Oleh : Syed Wafa
Saat yang ditunggukan, BOOLAN TRENDING dengan Produksi Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM) bersama bergerak menjayakan teater Tun Fatimah Srikandi Melaka setelah berjaya menghasilkan beberapa buah teater dan menguruskan beberapa acara besar sebelum ini.
Boolan Trending selaku penerbit, percaya dengan kredibiliti PERTEM dan yakin lebih 800 penonton bakal datang menyaksikan persembahan hebat teater tradisional Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka yang akan diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 7– 8 akan datang.
Pementasan teater ini membariskan pelakon terkenal tanah air iaitu Neera Azizi, Ashraf Muslim, Datuk Jalaludin Hassan, Aziz M. Osman, Zack Kool dan ramai lagi serta juga membawa seorang atlet Malaysia dari gelanggang silat ke pentas teater iaitu Al Jufferi yang memegang status juara dunia sebanyak 4 kali berturut- turut dalam kejohanan silat adalah satu kelebihan untuk beliau memegang watak Tun Busu.
Bagi Neera Azizi pula peluang memegang watak utama sebagai Tun Fatimah merupakan satu penghargaan kepada beliau. Kali ini merupakan kali kedua beliau berada di pentas teater dan memegang watak yang sama, memandangkan teater kali ini merupakan siri kembara daripada pementasan yang lepas.
“Paling mencabar saya banyak melakukan aksi silat dan berlakon bersama nama-nama besar dalam satu pentas,” kata Neera bersungguh-sungguh.
Bagi pelakon utama yang lain pentas teater adalah merupakan gelangang yang sudah biasa bagi mereka.
“Walaupun dalam usia emas ini, saya amat bersemangat untuk berlakon dalam teater Tun Fatimah, semangat dan stamina saya sebenarnya datang dari mereka-mereka yang hebat, yang memberi kerjasama dalam menjayakan teater ini,” kata Datuk Jalaludin Hassan penuh semangat.
Pemilik Boolan Trending, Cik L Ahmad dan Ashraf Muslim yang mempunyai minat mendalam dalam bidang pengurusan acara dan juga persembahan pentas. Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan acara dan lakonan.
“Rugi tidak datang menyaksikan teater Tun Fatimah ini kerana memaparkan sejarah seorang serikandi wanita Melayu yang unggul dan pastinya kita dapat lihat dari dekat sejarah hidup wanita hebat ini,” kata Asraf Muslim yang juga memegang watak sebagai Sultan Melaka dalam teater tersebut.
Selain itu, rakan strategik mereka juga iaitu Lokman Ghani dan Nazim Rome mempunyai nama besar dalam bidang masing-masing. Lokman Ghani yang juga merupakan pengiat seni terkanal tanah air serta pengarah teater hebat mengharapkan sambutan hangat dari penonton untuk ramai-ramai datang menyaksikan teater ini.
“Cabaran paling utama dalam mengarah teater Tun Fatimah ini adalah memastikan fakta sejarah itu tepat dan bersesuaian dengan watak yang dilakonkan supaya menjadi rujukan untuk penonton dan generasi muda yang cintakan warisan sejarah tanah air,” kata Lokman Ghani yang juga merupakan pengarah teater Tun Fatimah.
Paling istimewa teater ini dinaungi Y.M Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Bin Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj yang begitu memcintai dunia seni terutamanya dunia teater. Beliau amat berharap teater Tun Fatimah ini akan dapat dipentaskan di banyak negeri di mana Melaka merupakan negeri pertama teater ini dipertontonkan dan mencapai kejayaan yang cemerlang dari segi sambutan dan persembahan.
Pementasan ini juga untuk mencapai hasrat kerajaan Negeri Melaka dalam Misi Tahun Melawat Melaka 2024. Selain Teater ini, Boolan Trending Bersama rakan strategiknya PERTEM, Platinum Apple Communication dan RESBU juga telah merancang untuk beberapa produksi lain antaranya Konsert Ronggeng Vaganza, Konsert Dendang Warisan, Teater
Hang Tuah, Teater Tun Perak serta projek cuti sekolah iaitu Teater Muzikal Kanak-kanak Cat Cit Cot.
Sidang media teater Tun Fatimah turut dihadiri dan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Timbalan Ketua Setiausaha ( Pengurusan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pihak MOTAC juga turut memberi kerjasama dan sokongan melalui Dana Geran Sokongan Pelancongan, Seni & Budaya bagi sama-sama membantu menjayakan teater hebat ini.
“Dalam memertabatkan seni dan budaya ke tahap yang lebih tinggi pihak MOTAC sentiasa memberi sokongan terutamanya dari segi dana walaupun tidak sepenuhnya bagi menyuntik agar aktiviti seni dan budaya ini terus subur dan hidup,” ujar Sharuddin Abu Sohot.
“Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka” adalah mengisahkan perjuangan Tun Fatimah anak Bendahara Seri Maharaja yang jelita dan juga seorang seriKandi Melaka yang telah dikahwinkan dengan Tun Ali.
Sultan telah murka kerana Datuk bendahara tidak memperlihatkan Tun Fatimah terlebih dahulu sebelum dikahwinkan.
Akibat di fitnah, Bendahara Sri maharaja dan anaknya Tun Hasan serta menantunya Tun Ali dititah bunuh oleh Sultan .Tun Fatimah juga telah dipaksa kahwin dengan sultan Mahmud. Tun Fatimah bangkit membalas dendam terhadap mereka yang memfitnah keluarganya.
Teater Tun Fatimah ini akan mula dipentaskan pada 7- 8 Jun 2024 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka bermula pukul 8 malam.
Jangan lepaskan peluang menonton tater hebat ini dan dapatkan tiket anda di http://t2u.asia/e/35912
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.