Damba merupakan single kedua Sebrian Shah.

Oleh: Wawa Najwa

SINGLE Maafkan merupakan karya pertama Sebrian Shah dalam bidang seni suara tanah air yang diterbitkan pada Ogos tahun lalu.

Bagi meneruskan perjalanan seninya, kini Sebrian tampil dengan single kedua berjudul Damba, ciptaan komposer Emeer Bakri, Amsyar Razqa dan Hazeeq Azhar, manakala lirik oleh Emeer Bakri, Amsyar Razqa, Emmess serta KK.

Jelas anak kelahiran Johor Bahru, kacukan Melanau, Cina dan Melayu itu, Damba merupakan hasil karya yang sangat peribadi baginya.

Tambah Sebrian, Damba merupakan sebuah lagu yang sangat berat dari segi emosi dan teknikaliti. Dengan lirik-lirik yang mendalam, lagu ini memberikan gambaran yang jelas tentang perasaan yang rumit dalam hubungan percintaan.

Harap Damba dapat tembusi ke pasaran Indonesia seperti lagu Maafkan.

“Seperti penyanyi lain, sudah tentu lagu yang akan dinyanyikan perlu dekat dengan diri penyanyi itu sendiri. Damba adalah kesinambungan kepada lagu pertama saya iaitu Maafkan.

“Lagu ini berkisahkan seorang lelaki yang telah kehilangan wanita yang dicintai dan mendambakan percintaan itu semula. Akan tetapi jika dihayati dengan teliti, lagu ini bukanlah kisah cinta kepada manusia semata. Pendengar harus mendengarkan lagu ini sendiri untuk mengetahui makna tersirat yang cuba disampaikan.

“Seperti sebelumnya, saya mengharapkan lagu ini akan sekali lagi tembus ke pasaran Indonesia. Kalau dilihat dari statistik streaming lagu Maafkan, separuh dari pendengar adalah dari negara jiran. Semoga lagu ini akan disukai ramai, tidak kira dari mana mereka berada kerana bagi saya muzik sangat subjektif dan universal.

“Lagu Damba ini kedengaran berbeza dengan lagu Maafkan. Nyanyian dan lagu kali ini kedengaran lebih kuat pada sisi pop rock. Saya memilih genre ini untuk bawa kesegaran selain kembali pada lagu-lagu yang saya dengar waktu kecil dulu,” kata Sebrian yang juga aktif sebagai pempengaruh di media sosial itu.

Damba nyanyian Sebrian Shah lebih kepada genre pop rock.

Menurut Sebrian, bapanya seorang penggemar lagu rock dan dia didedahkan dengan genre ini dari usia muda. Lagu bergenre slow rock adalah lagu pertama yang dinyanyikan dan dijuarai sewaktu di bangku sekolah dahulu.

“Kerjasama bersama komposer, Emeer Bakri dan Amsyar Razqa kali ini amatlah mudah dan cepat. Saya tahu apa yang mereka inginkan dan mereka juga tahu apa hala tuju saya untuk lagu ini, jadi tiada masalah dalam bekerjasama menyiapkan lagu ini.

“Kali ini masa yang diambil untuk menyiapkan lagu ini singkat saja, proses rakaman ambil masa tiga jam. Mungkin kerana saya sudah selesa dengan komposer lagu ini, jadi kerjasama antara kami terjadi lebih mudah,” akuinya.

Keunikan yang dibawa dalam music video Damba adalah rakaman yang dilakukan di dalam air di mana konsep ini telah dilakar sejak November 2023.

“Kali ini proses rakaman walaupun ringkas, ia teramatlah mencabar di mana team saya menyediakan kolam di dalam studio sepanjang lima meter untuk menyesuaikan ketinggian saya supaya tidak kelihatan janggal.

“Sepanjang rakaman saya menggigil kesejukan, kerana rakaman di dalam air tersebut mengambil masa hampir empa jam dari jam 9 malam sehingga 1 pagi. Namun, hasil keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan hasil kerja team yang telah merealisasikan visi saya untuk video muzik ini.

“Harapan saya agak besar untuk lagu ini. Saya harap siapa saja yang mendengarkan lagu ini, pasti akan jatuh cinta dengan melodi dan liriknya,” katanya yang berharap dapat meneruskan penghasilan karya-karya berkualiti di masa mendatang juga.

Lagu Damba boleh dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music dan musik video boleh ditonton eksklusif di saluran YouTube Armani Entertainment.

Previous articleElla kembali atas permintaan ramai, konsert 9 Ogos ini
Next articleTaat ibu dan ayah sepanjang masa (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here