : Nafsiah Jani
Berbekalkan irama muzik yang unik dan gerakan tarian yang lincah telah mempopularkan kumpulan Dolla hingga ke persada antarabangsa. Jadi tidak hairanlah kehadiran empat remaja wanita yang diberi nama Kumpulan Dolla ini berjaya menempa nama dalam waktu yang singkat.
Namun ketika sedang meniti puncak, Syasya pula menarik diri kerana berkahwin. Ketiadaan Syasya nampaknya tidak mematahkan semangat kumpulan Dolla untuk meneruskan perjuangan muzik mereka. Terbaru kumpulan ini yang dianggotai Angel, Tabby, dan Sabronzo akan mengadakan konsert Dolla Re: Birth The Experience yang akan diadakan pada 3 Ogos depan di Zepp, Kuala Lumpur.
Berkat sokongan berterusan peminat mereka yang dikenali sebagai iDollas dan label muzik Universal Music Malaysia membuatkan Dolla semakin cekal untuk terus berkembang maju. Konsert anjuran Hitman Solutions itu adalah saluran gadis-gadis ini menunjukkan kelahiran semula Dolla yang serba baharu dalam perspektif yang berbeza.
Angel berkata konsert itu nanti bakal menampilkan banyak sisi lain corak persembahan mereka.
“Konsert ini akan menjadi era baharu, kelahiran semula Dolla. Kami sedang menyediakan susunan lagu Dolla yang baru dan segar untuk konsert tersebut. Sepanjang persembahan, kami juga menjanjikan kepuasan penonton memandangkan ini merupakan konsert sulung kami di sini.
“Sudah tentu persembahan kami lain dari yang sebelum-sebelum ini dan yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun. la akan menjadi pengalaman yang penuh emosi dan istimewa untuk iDollas yang kami sayangi,” katanya.
Tambah Tabby pula, diharap konsert ini dapat menjadi pengalaman dan kenangan buat semua iDollas yang akan menghadiri konsert.
“Kami berhasrat mengadakan persembahan yang menakjubkan dan berharap peminat bersedia untuk dibawa ke dunia Dolla. Kami nak mereka semua bergembira dan berseronok bersama kami sambil mencipta kenangan terindah yang akan kekal buat selama-lamanya terpahat dalam ingatan.”
Jelas Sabronzo pula,“Bersedia untuk menyaksikan kelahiran semula Dolla di era baharu. Ini bukan sekadar konsert kerana ia adalah pernyataan dedikasi kami untuk sentiasa berkembang bersama peluang tanpa had yang telah tersedia di hadapan serta memberi peluang kepada peminat untuk mentakrifkan semula kumpulan Dolla yang baharu.”
Sementara itu kata Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim. “Kami di Universal Music Malaysia, sangat teruja dengan konsert Dolla yang akan datang ini. Konsert ini membuktikan perjalanan luar biasa dan kerja keras mereka selama ini dalam mempamerkan dedikasi dan bakat mereka yang mewakili misi label kami untuk memartabatkan senario muzik tempatan dan membawa artis Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian Dolla dan usaha gigih pasukan kami berada di belakang tabir bagi memastikan kejayaan konsert tersebut. Bersama-sama, kami bukan sahaja menghidupkan semula kumpulan nyanyian wanita di Malaysia tetapi juga menetapkan piawaian baharu untuk eksport serantau. Marilah kita semua meraikan kejayaan Dolla dan masa depan muzik Malaysia yang bertenaga.”
CEO dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata,”Konsert ini bakal menjanjikan pengalaman visual dan audio yang menakjubkan. Konsert tersebut juga merupakan saluran untuk gadis-gadis ini menunjukkan kelahiran semula Dolla yang serba baharu dalam perspektif yang berbeza.
“Kami sentiasa bersedia untuk menonjolkan bakat tempatan dan kami juga mahu memberikan kumpulan kelahiran Malaysia ini kesempatan untuk meraikan kejayaan serta kerja keras mereka. Bukan sekadar penghibur, Dolla telah menunjukkan bahawa kerja keras dan cita-cita besar adalah apa yang diperlukan untuk mencapai impian sendiri, sesuatu yang boleh diimpikan oleh semua artis yang akan datang.”
Bagi peminat Dolla jangan lepaskan peluang untuk membeli tiket konsert Dolla Re:Birth The Experience boleh dibeli di www.hitmanlive.com bermula 30 Mei 2024 (Khamis) ini.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.