Dua beradik kembali bersatu dalam lagu Bermanja-manja.

Oleh: Wawa Najwa

SIAPA sangka disebabkan kes rumah tangga yang berantakan dan dalam proses memohon perceraian, rezeki mencurah datang kepada Bella Astillah.

Bella yang lakonannya dapat ditonton menerusi aplikasi Tonton untuk drama Leha, Leya Lawa, selain berlakon dalam drama tersebut bersama adiknya, Didi Astillah, mereka juga diberi peluang menyanyi untuk runut bunyi karya arahan Azhar Khalid itu.

Pasangan adik-beradik itu menyanyikan lagu berjudul Bermanja-manja yang berunsurkan Bubble Pop, hasil idea daripada Mas Dewangga dan Jova Devito sebagai komposer dan penulis lirik bersama dengan Alternate Records & Talents.

Bella Astillah gembira diberi peluang nyanyi runut bunyi untuk drama lakonan sendiri.

Sebelum digandingkan dalam lagu Bermanja-manja, dua beradik selebriti ini pernah mencuri perhatian ramai dengan gandingan mereka untuk lagu kanak-kanak yang dikenali sebagai Adik-Adik Mutiara.

Selepas 18 tahun bersama dalam industri nyanyian, ini merupakan kali pertama mereka digandingkan untuk lagu runut bunyi bagi drama eksklusif di Tonton, Leha Leya Lawa.

Menurut Bella dan Didi Astillah, mereka amat berbesar hati dan gembira kerana diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu Bermanja-manja yang menjadi lagu runut bunyi bagi drama Leha Leya Lawa di TV3.

Bella dan Didi Astillah turut berlakon dalam drama Leha, Leya Lawa.

“Lagu ini merupakan lagu yang sangat ceria, lirik yang mudah difahami dan sangat santai membuatkan kami berjaya merakamkan lagu ini hanya dalam masa dua jam serta dengan keadaan tenang dan tidak tertekan.

‘’Proses rakaman juga menjadi mudah kerana hasil kerjasama dengan Mas Dewangga sangat membantu, kerana beliau tahu apa yang terbaik untuk kami serta banyak memberikan idea-idea yang secara tidak langsung membangkitkan rasa senang untuk bekerjasama. Kami juga selalu berhubung untuk lagu ini.

“Dari segi perbincangan dan persefahaman pula sangat mudah kerana bergandingan bersama adik kandung. Kami berharap agar Bermanja-manja terus mendapat tempat di hati pendengar, sama ada peminat Malaysia mahupun luar negara dan berharap menjadi trending di TikTok. Teruskan mengikuti kami di semua platform media sosial ya!,” kata Bella yang turut dipersetujui oleh Didi.

Rezeki datang mencurah kepada Bella Astillah.

Sementara itu, Mas Dewangga berkata, genre yang dipilih ini bersesuaian dengan karakter Bella dan Didi Astillah yang ceria serta keunikan nada suara mereka yang sesuai menyampaikan genre muzik seperti ini.

“Bermanja-manja ini menceritakan tentang seseorang yang ingin memiliki cinta sejati, tidak mahu ditukar ganti dan tidak inginkan halangan dalam percintaan.

“Lagu ini juga bermaksud cinta tidak memandang kepada umur, yang penting setia dan ikhlas dalam perhubungan. Lagu ini juga mengajar kita akan pentingnya menjaga hati pasangan, biar cinta kita sentiasa mekar macam bunga yang dipetik dan di jaga dengan baik kerana cinta perlu di baja,” jelas Mas Dewangga tentang maksud yang tersirat di sebalik lagu tersebut.

Bella bekerja keras demi anak-anak.

Mas Dewangga juga memuji sikap Bella dan Didi yang sangat memberi kerjasama, kreatif dalam memberi idea dan perkongsian ketika sesi rakaman. Malah beliau juga berpuas hati dari segi penghayatan kerana dua beradik itu menepati apa yang ingin disampaikan.

“Saya berharap agar lagu ini akan hits di semua platform dan akan menjadi lagu wajib dengar kerana lagu ini amat bersesuaian dengan semua orang dan juga kepada sesiapa yang sedang mengalami masalah dalam hubungan percintaan yang ada kalanya bergolak dan ada kalanya indah,” katanya.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu Bermanja-manja nyanyian Bella Astillah dan Didi Astillah yang telah bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify dan YouTube Music.

Previous articleMihrab Cinta Zulaikha diinspirasikan dari kisah benar
Next articleHaqiem Rusli meriahkan majlis Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-12

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here